SHAH ALAM: Gara-gara menjadi mangsa penipuan hingga konsert solo yang dijadualkan berlangsung Oktober 2022 terpaksa dibatalkan, penyanyi Noraniza Idris mengalami kemurungan.
Berkongsi lanjut dengan Berita Harian Malaysia (BHM), Noraniza, atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ani, 55 tahun, berkata keadaan itu membuatkan emosinya tidak stabil dan enggan bertemu orang ramai.
“Saya alami trauma dan kemurungan yang teruk sejak kena scam. Apabila mula kena tipu sekitar Ogos tahun lalu, saya tak tahu macam mana nak hadapi.
“Kebetulan pengarah konsert hilang tanpa dapat dikesan. Apabila timbul masalah, saya kena hadap semua. Kemurungan ini menyebabkan saya rasa malas nak buat program kemasyarakatan dan tak nak langsung jumpa orang ramai.
“Malah, kalau suami bangkitkan soal konsert, pasti saya akan menjerit macam orang hilang pertimbangan,” katanya lagi.
“Lama juga saya nak pulih iaitu dari Ogos tahun lalu hinggalah Mac tahun ini. Saya juga dapatkan nasihat pakar dan diberi surat rujukan untuk pemeriksaan lanjut di hospital tapi saya tak pergi.
“Sebaliknya, suami meminta Datuk Awie nasihatkan supaya tidak melawan kecaman warganet dan terus fokus dengan kerjaya seni,” ujarnya ketika ditemui selepas menjayakan konsert mingguan All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), baru-baru ini.
Beliau merupakan penyanyi tamu yang menyanyikan lagu Hati Kama bersama bintang ASGV, Liza Hanim.
Ditanya apakah masih berminat meneruskan konsert pada masa akan datang, Noraniza berkata perkara itu akan dipertimbangkan namun bersyarat.
“Jujurnya, saya sudah serik dan tak nak lagilah buat konsert. Tapi kalau ada yang berminat, saya akan mengambil sikap berhati-hati. Saya akan siasat latar belakang penganjur supaya pisang tidak berbuah dua kali,” katanya.
Terdahulu, kontroversi isu skim perumahan membabitkan syarikat pemaju memberi kesan kepada penganjuran Konsert Malai Solo yang dijadualkan berlangsung antara 21 dengan 23 Oktober 2022 di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Ini kerana syarikat pemaju tersebut pernah menyatakan kesediaan untuk menaja Konsert Malai Solo sebanyak RM3 juta ($862,631).
Walaupun Noraniza sudah menjelaskan tiada kaitan dengan syarikat perumahan itu, namun berita yang tular mengenai dirinya menjejas penjualan tiket konsert, sekali gus menyebabkan promosi konsert terpaksa dihentikan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg