Daripada awalnya tidak atau kurang dikenali, nama penyanyi yang sudah lama menggantung mikrofon, Zehra Zambri, kini menjadi sebutan, selepas beliau menampakkan prestasi membanggakan dalam peraduan realiti, Gegar Vaganza 11 (GV11).
Kalau orang gunakan singkatan ‘ZZ’ di media sosial dan TikTok, ia bukan lagi Ziana Zain semata tetapi boleh juga bermaksud Zehra Zambri, 37 tahun, yang ternyata serba boleh dan mampu pukau penonton dengan keupayaan serba bolehnya.
Lagu tradisional memang kelebihannya malah beliau pernah berada di pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 2005 dengan lagu irama pop ethnik, Semalakama.
Tapi dalam hati saya berkata, Zehra, ibu seorang anak kecil ini akan keluarkan ‘taringnya’ tak lama lagi selepas saya mendengarnya menyanyikan lagu jenaka Tan Sri P. Ramlee, Hai Obat dan Sua Sue Kemuning, dengan selamba.
Tak senang bawa lagu kelakar dengan penuh karisma, apa lagi lagu yang pernah dipopularkan seniman hebat dan ‘genius’ macam P. Ramlee. Kelakar tapi kekal anggun.
Pada 26 Januari lalu, dalam pusingan suku akhir GV11, Zehra mengejutkan ramai di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) termasuk juri dan dirinya sendiri apabila buat julung-julung kalinya berada di tangga teratas peraduan dengan markah 80 peratus.
Beliau meninggalkan jauh penyanyi veteran, Liza Aziz, 61 tahun, yang disebut-sebut sebagai bakal juara, di tangga kedua dengan markah 75.5 peratus.
Dalam pusingan ‘rokdut’ (rok dan dangdut) itu, Zehra menyanyikan lagu Ramlah Ram, Selamat Jalan Romeo, di depan Ramlah sendiri yang diundang ke MBSA, disusuli dengan lagu ‘rok ganas’ Wings, Peronda Jaket Biru.
Memang tak diduga penyanyi yang disangka mempunyai kelembutan sebagai penyanyi tradisional boleh ‘bertukar kulit’ menjadi ‘rocker’ dengan sentuhan ‘berbisa’ sekelip mata selepas bergoyang dangdut.
Zehra memberitahu media seberang beliau dinasihati mentornya, alumni GV9, Bob Yusof, agar tidak memilih lagu rok balada kerana keyakinan wujud seorang penghibur bertenaga dalam diri Zehra. Jadi rok perlahan memang ‘tak main’!
Ketua juri, Datuk Ramli MS, menyifatkan Zehra sebagai peserta yang cukup rencah dalam persembahannya yang bertaraf tinggi, lantas berjaya menawan ramai dengan ‘masakan’ yang bagus.
Juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat, pula tahu Zehra mempunyai sesuatu yang tidak ditonjolkannya sehingga detik beliau berpadu suara dengan Ning Baizura bagi lagu Datin Alyah, Tak Mungkin Kerna Sayang.
“Saya tahu dia penyanyi irama tradisional Melayu. Tapi saya nak pastikan, maka saya tanya dia genre yang selesa dengannya apa? Sebab tengok macam penyanyi dangdut...macam penyanyi rok pun boleh.
“Itu bukan Zehra yang kita kenal tapi itu juga Zehra yang baru. Dia nyaris terkeluar kalau saya ingat markah yang pernah saya beri kepadanya.
“Tapi peningkatannya memang banyak dan saya harap dia akan terus pandang ke depan dan lupakan benda-benda silam yang membuatnya terlalu banyak berfikir,” jelas Syafinaz.
Pada akhirnya, saya benar-benar melihat GV sebagai platform persis universiti, di mana penyanyi dapat menemui genre baru yang tidak pernah diduga akan menyerlahkannya sebagai penghibur.
Pastinya apabila masuk ‘universiti’ GV, peserta bukan hanya menetapkan matlamat untuk kembali mewarnai industri seni dan menggagahkan semangat bagi mengubati rindu pada zaman kegemilangan mereka suatu ketika dahulu.
Seperti Zehra yang meninggalkan kerjaya sebagai wartawan penyiar dan pembaca berita RTM untuk kembali pada cinta pertamanya iaitu menyanyi, pastinya pengalaman masuk GV11 ibarat kembali ke bangku sekolah seni suara.
Inilah keistimewaan yang tidak dapat disangkal lagi dengan adanya peraduan realiti yang dimomok-momokkan sesetengah netizen sebagai program hiburan untuk cari keuntungan malahan membuang masa kerana Astro sudah merancang siapa bakal jadi pemenang.
Penyanyi, dalam apa jua peringkat (termasuk yang mapan), harus pastikan mereka sentiasa memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan untuk kuasai pasaran dan menjadi penghibur yang lebih baik dan mudah-mudahan lebih berdaya tahan.
Saya ingat lagi pengalaman mewawancara beberapa juara GV, baik Azharina Azhar, Datuk Wan Aishah Wan Ariffin mahupun Jaclyn Victor, yang memiliki vokal luar biasa dan daya persembahan yang menawan.
Kesemuanya kata, mereka memang masuk GV untuk belajar dan tidak perlu wujud rasa malu untuk menimba ilmu daripada yang lebih tahu.
Peraduan realiti harus jadi platform untuk pemerkasaan bintang dan wadah menggilap apa jua yang dikhuatiri kian kusam ditelan zaman.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
“
“Pada akhirnya, saya benar-benar melihat (Gegar Vaganza) GV sebagai platform persis universiti, di mana penyanyi dapat menemui genre baru yang tidak pernah diduga akan menyerlahkannya sebagai penghibur. Pastinya apabila masuk ‘universiti’ GV, peserta bukan hanya menetapkan matlamat untuk kembali mewarnai industri seni dan menggagahkan semangat bagi mengubati rindu pada zaman kegemilangan mereka suatu ketika dahulu.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg