Pakar bedah negara AS seru adakan label amaran media sosial
Pakar bedah negara AS seru adakan label amaran media sosial
Pakar bedah negara AS seru adakan label amaran media sosial
Pakar Bedah Negara Amerika Syarikat, Dr Vivek Murthy, pada 17 Jun menggesa agar label amaran diletakkan pada aplikasi media sosial sebagai peringatan bahawa platform tersebut telah menyebabkan kemudaratan kepada golongan muda, terutamanya remaja.
Dalam wacana di akhbar, New York Times, Dr Murthy menulis bahawa label amaran sahaja tidak akan menjadikan media sosial selamat untuk golongan muda, tetapi ia boleh meningkatkan kesedaran dan mengubah perilaku seperti yang ditunjukkan dalam bukti daripada kajian tembakau.
Kongres Amerika perlu meluluskan undang-undang yang mewajibkan label amaran sedemikian.
Peguam bela belia dan penggubal undang-undang telah lama menuduh wadah media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Snapchat membawa kesan berbahaya kepada kanak-kanak, termasuk jangka masa perhatian lebih pendek, mempromosikan imej badan yang negatif dan menjadikan mereka terdedah kepada pembuli dan pemangsa dalam talian.
“Sudah tiba masanya diadakan label amaran pakar bedah pada platform media sosial, menyatakan bahawa media sosial dikaitkan dengan kemudaratan kesihatan mental yang ketara untuk remaja,” tulis Dr Murthy.
TikTok, Snapchat dan Platform Meta, pemilik Facebook dan Instagram, tidak menjawab permintaan untuk mengulas.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ketiga-tiga syarikat itu, bersama wadah media sosial X dan aplikasi pemesejan Discord, telah disoal sekumpulan senator Amerika pada Januari semasa sidang tentang keselamatan kanak-kanak dalam talian.
Senator Republikan, Encik Lindsey Graham, menuduh pemimpin bertanggungjawab kerana gagal melindungi pengguna muda daripada pemangsa seksual.
Beberapa negeri Amerika telah berusaha meluluskan undang-undang melindungi kanak-kanak daripada kesan berbahaya media sosial, seperti kebimbangan, kemurungan dan penyakit mental lain akibat daripadanya.
Penggubal undang-undang New York pada Jun meluluskan undang-undang menghalang wadah media sosial daripada mendedahkan kandungan algoritma “menagihkan” kepada pengguna di bawah umur 18 tahun tanpa kebenaran ibu bapa.
Pada Mac, Gabenor Florida, Encik Ron DeSantis, menandatangani rang undang-undang yang melarang kanak-kanak di bawah 14 tahun daripada menggunakan wadah media sosial dan memerlukan kanak-kanak berumur 14 dan 15 tahun mendapatkan kebenaran ibu bapa. – Reuters.

