Wajah-wajah ceria seluruh anggota keluarga penulis bergambar kenangan di hadapan mercu tanda tulisan besar ikonik Pulau Maafushi yang menjadi pintu gerbang utama percutian bajet mereka di Maldives.
Wajah-wajah ceria seluruh anggota keluarga penulis bergambar kenangan di hadapan mercu tanda tulisan besar ikonik Pulau Maafushi yang menjadi pintu gerbang utama percutian bajet mereka di Maldives. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN

Apabila sebut sahaja tentang bercuti ke Maldives, pasti ramai yang akan menganggap destinasinya terlalu mahal.

Namun, bagaimana jika saya katakan yang anda sebenarnya boleh meneroka negara yang terkenal dengan keindahan air laut yang sangat jernih dan pantai yang memukau ini dengan kos di bawah $1,100?

Baru-baru ini, saya dan keluarga besar seramai 22 orang berangkat ke Maldives pada cuti sekolah bulan Jun yang lalu.

Perjalanan 5 hari 4 malam ini bukan sekadar percutian biasa, tetapi ia merupakan sebuah misi mengulang tradisi.

Kali terakhir kami berkumpul untuk percutian pantai yang meriah adalah pada tahun 2010 di Pulau Redang, iaitu ketika saya baru sahaja berusia lapan tahun.

Selepas 16 tahun berlalu, ikatan ukhuwah itu kembali bertaut di bumi Maldives.

Bagaimana Kami Mendapat Kos Sebegini Murah?

Penulis bersama keluarga menikmati sajian di restoran hotel Triton Exotica, yang tersedia di bawah pakej serba lengkap - salah satu strategi yang banyak membantu menjimatkan kos perbelanjaan makanan mereka sepanjang berada di Maafushi.
Penulis bersama keluarga menikmati sajian di restoran hotel Triton Exotica, yang tersedia di bawah pakej serba lengkap - salah satu strategi yang banyak membantu menjimatkan kos perbelanjaan makanan mereka sepanjang berada di Maafushi. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN

Ramai yang tertanya-tanya bagaimana kami boleh mengurangkan kos dengan begitu drastik untuk kumpulan besar yang dianggotai oleh 18 dewasa dan 4 kanak-kanak ini.

Rahsia utama kami ialah perancangan awal dan disiplin menabung.

Kami mula merancang sejak bulan Ogos tahun lalu.

Selepas mendapatkan pelbagai sebut harga, kami mewujudkan sistem tabungan keluarga bermula November.

Kami menggunakan dokumen hamparan ‘Excel’ atau ‘spreadsheet’ di mana setiap unit keluarga boleh memilih untuk membayar komitmen secara bulanan kepada “bendahari” pelantikan kami.

Langkah ini sangat membantu untuk menetapkan jangkaan bajet yang realistik dan membolehkan semua orang menyimpan wang sewajarnya mengikut kemampuan tanpa rasa terbeban.

Hasrat kami sejak awal lagi adalah mahu meneroka destinasi yang lebih jauh daripada Malaysia atau Indonesia, dan kami mahukan sebuah pengembaraan yang dipenuhi dengan aktiviti fizikal, bukannya sekadar membeli-belah di kota.

Untuk merealisasikan impian ini, kami memilih untuk ke pulau tempatan iaitu Pulau Maafushi.

Pilihan ini jauh lebih bijak berbanding memilih resort pulau privet yang boleh menelan belanja ratusan hingga ribuan dolar semalam.

Sebaliknya, harga penginapan di pulau tempatan – iaitu pulau yang turut didiami penduduk – biasanya lebih murah.

Faktor tempahan awal beberapa bulan sebelum terbang iaitu bermula November juga secara automatik melayakkan kami mendapat diskaun harga kumpulan.

Selain itu, saya difahamkan oleh pihak pengurusan hotel bahawa bulan Mei hingga Oktober merupakan tempoh kadar harga rendah di Maldives disebabkan oleh faktor cuaca monsun dan permintaan pelancong yang rendah.

Waktu luar puncak inilah yang membuka peluang emas untuk kami mendapatkan kadar harga hotel empat bintang yang tersangat murah.

Secara keseluruhan, kos asas setiap individu bagi dua dewasa yang berkongsi satu bilik ialah:

Tiket penerbangan (Malaysia Airlines): $581

Pengangkutan bot laju (membawa kami pergi balik lapangan terbang ke Pulau Maafushi): $35

Penginapan di Triton (termasuk sajian lengkap untuk lima hari empat malam): $415

Jumlah kos asas: $1,031 seorang

Untuk penerbangan, kami menaiki Malaysia Airlines (MAS).

Perjalanan kami melibatkan dua penerbangan: dari Singapura ke KL sekitar 45 minit, kemudian transit lebih kurang 2 jam 30 minit, sebelum meneruskan penerbangan ke Male, Maldives selama kira-kira 4 jam.

Perjalanan pulang juga menggunakan laluan yang sama.

Satu lagi rezeki besar buat kami adalah dari segi penginapan.

Kami pada mulanya menempah bilik di Triton Prestige Sea View & Spa.

Bagaimanapun, sebaik tiba, kami telah diberikan peningkatan taraf bilik secara percuma ke hotel terbaru mereka yang terletak di pesisir pantai iaitu Triton Exotica, yang baru sahaja beroperasi selama sebulan!

Bukan sahaja mendapat hotel baru, malah staf-staf Triton di sana juga sangat ramah dan sentiasa membantu, membuatkan kami berasa sangat dialu-alukan.

Lebih menjimatkan, kami mengambil pakej bilik yang termasuk sajian merangkumi tiga kali makan sehari.

Menariknya tentang Maldives, memandangkan ia negara Muslim, semua makanan di atas pulau adalah dijamin halal.

Terdapat banyak restoran tempatan yang menjual pelbagai menu seperti piza, beriani, dan makanan laut segar pada harga yang sangat berpatutan, contohnya, harga piza bermula daripada sekitar AS$15 ($19) sahaja.

Perlu diingat, bajet sekitar $1,100 ini ialah kos asas untuk penerbangan, pengangkutan bot laju, dan penginapan sahaja.

Untuk aktiviti sukan air, kosnya terpulang kepada bajet masing-masing.

Di pulau tempatan seperti Maafushi, harganya jauh lebih murah berbanding resort pulau privet.

Sebagai perbandingan, sesi snorkeling separuh hari di Maafushi baru sekitar AS$40.

Aktiviti lasak seperti jet ski cuma AS$40 untuk 15 minit dan jet car pula AS$135 untuk 15 minit.

Kalau di resort pulau privet, kadar harganya boleh melonjak hingga AS$140 untuk jet ski dan AS$295 untuk jet car.

Perbezaannya sangat ketara!

Satu pesanan penting bagi sesiapa yang mahu ke sini, sebahagian besar urusan harian di pulau ini menggunakan Dolar Amerika (AS).

Majoriti daripada kami menukar wang tunai ke mata wang AS lebih banyak berbanding mata wang tempatan mereka iaitu Rufiyaa.

Apa yang perlu diingat, peniaga tempatan di sini cerewet tentang keadaan fizikal wang kertas.

Pastikan wang tunai AS yang anda bawa adalah jenis yang bersih, baru, dan langsung tidak mempunyai sebarang kesan renyuk atau koyak kecil.

Malah, wang kertas AS yang dibawa mestilah siri dari tahun 2006 dan ke atas sahaja.

Ada sebahagian daripada kami yang terlepas pandang dan tidak menyemak tahun siri tersebut ketika menukar wang di Singapura.

Akibatnya, wang kertas versi lama tersebut ditolak sepenuhnya oleh peniaga sewaktu kami mahu menggunakannya di Maafushi.

Aktiviti yang dilakukan semasa di Maafushi?

Proses perancangan sebelum lawatan ini benar-benar melibatkan kerjasama semua orang.

Masing-masing membuat kajian tentang aktiviti yang mahu dilakukan serta mencari syarikat penerbangan dan tempat penginapan terbaik untuk keselesaan keluarga besar kami.

Kami malah mengadakan dua kali mesyuarat rasmi keluarga sebelum berlepas untuk berbincang secara terperinci!

Tampil bersemangat mengenakan jaket keselamatan, semua anggota keluarga penulis bersiap sedia di hadapan kaunter aktiviti Triton Hotels seawal jam 8 pagi sebelum menaiki bot untuk memulakan ekspedisi snorkeling berkumpulan.
Tampil bersemangat mengenakan jaket keselamatan, semua anggota keluarga penulis bersiap sedia di hadapan kaunter aktiviti Triton Hotels seawal jam 8 pagi sebelum menaiki bot untuk memulakan ekspedisi snorkeling berkumpulan. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN
Penulis bersama anggota keluarga terpesona dengan keindahan air laut yang sangat jernih dan biru ketika meluangkan masa bersantai di sebuah sandbank (beting pasir) yang memukau.
Penulis bersama anggota keluarga terpesona dengan keindahan air laut yang sangat jernih dan biru ketika meluangkan masa bersantai di sebuah sandbank (beting pasir) yang memukau. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN
Penulis bersama ahli keluarga merakam kenangan unik di bawah permukaan air laut jernih Maldives
Penulis bersama ahli keluarga merakam kenangan unik di bawah permukaan air laut jernih Maldives - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN
Meskipun memerlukan caj tambahan untuk sesi foto khas, penulis tidak melepaskan peluang merakam detik berharga bersama anak saudaranya yang berusia tiga tahun sambil terapung di tengah-tengah habitat jerung di Shark Bay, Maldives.
Meskipun memerlukan caj tambahan untuk sesi foto khas, penulis tidak melepaskan peluang merakam detik berharga bersama anak saudaranya yang berusia tiga tahun sambil terapung di tengah-tengah habitat jerung di Shark Bay, Maldives. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN
Ayah penulis menunjukkan ikan hasil tangkapannya ketika menyertai aktiviti memancing. Menariknya, pihak hotel turut menyediakan servis memasak hasil tangkapan tersebut sama ada digoreng atau dikukus untuk dijadikan hidangan makan malam.
Ayah penulis menunjukkan ikan hasil tangkapannya ketika menyertai aktiviti memancing. Menariknya, pihak hotel turut menyediakan servis memasak hasil tangkapan tersebut sama ada digoreng atau dikukus untuk dijadikan hidangan makan malam. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN
Kepelbagaian minuman menyegarkan yang dijual di restoran tempatan sekitar pesisir pantai Pulau Maafushi pada harga berpatutan bagi pelancong.
Kepelbagaian minuman menyegarkan yang dijual di restoran tempatan sekitar pesisir pantai Pulau Maafushi pada harga berpatutan bagi pelancong. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN
Anak-anak saudara penulis meluangkan masa berenang di kolam renang hotel Triton Exotica yang menawarkan pemandangan indah menghadap pesisir pantai Pulau Maafushi.
Anak-anak saudara penulis meluangkan masa berenang di kolam renang hotel Triton Exotica yang menawarkan pemandangan indah menghadap pesisir pantai Pulau Maafushi. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN
Keluarga penulis bersiap sedia dengan kamera masing-masing bagi merakam detik indah dan berasa teruja apabila sekumpulan ikan lumba-lumba muncul di permukaan.
Keluarga penulis bersiap sedia dengan kamera masing-masing bagi merakam detik indah dan berasa teruja apabila sekumpulan ikan lumba-lumba muncul di permukaan. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN
Keindahan landskap malam di Pulau Maafushi yang menyajikan panorama bintang yang jelas di langit menjadi antara detik santai yang paling dinikmati oleh keluarga penulis.
Keindahan landskap malam di Pulau Maafushi yang menyajikan panorama bintang yang jelas di langit menjadi antara detik santai yang paling dinikmati oleh keluarga penulis. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN
Selain meneroka hidupan marin, keluarga penulis tidak melepaskan peluang mencuba aktiviti sukan air mencabar dengan menaiki jet car.
Selain meneroka hidupan marin, keluarga penulis tidak melepaskan peluang mencuba aktiviti sukan air mencabar dengan menaiki jet car. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN
Kenangan ceria bersama ketika meluangkan masa bersantai di atas hamparan pasir putih sebuah sandbank atau beting pasir.
Kenangan ceria bersama ketika meluangkan masa bersantai di atas hamparan pasir putih sebuah sandbank atau beting pasir. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN
Gelagat sebahagian ahli keluarga penulis apabila didekati ikan pari.
Gelagat sebahagian ahli keluarga penulis apabila didekati ikan pari. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN
Penulis menemani anak saudaranya yang berusia lima tahun merasai pengalaman berenang secara dekat bersama jerung nurse shark.
Penulis menemani anak saudaranya yang berusia lima tahun merasai pengalaman berenang secara dekat bersama jerung nurse shark. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN

Kami meluangkan banyak masa bersantai di tepi pantai.

Walaupun terdapat beberapa aktiviti yang tidak disertai oleh sebahagian ahli keluarga kerana mereka lebih memilih untuk berehat, secara keseluruhannya jadual kami dipenuhi dengan aktiviti yang menyeronokkan.

Pada hari kedua, kami melakukan aktiviti snorkeling selama separuh hari.

Detik yang paling tidak dapat dilupakan adalah apabila kami menikmati makan tengah hari dengan menu Aglio Olio yang disediakan di atas ‘sandbank’ atau beting pasir.

Bayangkan makan di tengah-tengah laut dengan pemandangan air laut yang sangat jernih serta pasir putih yang bersih, keindahannya memang tiada tolok tandingnya!

Pada hari ketiga, kami meneruskan ekspedisi ke ‘Shark Bay’.

Pengalaman meredah air laut dalam dan terapung secara tenang bersama habitat jerung (nurse shark) memberikan satu perasaan yang sangat memukau.

Ada antara keluarga saya rasa takut, saya pula merasa sangat kagum dan terpukau kerana berpeluang berada begitu dekat dengan hidupan liar ini, sedangkan sebelum ini saya hanya mampu menontonnya melalui dokumentari sahaja!

Pengalaman dapat melihat pelbagai jenis ikan berwarna-warni dengan mata kepala saya sendiri di dalam air yang sangat jernih sememangnya juga tidak boleh dilupakan.

Pengembaraan kami menjadi lebih istimewa apabila sekumpulan ikan lumba-lumba muncul di permukaan air seolah-olah mahu menyapa kedatangan kami.

Malah, peluang keemasan dapat melihat ikan pari berenang bebas di tepi pantai benar-benar memberikan saya satu perasaan gembira yang luar biasa dan kenangan manis yang akan terpahat selamanya.

Suasana gamat seketika apabila melihat mak cik-mak cik mula panik sebelum turun ke air, namun masing-masing tetap ‘sporting’ melatih keberanian diri.

Segala momen indah kami dirakam kemas menerusi foto dan video profesional yang khidmatnya terangkum di dalam pakej sewa bot.

Ahli keluarga yang menggemari sukan lasak turut mengambil peluang mencuba aktiviti ‘jet ski’ dan ‘jet car’ membelah ombak lautan.

Kami menutup tirai hari tersebut dengan aktiviti memancing beramai-ramai pada waktu senja sambil menyaksikan langit bertukar warna di tengah lautan sepi.

Kebetulan, percutian kami kali ini jatuh pada musim Piala Dunia.

Salah satu momen santai yang paling mengikat memori adalah apabila kami sekeluarga berkumpul di lobi hotel untuk menonton beberapa perlawanan bersama-sama, termasuk aksi Portugal menentang Congo.

Detik riuh-rendah itu secara tidak sengaja mengulang kembali nostalgia lawatan kami ke Redang pada 2010, di mana kami juga meluangkan masa pada sebelah malam menyaksikan kejohanan Piala Dunia sebagai satu keluarga besar.

Adakah saya akan kembali lagi?

Jawapannya ialah 100% ya!

Walaupun di dalam kehidupan seharian saya merupakan seorang “anak kota”, saya selalu tahu bahawa jauh di sudut hati, saya adalah seorang “anak pulau” yang sentiasa cintakan hidupan lautan.

Ada satu perasaan damai yang luar biasa apabila matahari menyentuh kulit, dan pulang ke tanah air membawa kenangan bersama jalur kulit yang menggelap.

Merasakan tiupan angin laut yang tenang sewaktu kami duduk di dalam bot, bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi aktiviti yang lain, memberikan satu terapi ketenangan yang luar biasa.

Melihat anak-anak saudara kecil saya menunjukkan keberanian yang luar biasa meredah air laut juga membuatkan saya berasa tersangat bangga dengan mereka.

Tugas saya di dalam air untuk membantu mak cik-mak cik serta anak-anak saudara sepanjang aktiviti tersebut langsung tidak memenatkan, malah ia mengeratkan lagi hubungan kami.

Percutian ini adalah sesuatu yang sangat lama dinanti-nantikan dan saya amat bersyukur dapat meluangkan masa bersama keluarga tersayang.

Syurga dunia di Maldives ini mengajarkan kami bahawa kebahagiaan paling mewah bukanlah pada harga sebuah penginapan, tetapi pada nilai kebersamaan.

Saya meninggalkan Maldives dengan sejuta kesyukuran, membawa pulang bukan sekadar gambar estetik, tetapi sebuah memori indah yang akan tertulis dalam sejarah keluarga kami sepanjang hayat.

Keindahan pelangi yang merentasi ruang langit dari balkoni bilik penginapan penulis seolah-olah menjadi lambaian selamat tinggal yang istimewa sebelum mereka berangkat pulang.
Keindahan pelangi yang merentasi ruang langit dari balkoni bilik penginapan penulis seolah-olah menjadi lambaian selamat tinggal yang istimewa sebelum mereka berangkat pulang. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN
Penulis tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya ketika berenang menikmati keaslian air laut yang jernih seumpama kristal.
Penulis tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya ketika berenang menikmati keaslian air laut yang jernih seumpama kristal. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDDIN