Terdapat banyak kaedah berbeza boleh digunakan oleh penjenayah siber untuk mengakses akaun atau aset siber tanpa pengetahuan anda.
Ini termasuk meneka kata laluan yang lemah.
Demi mengelak diri daripada dijerat penggodam, Agensi Keselamatan Siber (CSA) memberi panduan sebagai membantu pengguna teknologi membina kata laluan yang kukuh dan mengunci kata laluan itu dengan kawalan tambahan.
Laman CSA misalnya mengandungi pelbagai sumber supaya pengguna dapat menggunakan wadah digital dengan lebih aman.
Menurut CSA, kata laluan yang kukuh adalah penting untuk memastikan akaun dalam talian dan maklumat peribadi anda selamat daripada menjadi mangsa penjenayah siber.
Langkah mendayakan Pengesahan Dua Faktor (2FA) akan menyediakan lapisan keselamatan tambahan.
Kata laluan boleh disifatkan sebagai kunci pertama bagi akaun atau aset digital anda.
Ia menawarkan barisan pertahanan pertama yang menghalang penjenayah siber daripada mendapat akses kepada akaun dalam talian anda.
Pendek cerita, hanya anda sahaja yang seharusnya tahu kata laluan anda.
Andainya kata laluan anda jatuh ke tangan yang salah, anda berdepan risiko kehilangan akaun dalam talian anda, maklumat peribadi yang penting dan mungkin juga wang simpanan anda.
Risiko kerugian lebih tinggi jika anda gunakan kata laluan yang sama merentas akaun berbeza.
Penjenayah siber juga boleh menggunakan e-mel anda untuk mengakses banyak akaun dalam talian anda yang lain, menyamar dan kemudian melakukan jenayah penipuan terhadap orang yang anda kenali.
Terdapat banyak kaedah berbeza yang boleh digunakan oleh penjenayah siber untuk mendapatkan kata laluan anda.
Satu kaedah ialah gunakan alat automatik untuk memecahkan kata laluan anda.
Penjenayah siber boleh melakukan serangan berasaskan kamus atau tekaan secara paksa untuk meneka kata laluan anda.
Ini boleh dilakukan menggunakan program yang menyemak kata laluan anda terhadap ‘kamus kata laluan’ atau senarai kata laluan dan kombinasi aksara yang biasa digunakan.
Bermakna lebih pendek dan lebih ringkas kata laluan anda, lebih mudah penjenayah dapat memecahkan kata laluan anda.
Satu cara memeriksa kecekapan penggodam ialah menggunakan alat Gosafeonline Password Checker.
Usaha TechKini mencuba alat untuk dengan menggunakan kata laluan ‘PassWord’ menunjukkan penggodam hanya memerlukan 7 saat memecahkan kata laluan itu.
Demi memastikan akaun dalam talian anda dan maklumat yang terkandung selamat daripada penjenayah siber, pengguna dinasihatkan menggunakan kata laluan yang kuat, panjang dengan aksara rambang.
Mulakan kata laluan dengan sekurang-kurang 12 aksara, mengandungi campuran huruf, simbol dan angka.
Langkah pertama, gunakan lima perkataan berbeza yang unik tetapi mudah anda ingati seperti sayasukamakan5durian.
Kesimpulannya, lebih panjang lebih rumit kata laluan anda, lebih sukar usaha menekanya.
Pastikan anda tidak menggunakan maklumat peribadi seperti nama anda, kad pengenalan atau tarikh lahir, atau maklumat lain yang mudah diperoleh dengan mudah.
Langkah 2 Campur adukkan huruf besar dan kecil, nombor dan simbol untuk jadikannya lebih sukar dipecahkan misalnya $aYasukaMAKAN5duriaN. (Gunakan wadah sedia ada penggodam memerlukan sekurang-kurang 10 bilion tahun untuk memecahkan kata laluan seperti ini).
Pastikan susunan kata laluan anda tidak mempunyai corak yang mudah diramalkan dan elak menggunakan frasa popular seperti ManchesterUnited.
2FA merupakan wadah digital yang menggunakan lebih daripada satu jenis maklumat untuk mengenal pasti identiti anda dalam talian.
2FA serupa dengan kunci kedua yang mengawal akaun anda, Kod 2FA lazimnya dikirim menerusi aplikasi khusus seperti Okta, e-mel atau peranti digital berasingan.
Selepas anda masukkan kata laluan anda perlu rujuk kepada e-mel, aplikasi atau peranti digital berasingan untuk mendapatkan kod rambang yang kerap berubah.
Selepas memasukkan kod rambang itu barulah anda boleh mendapat akses ke akuan anda
2FA menawarkan lapisan keselamatan kedua memastikan andainya penggodam berjaya meneka kata laluan anda, ia masuk tidak boleh masuk kerana tidak mempunyai kod 2FA.
2FA sedia tersedia untuk kebanyakan akaun dalam talian popular, termasuk e-mel dan akaun media sosial anda.
Selain daripada mencipta kata laluan yang kukuh dan mendayakan 2FA, adalah penting anda ambil langkah untuk melindungi kata laluan anda:
Gunakan kata laluan yang berbeza untuk akaun dalam talian anda
Elak kongsi kata laluan anda dengan sesiapa sahaja atau tuliskan kata laluan itu di tempat yang mudah dilihat.
Elak log masuk ke perkhidmatan dalam talian melalui rangkaian Wi-Fi yang tidak selamat
Elak berikan kod 2FA anda kepada sesiapa sahaja menerusi telefon, e-mel atau laman web yang mencurigakan kerana anda boleh menjadi mangsa pancingan data.
Pegawai pemerintah atau kakitangan perkhidmatan tidak akan meminta kata laluan atau kod 2FA daripada anda.
Jika anda percaya bahawa kata laluan anda telah terjejas, tukar kata laluan itu dengan segera dan semak tanda-tanda kegiatan yang mencurigakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg