Perceraian maestro muzik India, A.R. Rahman dan isteri, Saira Banu menggemparkan peminat pemuzik legenda itu.
Rumah tangga mereka yang bakal menginjak usia tiga dekad itu gagal dipertahankan sehingga mengejutkan ramai kerana mereka dilihat sebagai pasangan yang cukup ideal, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Rahman, 57 tahun, sendiri turut meluahkan kesedihan atas perpisahan dengan bekas isterinya menerusi platform X.
“Kami berharap usia perkahwinan kami dapat meniti ke angka 30 tahun, tetapi pada penghujungnya tidak.
“Namun dalam kehancuran ini, kami mencari di sebalik setiap serpihan yang tidak akan menemukan tempat asalnya.
“Kepada rakan, terima kasih atas kebaikan anda menghormati privasi kami ketika kami sedang melalui jalan rapuh ini,” tulis Rahman, atau nama Islamnya, Allah Rakha Rahman.
Sebelum ini, beliau dilahirkan sebagai penganut agama Hindu dan diberi nama A.S. Dileep Kumar.
Seisi keluarganya termasuk beliau yang ketika itu berusia 23 tahun, memeluk Islam pada 1989 menyusuli peristiwa adiknya dilanda penyakit yang agak serius.
Rahman terkenal kerana mencipta dan menyanyikan lagu Hindustan seperti Enna Sona, Tera Bina, The Humma Song dan runut bunyi rasmi (OST) filem, Slumdog Millionaire, Jai Ho.
Perceraian Rahman dan isteri kini mencetuskan tanda tanya berikutan mereka dilihat sebagai pasangan cukup bahagia.
Bagaimanapun, selepas berita perceraian itu menggemparkan peminat, timbul desas-desus kehadiran orang ketiga menjadi punca perpisahan apabila pemain bes Rahman, Mohini Dey, 28 tahun, turut mengumumkan perceraian dengan suaminya, pengarah muzik dan pemain saksofon asal Amerika Syarikat, Mark Hartsuch, 30 tahun.
Namun, Saira, 50 tahun, dilihat mempertahankan bekas suaminya.
Beliau berkata perceraiannya berpunca daripada masalah kesihatan yang dialami.
Menurutnya, perkara itu juga menyebabkannya terpaksa berpindah ke Mumbai dari tempat tinggalnya di Chennai, India, bagi mendapatkan rawatan.
“Itulah punca saya perlukan ruang antara kami. Saya mohon kepada YouTuber dan media Tamil supaya tidak berkata buruk mengenai bekas suami saya.
“Dia adalah lelaki terbaik di dunia dan permata sangat berharga. Saya terpaksa tinggalkan Chennai disebabkan masalah kesihatan. Dia tak mungkin dapat ikut saya kerana jadualnya terlalu sibuk.
“Jangan calarkan nama baiknya. Saya mempercayainya seumur hidup saya. Begitulah betapa cintanya saya terhadapnya, begitu juga dia.
“Saya mohon hentikan tuduhan tidak benar. Semoga Tuhan merahmati Rahman dan saya mohon agar kami diberikan ruang,” ujarnya.
Rahman dan Saira berkahwin pada 1995 dan dikurniakan tiga anak, iaitu Khatija, Raheema dan Ameen.
Perkahwinan mereka dilapor diatur ibu Rahman yang menjadi individu penting dalam perjalanan kerjaya legenda muzik itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg