Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga cipta suasana selesa walau rumah kecil, sumber terhad

Keluarga enam beranak raih manfaat projek amal bantu golongan memerlukan ubah suai flat
Nov 6, 2025 | 5:30 AM
cipta ruang di rumah, rumah kecil, kanak-kanak
Encik Mohamed Shahril Ahmad Arif dan Cik Rozieyana Zainal sekeluarga akhirnya dapat berteduh di rumah sendiri setelah tinggal di flat sewa selama hampir 10 tahun. Pasangan itu bersama anak mereka (dari kiri), Aulia Hasyiqa Mohamed Shahril, Mohamed Asyiqal Halqie Mohamed Shahril, Mohamed Aisy Hyqel Mohamed Shahril dan Nur Syifa Emelda Said, di ruang tamu rumah baru mereka di Sembawang. - Foto BH oleh KHALID BABA

Walaupun tinggal di flat sewa dua bilik yang kecil dan sempit selama hampir satu dekad, kasih sayang dan perhatian tetap menjadi asas rumah Encik Mohamed Shahril Ahmad Arif dan Cik Rozieyana Zainal.

Encik Shahril, 45 tahun, bertugas sebagai pekerja pembersihan untuk menampung keluarga, manakala Cik Rozieyana, 38 tahun, mengurus rumah tangga sambil kadangkala menjalankan perniagaan kecil dari rumah.

Empat anak mereka, Nur Syifa Emelda Said, 17 tahun; Mohamed Asyiqal Halqie Mohamed Shahril, tujuh tahun; Mohamed Aisy Hyqel Mohamed Shahril, lima tahun; dan Aulia Hasyiqa Mohamed Shahril, tiga tahun; sentiasa menjadi pusat perhatian dan kasih sayang pasangan itu.

Menurut Encik Shahril, tinggal serumah dengan empat anak dalam ruang yang terhad memang mencabar dan mereka sudah lama mengimpikan rumah yang lebih besar dan yang paling penting, memiliki rumah sendiri.

Selepas kira-kira lima tahun menunggu dan berusaha, keluarga itu akhirnya berjaya mendapatkan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) tiga bilik di Sembawang dan telah menetap di sana sejak Julai, menjadikan pengalaman menyewa mereka satu kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.

Mengenang pengalaman di flat sewa di Yishun itu, Cik Rozieyana berkongsi bagaimana mereka cuba mencipta suasana selesa dan mesra kanak-kanak walaupun dengan ruang dan sumber yang terhad.

Menurut Cik Rozieyana, beliau suka mengatur semula perabot untuk memaksimumkan ruang dan mewujudkan persekitaran ‘baru’ supaya rumah mereka tidak kelihatan bosan.

“Di rumah lama, saya sediakan ruang khas di sebelah ruang tamu bersebelahan televisyen untuk anak-anak bermain dan berseronok tanpa mengganggu atau mengotorkan kawasan lain di rumah.

“Kalau saya asyik atur semula perabot tetapi tiada ruang untuk anak kami bermain, apa gunanya?” ujarnya.

Encik Shahril berseloroh bahawa kadang-kadang apabila pulang dari kerja, beliau rasa seperti berada di rumah orang lain kerana susunan rumah selalu berubah.

Demi menjadikan rumah sewa mereka nampak ‘baru’ dan tidak membosankan, Cik Rozieyana (dua dari kanan) sering mengatur semula perabot dan menghias ruang sebaik mungkin.
Demi menjadikan rumah sewa mereka nampak ‘baru’ dan tidak membosankan, Cik Rozieyana (dua dari kanan) sering mengatur semula perabot dan menghias ruang sebaik mungkin. - Foto BH oleh KHALID BABA

Di dalam flat sewa itu, satu-satunya bilik tidur, didiami Encik Shahril, Cik Rozieyana dan anak bongsu mereka, manakala anak lain tidur di ruang tamu.

Kini, di rumah baru yang mempunyai dua bilik tidur dan satu ruang tamu, pasangan itu berkongsi bilik dengan anak bongsu mereka, sementara tiga anak lain berkongsi bilik yang satu lagi.

Cik Rozieyana menekankan walaupun flat sewa mereka kecil, beliau sentiasa menanamkan nilai kesyukuran kepada anak-anaknya dengan merenung nasib keluarga lain yang berada di kawasan konflik atau di luar negara.

Selain cabaran ruang, mereka juga menghadapi tekanan kewangan kerana Encik Shahril merupakan pencari nafkah tunggal keluarga dan bekerja sebagai pekerja pembersihan setiap hari dari 7.30 pagi hingga 6 petang, dengan hanya satu hari rehat dalam sebulan.

“Isteri saya memang berniat untuk bekerja, tetapi situasi tidak mengizinkan… kalau kami berdua bekerja, siapa yang nak jaga anak?” kata Encik Shahril.

Ketika masih tinggal di flat sewa, keluarga itu mendapatkan bantuan dari Pusat Khidmat Keluarga (FSC) di Yishun.

Menurut Encik Shahril, pusat kendalian Persatuan Kanak-Kanak Singapura itu menyediakan barangan keperluan seperti makanan, lampin dan susu tepung, serta memberi sokongan emosi kepada Cik Rozieyana ketika beliau berasa kesunyian.

Ketika masih tinggal di flat sewa, keluarga Encik Shahril (kiri) mendapatkan bantuan dari Pusat Khidmat Keluarga di Yishun kendalian Persatuan Kanak-Kanak Singapura.
Ketika masih tinggal di flat sewa, keluarga Encik Shahril (kiri) mendapatkan bantuan dari Pusat Khidmat Keluarga di Yishun kendalian Persatuan Kanak-Kanak Singapura. - Foto BH oleh KHALID BABA

Semasa menetap di flat sewa, keluarga itu turut terlibat dalam kempen Project HomeLift yang dikendalikan pertubuhan kebajikan, Ray of Hope.

Di bawah kempen itu, Cik Rozieyana dan anak sulungnya, Nur Syifa, berkongsi pandangan dengan pelajar reka bentuk dari Politeknik Temasek untuk mereka semula ruang rumah agar ia lebih berfungsi dan selesa.

Baki dana kempen tersebut kemudian disalurkan kepada keluarga mereka, membolehkan mereka bekerjasama dengan kontraktor untuk menambah baik rumah baru, termasuk memasang perabot penting seperti almari, kabinet dapur dan jeriji tingkap.

Menyentuh tentang proses pemindahan ke rumah baru, Encik Shahril berkata ia dilakukan oleh mereka sekeluarga tanpa menggunakan khidmat pindah rumah.

“Anak-anak begitu gembira dan tidak sabar untuk berpindah. Mereka juga kagum apabila melihat rumah baru ada dua bilik air.

“Alhamdulillah, mereka (anak-anak) teruja dan kami pun turut senang hati melihat mereka gembira,” tambahnya.

Bagi Encik Shahril (tiga dari kanan) dan Cik Rozieyana (dua dari kiri), rumah baru mereka bukan sahaja sebuah tempat tinggal, tetapi melambangkan usaha keras, kesabaran, dan kasih sayang yang tidak pernah pudar.
Bagi Encik Shahril (tiga dari kanan) dan Cik Rozieyana (dua dari kiri), rumah baru mereka bukan sahaja sebuah tempat tinggal, tetapi melambangkan usaha keras, kesabaran, dan kasih sayang yang tidak pernah pudar. - Foto BH oleh KHALID BABA

Apabila ditanya tentang perjalanan keluarganya dari hampir 10 tahun tinggal di flat sewa sehingga akhirnya memiliki rumah sendiri, Encik Shahril hanya tersenyum sambil memandang isterinya.

“Rumahku, syurgaku. Ia hasil titik peluh saya.

“Dari tiada apa-apa, kini kami memiliki rumah sendiri di Singapura.

“Dengan itu, kami harap anak kami dapat memiliki taraf hidup yang lebih baik pada masa depan,” katanya.

Cik Rozieyana juga berharap semua anaknya belajar menjadi orang dewasa yang penyabar untuk mengharungi hidup yang penuh dengan cabaran.

Beliau berkata demikian sambil terkenang masa mereka di flat sewa, apabila pasangan itu menyaksikan anak-anak membesar, yang menurutnya, “satu pengalaman yang amat berharga tetapi tidak boleh diulangi”.

“Sekarang masanya untuk kami melihat mereka membesar di rumah ini pula, mungkin sehingga kami berdua ‘tutup mata’,” kongsi Cik Rozieyana.

Kini, bagi Encik Shahril dan Cik Rozieyana, rumah baru mereka bukan sekadar tempat tinggal, tetapi simbol usaha keras, kesabaran, dan kasih sayang yang tidak pernah pudar.

Atur semula perabot untuk maksimumkan ruang, wujud sekitaran ‘baru’

Di rumah lama, saya sediakan ruang khas di sebelah ruang tamu bersebelahan televisyen untuk anak-anak bermain dan berseronok tanpa mengganggu atau mengotorkan kawasan lain di rumah. Kalau saya asyik atur semula perabot tetapi tiada ruang untuk anak kami bermain, apa gunanya?
Cik Rozieyana Zainal.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg