Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Nyala rasa Fiza O pada dunia penyiaran tidak terpadam

Semangat selebriti media digital S’pura bangkit setiap kali ingat pengorbanan ibu
Jul 30, 2023 | 05:31 AM



Nama mantan penyiar dan penerbit radio, Fiza O, yang mengacarakan SKOOP! di saluran Mediacorp Suria dan aplikasi mewatch sudah menjadi bak jenama yang dikenali ramai.


Perjalanan yang dilaluinya untuk mengusahakan program digital sendiri sebagai penjana kandungan media sosial penuh dengan jerih payah tetapi satu perkara yang ibu dua anak ini tidak akan lupa adalah doa ibunya yang sering mengiringinya.

Malahan, ibunya jugalah yang menemaninya bagi tiga pusingan wawancara ketika menyimpan impian menjadi penyiar dan penerbit sekali gus di stesen Ria 897 berbelas tahun dahulu.

“Kalau nak fikirkan, saya tidak pernah meninggalkan bidang penyiaran. Itu adalah jiwa, nyawa dan cinta saya. Saya bergerak dari radio ke televisyen dan kemudian mengacara ‘live’ di pentas dan acara lain. Kini, saya mengusahakan program saya sendiri di media sosial dan dapat menjangkau lapisan masyarakat yang sebelum ini tidak dapat saya dekati kerana konsep program yang berlainan,” ceritanya dalam wawancara bersama Berita Minggu (BM) baru-baru ini.


Sebak Fiza mengenangkan pengorbanan ibunya yang membawa adik bongsunya yang ketika itu masih di tadika dan adik kembarnya yang cuti sekolah untuk sama-sama mengiringinya bagi sesi wawancara kerja di radio.

“Setiap kali ingat peristiwa ini, saya rasa sebak dan menangis. Dari Pasir Ris, saya dan ibu serta adik-adik yang masih kecil akan menemani saya ke pejabat radio di bangunan penyiaran lama di Andrew Road. Kita naik Bukit Caldecott. Ibu beri saya perangsang dan beliaulah orang paling sedih dan risau apabila saya mengambil keputusan untuk meninggalkan tugas sepenuh masa saya di radio untuk usahakan program digital dan khidmat mengacara sendiri sepertimana yang suami saya KC buat dan cuba sebagai satu cara kami mencuba sesuatu yang baru di luar zon keselesaan kami,” cerita Fiza.

Satu perkara yang Fiza syukuri adalah doa ibulah yang menemaninya dalam membina kerjaya yang bermakna sehingga mampu menyentuh jiwa pendengar dan penonton ketika berinteraksi dengan tetamu undangannya yang penuh dengan kisah menarik.

Satu perkara yang Fiza dapat lakukan secara aktif dan disenangi kerana diibaratkan seperti terapi jiwa adalah program Cakap Masjid yang awalnya dimulakan KC.


“Saya kira selain isu wanita yang dekat di hati saya dan ditampilkan dalam program Girlfriends, Cakap Masjid ini juga amat bermakna kerana setiap Jumaat, saya akan rasa, ia merupakan sesi pembersihan dan penyegaran jiwa buat saya.


“Ia bermula daripada usaha mengumpul dana buat masjid pada Ramadan. Kemudian, Allah ibarat serahkan segalanya pada riba saya untuk perkembangkan lagi program Cakap Masjid ini. Saya bekerjasama dengan golongan asatizah muda yang menerima saya seadanya. Ada yang tidak begitu dikenali di dalam dunia digital dan kerana ilmu mereka itu, maka saya libatkan mereka agar masyarakat digital boleh hadam perkongsian mereka yang bernas.


“Saya suka dengan program sebegini yang dapat menarik generasi muda juga dekat dengan agama. Jiwa kewartawanan saya itu membuatkan saya ingin terus menyelongkar isu, berkongsi dengan cara yang mudah difahami, membina rangkaian kenalan dan membuka gelanggang perbincangan. Saya dapat ke luar negara untuk bawakan maklumat dan perkongsian dari perspektif berbeza.

“Apabila saya usahakan program sebegini, sekali gus, ia memberi galakan buat kaum Hawa. Sebab sebelum ini program agama sebegini hanya dikemudi penyiar lelaki tetapi apabila saya dapat melakukannya, saya rasa ia nikmat untuk perluas peranan wanita dalam memaklumkan ummah tentang isu-isu yang perlu dititikberatkan dalam agama,” jelas Fiza.

Beliau juga gembira kerana mengacara untuk program sembang bersama artis SKOOP! juga merupakan wadah untuknya mencungkil isu yang jarang selebriti bicarakan dan kadangkala menjadi rahsia yang mereka sorok sebelum ini.


Bagi Fiza, beliau juga bersyukur keselesaan dapat dibina dengan rakan artis agar mereka mudah berkongsi tanpa wujud benteng komunikasi.

“Saya suka dengan topik-topik yang dapat kami buka sebagai topik bicara. Pelakon Dawn Prima Ria yang melalui proses pensenyawaan in vitro (IVF) untuk hamil kerana suami mengalami masalah kesuburan adalah antara topik yang saya anggap menarik sebagai satu galakan kepada mereka yang mengalami masalah yang sama.

“Pelakon dan pengacara Fatin Amira pula bercerita tentang dirinya yang merupakan ratu cantik yang nampak yakin di luar tetapi sebenarnya kurang yakin dalam hati. Topik-topik sebegini dapat dikaitkan dengan kehidupan seharian penonton. Mereka akan dapat fahami bahawa artis juga manusia biasa di luar zon mereka dilihat sebagai insan dikenali dan glamor,” tambah Fiza.

Dorongan untuknya terus menebar sayap dalam bidang penyiaran melepasi usia 40 tahun adalah melihat kata-kata mutiara bintang terkemuka Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh, yang memenangi Anugerah Academy dan Golden Globe pada usia melepasi 60 tahun.

“Saya bersemangat membaca kata-kata mutiara Michelle yang menyatakan, walaupun kita sudah sampai usia matang, jangan izinkan sesiapa menyatakan bahawa anda terlalu tua untuk buat sesuatu. Buktikan usia itu hanya angka. Berbekal nawaitu yang jelas dan ikhlas, satu demi satu pintu akan terbuka untuk kita mencari rezeki dan memperkasa orang lain juga melalui kandungan yang menarik.

“Pastinya dalam kerjaya saya, tidak semua indah. Ada juga tempoh di mana saya sangsi akan keupayaan saya sendiri. Namun, saya pegang pada pesanan seorang teman bahawa tawakal yang bermaksud percaya kepada Allah itu melebihi setakat percaya tetapi yakin bahawa Allah adalah jaringan keselamatan kita.

“Kalau kita akur pada kepastian Allah selalu ada dan mengatur segalanya, Insya-Allah, segalanya menjadi mudah,” tambah Fiza lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >