Kurang dilihat di media sosial salah. Dah keluar selalu pun salah.
Begitulah nasib pelakon yang dipanggil, ‘Duda Paling Hot’, Fattah Amin, sejak akhir-akhir ini.
Laman Astro Gempak melaporkan sesetengah netizen bingit apabila melihat wajah Fattah, 34 tahun, di mana-mana, baik dalam iklan, klip video penyanyi Aina Abdul dan di sesi podcast.
Menurut seorang netizen, Fattah, bekas suami pelakon dan usahawan, Nur Fazura Sharifuddin, tiada lagi nilai eksklusif dengan kemunculannya saban hari di mana-mana platform.
“Fattah dah jadi terlalu macam orang awam selepas bergelar duda,” jelas netizen itu, melahirkan rasa bimbang dan kurang senang.
Menurutnya, beliau mengharapkan pelakon drama, Suri Hati Mr Pilot itu akan jadi seperti dahulu sewaktu zaman awal kemunculannya dalam persada hiburan serta sepanjang tujuh tahun berumah tangga, iaitu apabila beliau hanya ada dalam beberapa acara eksklusif dan bukan muncul di mana-mana.
Ramai yang bersetuju dengan pandangan netizen itu tetapi ada juga yang memahami dan menganggap Fattah hanya ingin mencari rezeki halal.
“Tak payahlah eksklusif sangat. Waktu ada kerja dan tengah laku, harus rebut peluang yang tersedia.
“Rezeki yang datang, kita tak tahu. Esok-esok rezeki orang lain pula. Apa yang berlaku pun tak dirancang. Yang penting dia tak terlalu leka dengan dunia.
“Dia mencari rezeki. Mana rezeki datang, dia ambil,” ujar beberapa netizen lain.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg