Pusat Seni Goodman (GAC) mengadakan rumah terbuka tahunannya Sabtu ini dan menjanjikan pengalaman menyeronokkan yang dipenuhi program dan kegiatan untuk seisi keluarga di tapak pusat tersebut di 90 Goodman Road.
Bermula 10 pagi hingga 5 petang, pengunjung mampu meninjau pelbagai kerja seni seperti muzik, tarian dan seni visual di pameran kesenian terbesar Singapura dengan konsep penglibatan masyarakat.
Rumah terbuka tahun itu juga menganjurkan pelbagai acara studio terbuka, bengkel, persembahan, kegiatan seharian dan gerai jualan.
Bagi edisi tahun ini, rumah terbuka GAC bekerjasama dengan penyewa jangka panjang GAC, Cik Kamini Ramachandran, pengarah Moonshadow Stories dan The Storytelling Centre Ltd, yang bertindak sebagai pengarah artistik jemputan untuk mengilhamkan program tahun ini.
Cik Kamini memberi tumpuan kepada penyertaan penonton sebagai satu cara memperkenalkan pelbagai bentuk seni kepada pengunjung.
“Sebagai penyewa Pusat Seni Goodman yang telah terlibat dalam Rumah Terbuka Goodman selama bertahun-tahun lamanya, saya berbesar hati untuk menjadi pengarah artistik jemputan rumah terbuka tahun ini.
“Bagi meraikan penyewa GAC, kami teruja memperkenalkan penyewa baru dengan tujuan masyarakat dapat berkumpul dan mempamerkan bakat seni mereka yang pelbagai.
“Kami menantikan kedatangan orang ramai pada Jun ini untuk meraikan hari penuh meriah dengan kegiatan seni yang menarik,” ujar Cik Kamini yang tidak sabar menantikan hari terbuka GAC pada Sabtu.
Antara kegiatan yang beliau rancangkan adalah mengadakan pembukaan studio artis untuk pengunjung beinteraksi dan melihat karya artis secara peribadi dan alami sesi perkongsian bersama artis. Mereka juga akan berpeluang melukis dan berkarya bersama artis tersebut.
Antaranya ialah artis veteran, Abu Jalal Sarimon, yang mengamalkan komentar sosial dalam karyanya sejak 1992. Beliau akan berkongsi mengapa konsep sedemikian menjadi pilihan.
“Komentar sosial menggunakan cara retorik apabila komen diberi berkaitan isu sosial, budaya politik atau ekonomi dalam masyarakat. Ini dilakukan dengan idea menggalakkan perubahan atau mewujudkan kesedaran kepada rakyat umum.
“Maka itu, saya mencipta imej dan visual berkaitan isu yang ingin diketengahkan, dalam gaya lucu namun dengan kandungan sinis. Ini dipasangkan dengan warna-warna terang, yang menarik perhatian pengunjung untuk sertai dan memahami mesej di sebalik lukisan,” jelas Abu Jalal apabila dihubungi Berita Harian baru-baru ini.
Beliau gemar melukis dan mencabar diri untuk menghasilkan visual lukisan yang baik. Memandangkan komentari sosial memerlukan kreativiti, proses pemikiran yang mendalam dan visual yang berkesan, beliau akur bahawa proses menjana karyanya mencabar namun menyeronokkan baginya.
Meluahkan harapannya untuk hari terbuka Sabtu ini, beliau berkata:
“ Saya harap para pengunjung akan lebih yakin dan terbuka dengan perbincangan tentang kesenian.
“Benarkan minda dan hati anda terokai isu dan topik yang disentuh dalam karya dengan sentimen yang positif. Wujudkan kesedaran bahawa kesenian adalah disiplin yang serius, teratur dan dinamik. Dengan ini, bidang kreatif di Singapura dan yang ditebar ke peringkat antarabangsa akan bertambah lebih cerah.”
Selain itu, pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan ‘Joget Kasih Tak Sudah’ oleh kumpulan seni persembahan Melayu, Sriwana.
Persembahan selama 10 minit itu mendapat inspirasi daripada naratif romantis dan menggambarkan tema percintaan yang tidak tercapai, selain mempamerkan pelbagai pergerakan penuh perasaan – emosi cinta tidak dibalas, kerinduan, kesedihan dan detik pahit manis yang digambarkan dalam lirik lagu.
“Sriwana bertujuan mengetengahkan perbezaan antara interpretasi tradisional dengan moden, kedua-duanya bercirikan gerak tari Melayu yang lemah gemalai dan anggun.
“Sementara genre joget seing dikaitkan dengan budaya Melayu, matlamat kami adalah untuk menunjukkan potensi transformasi tarian, misalnya zapin tradisional yang dapat digabungkan dengan sentuhan moden agar lebih rancak,” ujar penolong setiausaha Sriwana, Cik Huwaina Ibrahim.
Satu lagi persembahan tarian yang dapat pengunjung saksikan adalah persembahan oleh kumpulan Era Dance Theatre, dengan persembahan berjudul Mabuk Kepayang, dengan koreografi asal Norisham Osman pada 2011 dipertingkat pada 2022 oleh Saifulbahari Ma’ruf.
“Persembahan Mabuk Kepayang merakam perjalanan mempesonakan dan keseronokan bercinta.
“Persembahan ini menggambarkan ungkapan menawan yang biasa digunakan untuk memaparkan individu yang mabuk bercinta,” ujar pengarah artistik Era, Encik Osman Abdul Hamid.
“Kumpulan kami teruja menyertai program Rumah Terbuka Goodman dan berkongsi tarian indah kami dengan para pengunjung serta mempamerkan budaya Singapura yang bertenaga.
“Kami berharap pengunjung dapat menikmati dan menghargai seni tradisional (tarian) kita dan semoga ia membawa kegembiraan dan memberi inspirasi kepada ramai untuk menari bersama. Biarkan irama tradisional menyalakan semangat anda!” tambah Encik Osman
Terdapat banyak lagi kegiatan yang tersedia di rumah terbuka itu. Ada yang percuma dan ada yang memerlukan bayaran.
Lungsuri laman artshouselimited.sg/gac untuk maklumat lanjut mengenai jadual persembahan dan kegiatan sepanjang hari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg