Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Netizen tunggu kemunculan Azlina Aziz

Dec 16, 2024 | 5:37 PM
Netizen mengharapkan kedudukan Liza Aziz sebagai juara mingguan dari minggu pertama hingga ketiga, akan kembali lagi pada minggu kelima apabila beliau berduet dengan kakaknya, Azlina Aziz, dalam lagu ‘Lady Marmalade’.
Netizen mengharapkan kedudukan Liza Aziz sebagai juara mingguan dari minggu pertama hingga ketiga, akan kembali lagi pada minggu kelima apabila beliau berduet dengan kakaknya, Azlina Aziz, dalam lagu ‘Lady Marmalade’. - Foto ASTRO

Belum pun biduanita Azlina Aziz menaiki pentas Gegar Vaganza 11 (GV11) sebagai bintang tamu yang akan menemani adiknya, Liza Aziz, dalam pusingan duet pada 22 Disember, ramai netizen yang sudah kecoh dan tidak sabar menyaksikan persembahannya.

Maklumlah, Azlina, 62 tahun, yang dikenali kerana kemerduan suaranya dan lagu hit era 1980-an seperti Wajahmu Di Mana-Mana dan Mencari Mimpi, tidak sering muncul di acara-acara awam dan kebanyakan masanya tampil pada majlis korporat dan eksklusif.

Dalam konsert minggu kelima kelak, Azlina dan Liza akan mendendangkan lagu penuh ‘jiwa’ yang rancak, Lady Marmalade, daripada runut bunyi rasmi (OST) filem Moulin Rouge.

Lady Marmalade merupakan dendangan asal kumpulan Labelle pada 1974 sebelum ia diberi suntikan segar oleh Christina Aguilera, Pink, Lil’ Kim dan Mya pada 2001 khusus untuk filem Moulin Rouge.

Kemunculan Azlina pada malam itu nanti diharapkan akan mengembalikan kedudukan Liza di tangga pertama konsert mingguan GV11. Demikian harapan peminat setianya.

Ini memandangkan pada konsert minggu keempat, Liza gagal berada di tangga teratas seperti tiga minggu berturut-turut konsert GV dari minggu pertama hingga ketiga.

Kedudukan Liza yang menyanyikan lagu Fairuz Hussein, Sambaria, dirampas Ronnie Hussein yang menyanyikan dengan penuh yakin lagu berirama pop yeh yeh, Keindahan Pantai, yang asalnya dinyanyikan M. Shariff dan The Zurah II.

Liza mendapat markah 74.8 peratus dan ketinggalan sedikit daripada juara mingguan, Ronnie, dengan markah 76.4 peratus, dan Dadali Dyrga di tangga kedua dengan 75.1 peratus.

“Saya harap dengan adanya Kak Azlina, Kak Liza akan kembali bangkit di tangga pertama.

“Paduan suara dua beradik ini memang memukau dan dinanti-nanti,” jelas netizen yang menggunakan nama Pitstop 21 di akaun X.

Sewaktu mengulas pemarkahan, Ketua Juri, Datuk Ramli MS, berkata:

“Lagu Sambaria nyanyian Liza tu susah. Kita tak boleh buat apa-apa pun sebab lagu tu macam tu juga walau saya dah ubah susunan muziknya tiga kali.

“Nak buat perubahan dan pembaharuan pada lagu ini pun memang tiada ruang. Saya tak boleh suka-suka rosakkan lagu orang. Sebab itu, saya jelaskan mengapa kadangkala apabila artis dapat lagu untuk GV, saya perlu buat balik.

“Sebab orang dengar liriknya sama berulang-ulang banyak kali, jadi bosan.

“Saya tak boleh salahkan Liza. Dah macam tu lagu Sambaria. Suaranya okey malahan lebih baik daripada peserta lain. Dia dapat ingat lirik.

“Kalau saya beri Liza nombor satu lagi, ada orang lain yang rasanya lebih layak kali ini.”

Menurut Ramli lagi, kerana itu, pada konsert minggu kedua dan ketiga, Liza diberi medley dua lagu untuk dinyanyikan bagi mencabarnya dan memastikan penonton yang mendengarnya menyanyi tidak akan bosan dengan ulangan lirik yang sama berkali-kali.

“Tengok macam Ning Baizura juga. Saya gembira apabila dia ambil keputusan nyanyi medley dua lagu, Bunyi Gitar dan Di Mana ‘Kan Ku Cari Ganti,” ujar Ramli lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg