Topik diikuti
Pergi ke BHkuPanduan 2 hari di Tokyo: Pengalaman makanan halal dan budaya unik untuk pelancong Muslim
Apa yang terlintas di fikiran bila sebut sahaja Tokyo?
Pasti kita akan terbayang keindahan bunga sakura, keunikan anime, atau kesibukan bandar rayanya.
Bagi pelancong Muslim pula, soalan pertama yang selalu bermain di fikiran adalah satu sahaja: “Senang ke nak cari makanan halal di sana?”
Dahulu mungkin agak mencabar.
Tetapi percayalah, mencari makanan halal di Tokyo sekarang bukan lagi satu cabaran besar.
Dengan perancangan yang betul, Tokyo sebenarnya sudah jauh lebih mesra Muslim.
Baru-baru ini, saya berpeluang meneroka Tokyo.
Walaupun saya hanya ada waktu singkat dua hari di sana, macam-macam yang dapat saya terokai, malah puas saya isi perut dengan pelbagai hidangan Jepun!
Terbang Bersama ‘Spider-Man’ & Menginap di Hotel Futuristik
Percutian saya bermula dengan cukup happening apabila saya berpeluang terbang ke Tokyo (Haneda) menaiki pesawat Boeing 787-9 Dreamliner dari Scoot.
Menariknya, ia bukan penerbangan biasa, tetapi penerbangan bertema istimewa, hasil kerjasama dengan filem ‘Spider-Man: Brand New Day!’.
Segala hiasan dalaman pesawat, hinggalah ke sarung tempat letak kepala dihiasi dengan tema watak ikonik tersebut.
Sampai sahaja di Tokyo, saya menginap di Yotel Ginza.
Memandangkan jadual saya padat dengan aktiviti, lokasi hotel ini memang sangat strategik.
Sekiranya ingin ke stesen kereta api, masa yang diambil pun tidak sampai 10 minit berjalan kaki!
Satu lagi yang buat saya teruja (dan mungkin sedikit ‘bahaya’ untuk poket), hotel ini terletak sangat dekat dengan cawangan utama Uniqlo dan GU.
Senang cerita, selepas penat berjalan pada siang hari, malamnya boleh singgah ke sana untuk membeli-belah sebelum pulang ke bilik pada sebelah malam.
Rekaan hotel ini sangat moden dan berkonsepkan futuristik.
Katil ‘SmartBed’ yang boleh diubah bukan saja menjimatkan ruang, malah cukup selesa untuk merehatkan badan yang lenguh sebelum menyambung perjalanan pada keesokan hari.
Mengenali Budaya Jepun Melalui Secawan Matcha
Jika anda mencari kelainan daripada sekadar melawat lokasi tumpuan pelancong, menyertai upacara minum teh tradisional sambil menyarungkan kimono adalah pengalaman yang wajib dicuba.
Saya memulakan hari dengan memakai kimono dan menyertai upacara minum teh di Maikoya Kimono Tea Ceremony.
(Tip: saya sarankan untuk tempah pengalaman ini awal-awal melalui aplikasi Klook. Urusan jadi jauh lebih mudah dan teratur apabila sampai di sana nanti.)
Sebaik sahaja saya melangkah masuk ke bilik upacara, riuh-rendah kota Tokyo seolah-olah tertinggal di luar.
Perhatian saya ditarik oleh tokonoma, satu ruang khas yang dihiasi bunga bermusim dan kaligrafi.
Mesej kaligrafi pada hari itu cukup puitis: Ichi-go ichi-e, yang bermaksud menghargai setiap pertemuan kerana detik itu mungkin tidak akan berulang lagi dalam hidup kita.
Mesej itu benar-benar meresap ke dalam jiwa.
Bau harum matcha yang dikacau perlahan memenuhi segenap ruang.
Hanya bunyi geseran lembut pengacau buluh (chasen) menyentuh mangkuk kedengaran, mencipta satu suasana aman yang menenangkan.
Sebelum menghirup matcha yang pahit-pahit manis, kami disajikan dengan manisan tradisional (wagashi).
Setiap pergerakan hos teh begitu teliti dan mempunyai tujuannya yang tersendiri, mengajar saya erti melambatkan rentak kehidupan dan menghargai masa kini.
Asakusa: Sehari Berkimono Menyelami Tradisi
Satu perkara yang paling ‘best’ adalah selepas selesai upacara teh, kami dibenarkan memakai kimono tersebut sehingga pukul 6 petang!
Jadi, saya ambil peluang keemasan itu untuk bersiar-siar di sekitar Kuil Asakusa (Sensō-ji) yang terletak berhampiran.
Berjalan-jalan di sekitar kuil tertua di Tokyo ini dan Jalan Nakamise sambil mengenakan kimono memang satu pengalaman yang cukup berbaloi.
Saya rasa macam betul-betul ‘masuk’ ke dalam kehidupan dan budaya masyarakat Jepun zaman dahulu.
Selepas puas bergambar, perut pun mula berkeroncong.
Dari Sensō-ji, saya hanya perlu berjalan kaki dalam empat minit sahaja untuk menikmati makan tengah hari di Halal Japanese Curry Yoshi Passion.
Suasana kedainya sangat selesa bak di rumah sendiri, ringkas dengan meja kayu dan hiasan kimono yang digantung kemas pada dinding.
Di sini, saya bebas memilih jenis kari yang diinginkan.
Kari asli Jepun mereka memang pekat dan rasa rempahnya cukup seimbang, tidak terlalu pedas, dan sangat sedap dimakan panas-panas bersama udang dan ayam goreng mereka yang rangup!
Menariknya, kita juga boleh beli pek kari segera untuk dibawa pulang ke Singapura.
Satu lagi kemudahan di kawasan ini adalah susun aturnya yang sangat mesra pejalan kaki.
Kira-kira sebelas minit berjalan santai dari kedai kari tadi, saya singgah pula di kedai runcit HALAL-YA.
Di sinilah saya memborong pelbagai snek keluaran tempatan berstatus halal untuk dijadikan buah tangan.
Tak perlu membuang masa berdiri lama-lama guna Google Translate semata-mata untuk imbas bahasa Jepun di belakang bungkusan!
Satu lagi perkara yang buat saya kagum di kedai ini ialah penemuan koleksi tudung hasil kolaborasi mereka bersama jenama TudungPeople!
Coraknya pula bermotifkan elemen Jepun, memang sangat cantik dan eksklusif.
Menyelami Nadi Moden Tokyo
Percutian ini rasanya tak sah kalau tak singgah ke kawasan paling meriah di Tokyo, iaitu Harajuku dan Shibuya.
Harajuku membuatkan saya terpegun.
Lorongnya dipenuhi butik fesyen pelik tapi unik, kafe berkonsep, dan sudah tentu deretan mesin mainan kapsul (gachapon) yang sentiasa menggoda dompet pengunjung!
Di sinilah anda boleh cuci mata melihat golongan belia menggayakan fesyen jalanan pelbagai subbudaya yang cukup berani dan ekspresif.
Setibanya di Shibuya pula, hati saya berdebar-debar apabila berdiri di hadapan persimpangan pejalan kaki ikoniknya, Shibuya Scramble Crossing.
Sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau, lautan manusia mula melintas dari pelbagai arah dengan serentak, satu pemandangan yang cukup mendebarkan tetapi teratur!
Sempat juga saya perhatikan ramai yang sibuk mengambil gambar dan merakam diri sendiri di tengah-tengah persimpangan itu untuk dijadikan kenangan.
Dikelilingi papan iklan digital gergasi bertingkat-tingkat dan bangunan bercahaya neon, Shibuya benar-benar memaparkan wajah sebenar metropolis Tokyo yang tidak pernah tidur.
Teroka Makanan: Tiada Lagi Istilah FOMO
Ini bahagian yang paling saya tunggu-tunggu apabila ke Jepun!
Kalau anda selalu ikuti perkembangan di media sosial, pasti anda tahu tentang satu jenama donut yang sedang sangat viral di Jepun sekarang.
Donut itu malangnya tidak halal.
Tapi jujur saya cakap, saya langsung tak rasa FOMO (Fear Of Missing Out) atau ketinggalan.
Kenapa?
Ini kerana saya terjumpa Poteri Bakery.
Saya sempat mencuba donut krim kastard mereka yang sangat gebu dan sedap.
Paling melegakan, kedai ini memaparkan sijil halal dengan jelas.
Perut kenyang, hati pun tenang.
Untuk makan malam berdekatan kawasan hotel di Ginza, saya singgah pula di Gyumon Halal Ramen.
Melangkah masuk, saya terus tertarik dengan rekaan dalaman restorannya yang estetik dan moden minimalis, diserikan dengan payung kertas tradisional di siling serta konsep dapur terbuka.
Bintang utama bagi saya pada malam itu semestinya menu ramen berkuah putih mereka (all topping white broth wagyu ramen).
Bayangkan mangkuk ramen hangat yang dihidangkan dengan sup pekat beraroma tapi tidak muak, ditambah pula dengan gabungan ayam goreng rangup, telur setengah masak, dan kepingan daging wagyu yang begitu lembut seakan cair di mulut.
Memang hidangan mewah yang agak sukar untuk ditemui di tempat kita.
Gabungan luar biasa ini memang sangat berbaloi dan memberikan satu tahap kepuasan maksimum buat penggemar ramen.
Paling ‘best’ dan memudahkan, restoran ini turut menyediakan kemudahan ruang solat (musollah), jadi kita tak perlu tergesa-gesa mencari tempat solat selepas makan!
Satu lagi hidangan wajib apabila menjejakkan kaki di Jepun mestilah sushi!
Saya singgah di Fujiyama Tokyo untuk menikmati sendiri pilihan sushi mereka yang dijamin halal.
Restoran ini tampil terang dan luas, dilengkapi kemudahan moden di mana kita boleh membuat pesanan dengan mudah menggunakan tablet yang disediakan di meja.
Menariknya di sini, restoran ini menawarkan pilihan sama ada pelanggan mahu menikmati bufet makan sepuasnya (all-you-can-eat) ataupun memesan secara ala carte.
Saya memilih pesanan a la carte.
Paling mencuri tumpuan semestinya mural gergasi bertulis ‘NO SUSHI, NO LIFE’ dengan ilustrasi karakter Jepun klasik pada dinding restoran!
Saya berpeluang merasa kualiti potongan ikan yang betul-betul segar di negara asalnya.
Ia memang memberi satu kepuasan yang sukar diungkapkan.
Hingga ke hari ini, saya masih terbayang-bayang bagaimana hirisan perut ikan tuna (chutoro) mereka yang cukup lembut dan berlemak cair di dalam mulut.
Memang puas hati!
Pendek kata, percutian ke Tokyo kali ini betul-betul membuka mata.
Ia membuktikan yang pelancong Muslim kini boleh menyelami keindahan budaya, sejarah, dan kehebatan gastronomi Jepun dengan mudah.
