Pengalaman menjamu selera makanan laut diberi nafas baru di restoran Sampanman yang terletak di pusat beli-belah Jewel Changi Airport.
Restoran itu bukan sahaja menarik perhatian dengan rasa makanan laut yang segar, bahkan juga dengan keunikan hidangannya.
Ia disajikan di atas dulang yang berbentuk sampan kayu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Arteastiq Group, Encik Ivan Teo, konsep makanan laut gaya kelong melambangkan hidangannya yang segar dan nilai kebersamaan untuk dinikmati beramai-ramai.
“Makanan laut gaya kelong bermaksud ringkas dan segar. Ia mewakili cara hidup masyarakat pesisir yang sederhana.
“Ini diterjemahkan melalui restoran kami yang menggunakan sos (berperisa) tempatan dan hidangan berkonsepkan perkongsian,” katanya.
“Sampan bukan sekadar bekas hidangan, ia melambangkan warisan maritim Asia Tenggara,” jelasnya mengenai inspirasi menggunakan dulang itu.
Setiap dulang yang berbentuk sampan itu direka khas dengan dulang logam tersembunyi di bahagian bawah bagi mengekalkan hidangan yang panas dan enak dimakan.
Rekaan itu memastikan makanan kekal panas lebih lama – sesuatu yang penting, terutama bagi hidangan seperti ketam yang mengambil masa untuk dimakan.
Di sebalik hidangan yang menarik, kekuatan utama Sampanman tetap pada rasa dan makanan lautnya yang segar.
“Gaya menikmati makanan laut kelong memaparkan penekanan kami terhadap kesegaran.
“Kami menggunakan teknik memanggang menggunakan arang dan sos tempatan yang berperisa, semuanya untuk dikongsi, seperti cara Orang Laut makan dahulu,” kata Encik Teo.
Menariknya, saiz hidangan di Sampanman itu boleh disesuaikan mengikut jumlah mereka yang akan makan, iaitu antara dua dengan enam orang.
“Di kebanyakan restoran makanan laut tradisional, anda perlu datang dalam kumpulan besar.
“Tapi di sini, sesiapa saja boleh nikmati makanan laut bermutu tanpa perlu menunggu majlis istimewa dan besar-besaran.”
Antara hidangan paling digemari ialah, ‘Signature Seafood Sampan’, gabungan ketam Sri Lanka, udang harimau, lala, kupang dan kerang, dimasak dalam pilihan sos seperti sos ketam cili, sambal pedas, mentega bawang putih, kicap manis, atau telur masin, semuanya disajikan bersama roti mantou yang rangup.
Dua sos paling laris di Sampanman ialah Kicap Manis glaze dan Sos Ketam Cili Singapura.
Kicap Manis glaze mempunyai rasa manis karamel dan dibakar di atas arang untuk menghasilkan aroma yang memikat selera.
Ia dibuat sendiri menggunakan campuran kicap, gula melaka, rempah harum lagi pedas.
Sementara itu, Sos Ketam Cili Singapura pula lebih pekat dan berperisa, terkenal dengan gabungan masam, manis, pedas dan lemak telur serta tomato amat sesuai dimakan bersama mantou rangup atau dalam set tingkat kegemaran ramai.
Dengan pembukaan cawangan baru di Jurong Point, yang dinamakan Sampanman Kelong, restoran itu kini menawarkan pengalaman persis makan di kelong sepanjang hari.
Selain makanan laut, terdapat juga set sarapan roti bakar, kuih tradisional seperti putu piring dan ang ku kueh, serta bihun kari dan set tingkat.
“Kami kekal dengan akar budaya, tetapi terbuka untuk inovasi.
“Setiap lokasi membawa hidangan khas buat golongan masyarakat yang berbeza, dan kami mahu menjadi sebahagian daripada usaha memenuhi cita rasa pelbagai lapisan masyarakat,” jelas Encik Teo.
Salah satu inovasi terbaru yang sedang dibangunkan ialah sajian ketam pedas dengan bahan herba tradisional atau Sichuan Zesty Herbal Crab, yang dimasak mengikut cara masakan masyarakat Sichuan.
“Hidangan sebegini unik buat pencinta ketam,” tambahnya.
Harga: XXL Fisherman Sampan sesuai untuk lima atau enam orang, mengandungi empat ketam Sri Lanka (400g setiap satu), seekor udang karang Boston (500g), udang, lala, kupang, scallop, roti mantou, makaroni, serta pilihan sos kegemaran – semua ini ditawarkan pada harga $248.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg