Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon ‘Anak Metropolitan’ tidak sangka nama tular selepas bersara dari lakonan

Norseha Sani menjadi sebutan selepas muncul dalam podcast penerbangan, ‘Borak Dalam Galley’, kendalian Zarul Umbrella
Mar 21, 2025 | 4:43 AM
Pelakon dan ejen hartanah, Norseha Sani, tidak sangka kemunculannya dalam podcast ‘Borak Dalam Galley’, yang dikendalikan bekas pramugara, Zarul Umbrella, mengimbau banyak kenangan pada penonton.
Pelakon dan ejen hartanah, Norseha Sani, tidak sangka kemunculannya dalam podcast ‘Borak Dalam Galley’, yang dikendalikan bekas pramugara, Zarul Umbrella, mengimbau banyak kenangan pada penonton. - Foto BM oleh AININ ALFIYANI JAILANI
Pelakon Singapura, Norseha Sani (kanan), bersama (dari kiri) CK Faizal dan Zarul Umbrella, dalam satu episod podcast ‘Borak Dalam Galley’ yang membincangkan kerjaya dalam industri penerbangan.
Pelakon Singapura, Norseha Sani (kanan), bersama (dari kiri) CK Faizal dan Zarul Umbrella, dalam satu episod podcast ‘Borak Dalam Galley’ yang membincangkan kerjaya dalam industri penerbangan. - Foto TANGKAP LAYAR YOUTUBE ZARUL UMBRELLA

Setelah lama menyepi daripada dunia hiburan tempatan, nama pelakon Norseha Sani, 44 tahun, kembali disebut-sebut selepas muncul dalam satu episod podcast tentang dunia penerbangan dan pramugara/pramugari, Borak Dalam Galley, kendalian penyanyi dan mantan pramugara Malaysia, Zarul Umbrella. 

Podcast yang membincangkan kisah pahit manis mereka yang pernah bekerja dalam industri penerbangan melihat Norseha menjadi tetamu pertama daripada Singapura.

Berkongsi bagaimana beliau dijemput hadir, Norseha berkata sebagai peminat Zarul Umbrella, dirinya telah lama mengikuti akaun media sosial bintang itu yang memasuki pertandingan Gegar Vaganza 3 pada 2016 dan muncul sebagai pemenang tempat ketiga.

“Saya tahu beliau ketika itu masih bertugas di Malaysia Airlines. Apabila beliau memulakan podcast ini, saya sering menontonnya memandangkan dahulu saya seorang pramugari. 

“Pada suatu hari, Abang Zarul memuat naik satu hantaran mengenai kerja ‘galley’ (merujuk kepada tempat di mana makanan disiapkan di dalam pesawat) bagi kru Emirates dan saya hanya membalas dengan komen ‘rindu bekerja’. 

“Saya tidak sangka beliau akan membalas komen itu dan bertanya jikalau saya seorang mantan pramugari dan ingin muncul dalam salah satu episodnya,” ujar Norseha yang hadir ke pejabat Berita Harian (BH) untuk sesi wawancara bersama Berita Minggu (BM) pada 1 Mac. 

Terdahulu, beliau berkhidmat di Singapore Airlines dari 2002 hingga 2004 dan di Emirates dari 2007 hingga 2009. 

Dalam podcast itu, Norseha sempat berseloroh dirinya merupakan ‘Rihanna of Emirates’ kerana wajahnya yang persis penyanyi lagu hit, Umbrella dan Diamonds.

“Saya beritahu Abang Zarul bahawa saya di Singapura dan beliau bertanya jikalau saya ada rancangan ke Kuala Lumpur (KL) dalam masa terdekat. 

“Saya berbincang dengan suami memandangkan kami bercadang membawa anak-anak bercuti di KL pada Disember 2024. Suami saya berikan keizinan dan kami terus berbincang tarikh sesuai,” kongsi Norseha yang telah bernikah dengan Muharam Osman pada 2013 dan dikurniakan empat cahaya mata berusia antara dua dengan 11 tahun. 

Norseha Sani (dua dari kiri) bersama suaminya, Muharam Osman (kanan) dan anak-anaknya (dari kiri) Ahmad Mahran, Suha Sonia, Suha Sofia dan Ahmad Mudrik di set podcast ‘Borak Dalam Galley’.
Norseha Sani (dua dari kiri) bersama suaminya, Muharam Osman (kanan) dan anak-anaknya (dari kiri) Ahmad Mahran, Suha Sonia, Suha Sofia dan Ahmad Mudrik di set podcast ‘Borak Dalam Galley’. - Foto ihsan NORSEHA SANI

Sambutan positif penonton

Episod itu mendapat sambutan memberangsangkan dan meraih 133,941 tontonan di YouTube. Ia juga antara video popular dalam siri podcast itu dan Norseha diundang semula sebagai salah seorang tetamu bagi episod khas yang akan disiarkan semasa Aidilfitri yang bakal menjelang. 

“Sejujurnya saya tidak sangka video itu akan mendapat sambutan sangat positif. Saya tahu episod saya dirakam selepas Ziana Zain, namun saya tidak sangka ia akan disiarkan selepas episod beliau. 

“Abang Zarul dan CK Faizal (hos bersama) beritahu saya mereka sering merakam beberapa episod dalam seminggu dan kadangkala tidak akan ikut urutan apabila ingin memuat naik episod baru kerana akan melihat pada sambutan. 

“Pada mulanya saya agak takut juga kerana kebanyakan tetamu yang hadir adalah selebriti dan pempengaruh terkenal di Malaysia. Alhamdulillah ia dapat diterima baik namun amanahnya agak berat juga kerana seperti mewakili nama Singapura,” tambah Norseha yang telah meninggalkan dunia lakonan dan kini seorang ejen hartanah.  

Masih diingati sebagai ‘Mummy Ruby’

Beliau, yang pernah membawakan watak ikonik ‘Mummy Ruby’ dalam drama popular Anak Metropolitan, berkata masih ada yang mengenalinya sehingga kini termasuk mereka yang lebih muda.

“Selain mereka yang dalam peringkat mak cik dan ibu, terdapat juga golongan berumur awal 30-an yang mengingati saya. Mereka menonton drama itu ketika di bangku sekolah.

“Anak-anak saya pun pernah bertanya jikalau saya ini seorang ‘gangster’ kerana ibu bapa rakan mereka di sekolah berkata mereka harus ‘berhati-hati’ dengan saya. 

“Saya tidak menunjukkan lakonan saya kepada mereka. Saya berkata bahawa saya hanya berlakon sebagai ‘gangster’,” ceritanya.

Ditanya apakah faktor yang membuat drama Anak Metropolitan yang mula bersiaran pada 2002 itu dianggap ikonik sehingga kini, Norseha berpendapat naskhah itu menceritakan mengenai isu semasa yang dilalui remaja dan ibu bapa pada ketika itu. 

“Pada lewat era 1990-an dan awal 2000-an terdapat isu pergolakan remaja yang ingin mencari identiti sendiri.

“Saya rasa watak ‘Ruby’ menunjukkan realiti sebenar dan mungkin masyarakat dapat memahami drama itu.

“Ibu bapa turut melalui cabaran serupa dengan apa yang ditonjolkan dalam drama itu,” kongsinya. 

Mengimbau kembali detik di mana beliau selaku watak ‘Ruby’ digantikan oleh pelakon Nina Halim pada musim kedua, Norseha berkata beliau terpaksa berhenti daripada menjayakan watak tersebut kerana arwah bapanya sedang sakit tenat ketika itu. 

“Saya masih ingat apabila salah seorang petugas penerbitan, Kak Saemah Mansor, sangat memahami dan datang ke hospital untuk melawat ibu dan arwah bapa saya yang ketika itu dimasukkan ke hospital pada waktu sama. 

“Saya bertanya kepadanya jika mereka boleh ‘matikan’ watak saya kerana saya tidak boleh meneruskan,” kongsi Norseha yang mula berjinak-jinak dalam dunia hiburan selepas menyertai pertandingan Anugerah 12 pada lewat 1990-an. 

Hilang dari dunia seni tempatan

Norseha Sani di bilik berita, Berita Harian semasa satu sesi wawancara baru-baru ini.
Norseha Sani di bilik berita, Berita Harian semasa satu sesi wawancara baru-baru ini. - Foto BM oleh AININ ALFIYANI JAILANI

Norseha pernah membuat kemunculan semula dalam bidang lakonan beberapa kali. Ini dapat dilihat pada 2012 menerusi drama Embun Di Tengah Hari, pada 2015 menerusi telefilem Bak dan drama antologi Dimensi Ke-4 dan pada 2018 dalam satu episod drama informasi Hak Siapa. 

Lakonannya meninggalkan kesan dan beliau dicalonkan dalam dua kategori berbeza bagi drama Bak dan Dimensi Ke-4 pada Pesta Perdana 2017

Mengulas mengenai dirinya yang ‘hilang’ daripada dunia hiburan tempatan, Norseha berkata sebenarnya beliau tidak meminati bidang lakonan. 

“Sebenarnya saya hanya menerima peluang yang diberi dan mencuba bidang lakonan ini. 

“Alhamdulillah, pihak penerbitan selesa dengan mutu kerja saya dan bakat saya dihargai. Namun selepas menjadi seorang ibu, jadual dan waktu saya lebih untuk anak-anak. 

“Bagi Bak, saya rasa rendah hati apabila dipelawa oleh pengarah, Kak Seri Wahyuni Jaes, sendiri. Pada mulanya, saya beritahu saya masih menyusu badan ketika itu dan perlu bawa anak ke set penggambaran. 

“Mereka sangat memahami dan saya tidak mahu mengecewakan mereka. Saya senang bekerjasama dengan Kak Seri, Kak Siti Hajar Ghani dan Kak Aishah Ahmad.

“Mungkin kerana mereka juga seorang ibu, mereka memahami situasi saya,” ceritanya. 

Norseha turut muncul dalam satu episod bagi musim terbaru Zaman Sekolah baru-baru ini. 

Norseha Sani (tengah) bersama (dari kiri) Dawn Prima Ria, Erwin Shah Dawson dan Qis Miraj dalam rancangan ‘Zaman Sekolah’ yang baru ditayangakan di Mediacorp Suria.
Norseha Sani (tengah) bersama (dari kiri) Dawn Prima Ria, Erwin Shah Dawson dan Qis Miraj dalam rancangan ‘Zaman Sekolah’ yang baru ditayangakan di Mediacorp Suria. - Foto INSTAGRAM POETRY IN MOTION

“Sebenarnya saya hampir menolak tawaran itu kerana jadual anak-anak. Namun saya dapat mengatur semula jadual saya untuk beraksi dalam episod itu yang menyatukan pelakon dari pelbagai musim siri Anak Metropolitan,” tambahnya. 

Beliau turut berkongsi bahawa terdapat beberapa pihak penerbitan menghubunginya selepas namanya kembali tular dalam podcast itu. Namun, Norseha ingin menumpukan masa pada keluarganya. 

“Jadual saya lebih kepada kegiatan anak-anak dan saya tidak mahu mengecewakan pihak penerbitan jikalau saya tidak boleh beri komitmen,” tambah Norseha yang kesemua anaknya bersekolah di madrasah.

Saya tidak sangka beliau akan membalas komen itu dan bertanya jikalau saya seorang mantan pramugari dan ingin muncul dalam salah satu episodnya.. Alhamdulillah ia dapat diterima baik namun amanahnya agak berat juga kerana seperti mewakili nama Singapura.
Norseha Sani, mantan pelakon dan pramugari yang muncul dalam podcast ‘Borak Dalam Galley’.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg