Selepas mendirikan rumah tangga selama lebih tujuh tahun, pasangan Nora Danish dan Nedim Nazri akhirnya bersetuju untuk berpisah secara baik menerusi prosiding yang berjalan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, pada 19 Jun.
Nedim melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin, pada 8.34 malam.
“Saya dan bekas suami sudah mendapat persetujuan bersama untuk mengakhiri perkahwinan kami yang didirikan selama tujuh tahun. Ia berakhir di sini, malam ini.
“Apa yang paling penting, tujuan kami untuk membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan positif,” ujar Nora.
Ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) selepas selesai prosiding, Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif, 42 tahun, sangat mengharapkan orang ramai dapat mendoakan yang terbaik buat mereka sekeluarga.
“Saya harap tiada teori mengenai perpisahan kami. Ini kerana kami sangat mementingkan keharmonian kedua-dua keluarga dan anak-anak,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Nedim atau nama sebenarnya, Mohamed Nedim Mohamed Nazri, 41 tahun, enggan mengulas lanjut.
Nedim hadir tanpa peguam, manakala Nora diwakili oleh peguam syarie, Ahmad Badri Idris.
Sebelum itu, Nora yang berjubah putih hadir bersama Nedim menaiki kereta kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam pada 7.40 malam.
Terdahulu, pasangan ini dilihat gembira meluangkan masa bersama tiga cahaya mata mereka dengan meraikan Hari Bapa, baru-baru ini.
Nora memuat naik perkongsian momen indah bersama keluarga dalam Instagram Story (IGs) yang dipercayai meraikan sambutan Hari Bapa pada 16 Jun lalu.
Pada 29 April lalu, Nora mendedahkan rumah tangga dengan Nedim yang dibina sejak 2017 bergolak.
Nora dilapor mengaku beliau dan Nedim berusaha menangani situasi sebaik mungkin agar tidak terjadi perkara negatif yang boleh memberi kesan kepada anak.
Dalam reaksi balas beberapa hari kemudian, Nedim dilapor menegaskan rumah tangga mereka masih dalam keadaan baik, sebaliknya, hanya ‘gaduh-gaduh manja’‘.
Menerusi sesi ‘live’ Instagram (IG), Nedim dihujani pertanyaan daripada pengikut mengenai status rumah tangga bersama Nora.
“Tidak ada apa-apapun, saya sayangkan isteri saya. Tolonglah, jangan buat lawak mengarut. Janganlah cakap pasal berpisah, tak baik.
“Saya dan isteri masih baik, kami adalah rakan dan pasangan yang baik,” katanya.
Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl, enam tahun.
Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15 tahun, sebelum bercerai pada 2008.
Nedim pula pernah mendirikan rumah tangga dengan Nabilah Khan pada 2011 dan bercerai dua tahun kemudian. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata, Mohamed Nedrin, 12 tahun.
Dalam pada itu, catatan Nedim pada Instagramnya selepas beberapa jam ikatan perkahwinan mereka terlerai pula menarik perhatian warganet.
Beliau menulis: “Tiada yang berubah, cuma dia bukan milikku di dalam Islam.”
Hantaran Nedim menggambarkan kepercayaannya terhadap kekuasaan Allah jika jodoh masih utuh dan berpanjangan.
“Percayalah kalau dia milikku, dia akan kembali milikku,” tulisnya.
Hantaran dalam IG itu mendapat reaksi rakan artis dan peminat yang mendoakan serta memberikan kata semangat buatnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg