Duo mana idaman kalbu? Mungkin inilah soalan yang bermain di minda peminat pertandingan realiti All Stars Gegar Vaganza yang mencetus fenomena dan perbualan buat masa ini.
Ramai yang tidak sabar dan menanti dengan penuh debaran di depan kaca televisyen bagi menyaksikan konsert minggu keempat pada Ahad malam yang bertemakan ‘Berdua Bersatu’.
Seramai 14 peserta pertandingan anjuran Astro ini akan berduet dengan rakan penyanyi pilihan mereka atau usulan Astro yang bukan calang-calang.
Konsert kali ini dirasakan berskala besar sebab ada ‘orang lama’ yang masih berbisa seperti Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Liza Aziz, Misha Omar dan Ziana Zain.
Ada juga juara Akademi Fantasia (AF) (Musim Pertama), Vince Chong, juara AF6; Stacy, juara AF2016; Amir Masdi dan juara AF Megastar, Idayu Yaakob. Si suara bak buluh perindu, Marsha Milan dan Azmi Saat, pun ada.
Secara peribadi, saya memang menantikan gandingan ‘power’ Liza Hanim dan Ziana dalam lagu dendangan asal Ziana, Madah Berhelah. Paduan suara Noryn Aziz dan Liza Aziz dalam lagu I’m Every Woman pun pastinya menggegarkan pentas Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Kalau Ayai Ilusi dan M. Nasir muncul menari dalam lagu rancak Raikan Cinta... kita pun benar-benar ‘Hari Raya’!
Seronok tonton video media sosial setiap peserta yang memuat naik sesi latihan dengan pasangan masing-masing. Datuk Aishah secara berseloroh menulis pada kapsyen fotonya bersama Vince “Anak Ikan”, memandangkan jarak usia mereka yang jauh beza iaitu 14 tahun.
Menurut Aishah dalam satu hantaran Instagram yang menarik perhatian ramai, Vince bukan pilihan pertama kerana bagi menyanyikan lagu cinta Ungu dan Rossa, Terlanjur Cinta, dengan penuh ‘feel’, perlu cari rakan duet sebaya. Sayangnya, artis berkenaan tidak dapat memberi komitmen kerana ada acara lain untuk dihadiri.
Timbul tanda tanya Aishah tentang penghakiman persembahan kelak memandangkan ada rakan duet yang menyanyi lagu sendiri manakala ada yang akan nyanyi dengan adik-beradik sendiri. Sudah tentu ini satu kelebihan dek keserasian.
Tapi rasanya, Aishah tidak perlu bimbang, sebab Vince tulis di Facebook, beliau akan memberi jiwa raganya pada persembahan duet itu bahkan bertuah dapat berduet dengan legenda berkaliber sehebat Aishah. Tidak semestinya mereka yang menyanyi lagu sendiri akan berjaya.
Seperti yang kita lihat dalam peraduan sebelum ini, ada yang terlalu yakin apabila menyanyi lagu sendiri sehingga salah-salah. Ada juga yang diselubungi rasa gemuruh sampai payah fokus. Kalau nyanyi dengan pasangan yang dianggap serasi atau selesa kerana berkawan ataupun ada pertalian darah pun, tidak menjanjikan kemenangan.
Lihat mereka yang berduet kali pertama seperti Suki Low dan Khai Bahar mahupun Jaclyn Victor dan Aina Abdul dalam GV musim-musim sudah. Kerana dua-dua tahu ia satu amanah, mudahlah untuk berikan persembahan melebihi 200 peratus.
Pemilihan lagu juga memainkan peranan penting. Kalau lagunya untuk ‘syok sendiri’ yang tidak dapat diamati dan dihayati penonton, alamat tak ‘menjadi’ duet berkenaan.
Siapa pilihan saya bagi ‘Top 5’ minggu ini? Tanpa mengikut urutan, Jaclyn dan Idayu bagi lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dialah Di Hati; Liza Hanim dan Ziana bagi Madah Berhelah; Naqiu dan Misha bagi Aku dan Dirimu; I’m Every Woman oleh Noryn dan Liza Aziz serta Tentang Rahsia oleh Hady dan Marsha.
Tetapi usah terkejut jika lagu dengan ‘roh’ seperti Untukmu Ibu (Ezad Lazim dan Mamat Exists) atau If I Ain’t Got You (Aliff Aziz dan Aisyah Aziz) juga dapat merebut tempat dalam senarai lima tangga pertama konsert minggu keempat.
Duet perlu perpaduan suara, minda, jiwa dan rasa. Jangan peserta buat cara sendiri manakala rakan duet pula ikut rentak hati sendiri dan kededuanya syok sendiri tanpa harmoni.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg