Jawatankuasa fatwa Muis semak kadar fidyah selaras harga makanan semasa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jawatankuasa fatwa Muis semak kadar fidyah selaras harga makanan semasa

Kadar fidyah kini $4 sehari berbanding $1.40 mulai Ramadan 2026
Feb 16, 2026 | 6:12 PM

Jawatankuasa fatwa Muis semak kadar fidyah selaras harga makanan semasa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
fidyah, s’pura, kadar baru
Kadar fidyah kini diperbaharui daripada $1.40 kepada $4 sehari bermula Ramadan 2026. - Foto fail

Kadar fidyah di Singapura disemak daripada $1.40 kepada $4 sehari bermula Ramadan 2026.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 16 Februari, perubahan itu menyaksikan kaedah pengiraan kini beralih daripada timbangan berat beras (satu mudd) kepada harga satu hidangan makanan sederhana di Singapura.

Langkah tersebut diambil selepas Muis menerima maklum balas masyarakat bahawa kadar lama tidak lagi mencukupi untuk membiayai satu hidangan lengkap bagi golongan memerlukan mengikut konteks kos sara hidup semasa.

Muis menjelaskan bahawa pihaknya telah mendapatkan pandangan Jawatankuasa Fatwa bagi melakukan semakan kadar yang lebih menyeluruh.

Badan agama itu berkata, kadar tersebut akan dikaji semula setiap tiga tahun supaya selaras dengan inflasi dan harga makanan.

Sejajar dengan itu, Jawatankuasa Fatwa turut menetapkan bahawa bayaran fidyah secara berganda tidak diwajibkan bagi mereka yang menangguhkan penggantian puasa atas sebab-sebab yang dibenarkan.

Ini termasuk penyakit berpanjangan, orang yang bermusafir, kehamilan dan penyusuan, atau sebarang keadaan di luar kawalan mereka.

Menurut Muis dalam kenyataannya pada 16 Februari, kedua-dua keputusan ini dibuat susulan kajian menyeluruh Jawatankuasa Fatwa terhadap rujukan dan prinsip Islam.

Ia turut menepati prinsip asas syariah Islam yang menekankan kemudahan serta menghilangkan kesukaran, di samping kajian tinjauan kos sara hidup di sini.

Menjelaskan lanjut, Muis berkata:

“Maklum balas daripada masyarakat dan asatizah menunjukkan bahawa kadar fidyah semasa mungkin tidak lagi mencukupi untuk menampung satu hidangan bagi golongan memerlukan, sekali gus mendorong pertanyaan fatwa mengenai kemungkinan semakan kadar.

“Sesuai dengan itu, Muis mendapati pembayaran fidyah yang besar walaupun pada kadar $1.40 dan oleh itu mendapatkan pandangan Jawatankuasa Fatwa mengenai fidyah terkumpul serta semakan kadar secara lebih menyeluruh.”

Kadar fidyah sebanyak $1.40 itu telah ditetapkan sejak 2014.

“Susulan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa, Muis turut mengemas kini kaedah pengiraan bagi bayaran fidyah dan kafarah.

“Pendekatan baru ini tidak lagi berasaskan berat beras, sebaliknya mencerminkan kos sebenar bagi menyediakan hidangan yang mencukupi kepada golongan memerlukan,” katanya.

Antara negara yang telah mengimplementasikan pengiraan fidyah menggunakan makanan berbanding beras ialah Amerika Syarikat (berdasarkan Majlis Fiqh Amerika Utara), Australia (berdasarkan Majlis Imam Kebangsaan Australia), dan Majlis Eropah bagi Fatwa dan Penyelidikan.

Kadar $4 bagi satu hidangan sederhana itu ditetapkan berdasarkan kajian ‘Kos Makan Di Luar – Indeks Makan 2.0’ daripada Institut Pengajian Dasar (IPS) pada 2023 dan ‘Hawker Food Price Trends Across Cooked Food Establishment Type’ daripada Jabatan Perangkaan Singapura (DOS) pada 2024, kata Muis.

Kadar baru fidyah juga akan diselaraskan dengan kadar kafarah yang sebelum ini ditetapkan pada $10 memandangkan kedua-duanya bertujuan memberi makanan kepada golongan yang memerlukan.

Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis, Ustaz Fathurrahman Dawoed, berkata kadar $1.40 itu merupakan kadar yang sangat ringan dan mengikut tahap kehidupan sekarang, ia agak rendah.

“Oleh itu, penyesuaian perlu dilakukan supaya kadar semasa itu lebih sesuai dengan konteks kehidupan kita pada hari ini. Yang lebih penting ialah masyarakat ingin menunaikan tanggungjawab apabila tidak dapat berpuasa pada waktu tertentu ataupun untuk membayar kafarah,” katanya.

Mengulas rasional di sebalik keputusan untuk tidak lagi mewajibkan pembayaran fidyah berganda, Muis berkata golongan yang terjejas termasuk individu berpendapatan rendah serta keluarga yang sebenarnya mampu membayar, namun berdepan jumlah bayaran fidyah terkumpul yang besar.

“Keadaan ini lazimnya timbul dalam dua situasi. Individu warga emas yang baru menyedari kewajipan membayar fidyah atau larangan menangguhkan qada puasa, termasuk puasa yang tertinggal akibat kehamilan atau penyusuan pada tahun-tahun terdahulu.

“Keluarga yang membuat bayaran bagi pihak ahli keluarga yang telah meninggal dunia dan masih mempunyai hutang puasa, yang kadangkala dikira sejak usia baligh apabila tempoh sebenar tidak dapat dipastikan,” kata Muis.

Semakin lama puasa yang tertinggal atau fidyah tidak diselesaikan, semakin besar jumlah keseluruhan yang perlu dibayar, tambahnya.

Namun, individu yang memilih untuk membayar fidyah secara berganda masih dibolehkan berbuat demikian.

Muis berkata bagi memudahkan peralihan yang lancar kepada kadar fidyah yang baru, satu pengaturan peralihan akan dilaksanakan sepanjang Ramadan 1447 hijrah.

Orang ramai yang telah membuat persediaan untuk membayar fidyah pada kadar lama sebanyak $1.40 masih boleh berbuat demikian dalam tempoh peralihan ini.

“Pengaturan peralihan ini akan berkuat kuasa selama sebulan sepanjang bulan Ramadan, selepas itu kadar baharu sebanyak S$4.00 akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Syawal 1447 hijrah dan seterusnya di pwadah Muis serta masjid,” katanya.

Selain itu, kadar zakat Fitrah juga telah ditetapkan bagi Ramadan 2026.

Kadar biasa dikekalkan pada $5 seorang, manakala kadar tinggi ditetapkan pada $8 seorang - peningkatan sebanyak $0.10 berbanding 2025.

“Kadar-kadar ini ditetapkan berdasarkan harga median beras gred biasa dan gred tinggi sebagai makanan ruji masyarakat,” kata Muis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg