Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pelakon BARA masih diingati selepas lebih 20 tahun

Oct 29, 2023 | 05:30 AM



Drama Bara yang mengisahkan tentang kehidupan beberapa remaja di sebuah politeknik merupakan antara drama Melayu tempatan yang popular dan masih diingati hingga ke hari ini. Ia turut mengetengahkan isu-isu sosial seperti perhubungan dan percintaan antara rakan, keluarga pincang, adik-beradik tiri, agama dan hijab serta keinginan untuk kebebasan.


Drama yang bersiaran selama tiga musim dari lewat 1999 dan tamat siarannya pada 2004 pernah memenangi anugerah bagi Drama Terbaik di Pesta Perdana 2001.

Drama itu turut dibintangi selebriti tempatan yang kekal aktif hingga ke hari ini seperti Khairudin Samsudin, Keater HM, Seri Wahyuni Jaes dan Hasnul Rahmat. Namun ke manakah pergi enam pelakon utama yang memainkan watak Nina, Kid, Q, Ratna, Ayie dan JJ? Berita Minggu mewawancara mereka berenam untuk mendapat tahu tentang perkembangan terkini mereka.


FIDI HASSIM BETAH JADI PENDIDIK DRAMA KANAK-KANAK







Selepas berlakon dalam beberapa drama seperti Mas Kahwin dan Kerja Overtime di bawah Prime 12, nama Nor-Fidiyana Hassim atau lebih dikenali sebagai Fidi, telah melonjak naik dan membuka banyak peluang bagi dirinya termasuk ditawarkan untuk melakonkan watak Nina dalam drama Bara.


Watak Nina yang berminat untuk menjadi seorang peragawati dan mahukan perhatian agak berbeza dengan diri Fidi yang sebenarnya. Beliau turut berkongsi kepada Berita Minggu (BM) antara cabaran menghidupkan watak Nina.


“Saya seorang yang agak introvert dan tidak selesa dalam perhimpunan yang besar. Ia agak berbeza dengan Nina yang sukakan dunia fesyen dan mahukan perhatian.

“Namun, Nina juga seorang yang sanggup mendengar masalah kawannya. Itu sesuatu yang saya boleh fahami,” kongsi beliau yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak berusia 16 dan tiga tahun.  

Selepas drama Bara, Fidi telah memasuki diploma dalam bidang drama di Kolej Seni Lasalle dan turut menerima Biasiswa Seni Georgette Chen. Semasa menuntut, beliau berkesempatan menyertai pesta seni teater di beberapa negara termasuk Romania, Venezuela dan Greece.


Fidi kemudiannya berkecimpung dalam bidang pendidikan bagi pertuturan dan drama. Beliau mendidik kanak-kanak prasekolah teknik lakonan, teknik melantun suara dan mengasah kemahiran komunikasi mereka.

Fidi yang kini ketua program pertuturan dan drama bagi prasekolah di Julia Gabriel Centre, sudah berada dalam bidang tersebut selama 20 tahun. Beliau menjadi mentor kepada sekumpulan pendidik dalam bidang pertuturan dan drama dan mengajar kanak-kanak berumur antara tiga hingga enam tahun. Fidi juga membimbing pelajar sekolah rendah dan menengah dalam program bertutur dan berbahas. 

Fidi yang terakhir kali muncul di kaca televisyen dalam drama produksi Singapura-Indonesia, Alya pada 2006 turut berkongsi bahwa beliau menganggap bahawa dirinya sudah bersara dari dunia lakonan.


“Ada kalanya saya merindu bidang lakonan seperti memahami skrip dan watak yang diberikan. Tetapi saya sudah lama bersara daripada dunia lakonan dan biarlah ia menjadi satu memori yang boleh saya kongsikan kepada anak-anak atau cucu-cucu saya pada masa hadapan insya-Allah,” kongsi beliau. 

ELYANI MOHAMED ‘ANAK MANJA’ SEPERTI WATAK ‘KID’







Watak Nur Atiqah Fasha atau Kid yang dilakonkan oleh Elyani Hanim Mohamed, 40-an tahun, merupakan antara watak utama dalam ketiga-tiga musim drama Bara. Perhubungan kisah cinta Kid, seorang pelajar tahun pertama dan Khai, pelajar ‘senior’ yang pada mulanya bermusuhan tentu tidak dapat dilupakan para penonton.


Mengimbas kembali lakonannya dalam wawancara bersama BM, Elyani yang ketika itu baru tamat peperiksaan peringat ‘A’ dan menanti untuk memasuki universiti merasakan bahawa ada persamaan antara diri beliau dan watak Kid. 

“Watak Kid boleh dikatakan seorang ‘anak manja’ sama seperti saya. Kid dan Khai tidak ada hubungan yang baik pada mulanya. Khai telah meninggikan suaranya dan mereka berdua bermusuhan agak lama sebelum menjadi kawan dalam drama itu.

“Saya juga akan rasa tersinggung jikalau ada seseorang yang meninggikan suara pada diri saya,” kongsi beliau yang kini sudah berkahwin dan mempunyai dua anak remaja. 

Sama seperti watak Kid yang dibawanya, Elyani turut kehilangan neneknya semasa penggambaran drama tiga musim itu.

Elyani yang kini seorang guru bahasa Melayu di sekolah rendah, berminat untuk mendalami bidang itu kerana ibunya, yang juga seorang mantan guru tadika. 

“Saya mendapat inspirasi apabila melihat hubungan erat beliau dengan pelajar-pelajarnya. Lantas saya telah memohon bagi biasiswa sebagai seorang guru semasa di universiti dan alhamdulillah saya mendapatnya,” kongsi beliau. 

Beliau yang kali terakhir berlakon di kaca televisyen pada 2012 dalam drama Celup turut merasakan bahawa drama berkisahkan tentang kehidupan remaja seperti Bara boleh menjadi ‘hit’ pada masa hadapan jika jalan cerita dan wataknya yang menarik.


ZAN SOFIYAN ‘TERTEKAN’ SEMASA PENGGAMBARAN







Semasa menjalankan penggambaran sebagai seorang penuntut di politeknik, Sapian Sapari atau lebih dikenali sebagai Zan Sofiyan juga sedang menuntut di Politeknik Nanyang (NYP).

Zan, 43 tahun, sudah berkahwin dan kini mempunyai empat orang anak, telah melakonkan watak JJ, seorang pelajar yang meminati bidang muzik dalam drama Bara.


Beliau berkongsi bahawa peluang lakonan itu diambil kerana perlukan wang untuk membiayai yuran persekolahannya ketika itu.

“Selepas pertandingan Kejora Ria pada 1999, saya perlukan kerja sambilan untuk menampung yuran sekolah ketika itu. Saya berfikir bahawa berlakon merupakan cara untuk mendapatkan duit.

“Saya menolak tawaran lakonan drama Bara selama tiga kali pada awalnya kerana jadual sekolah yang sangat padat. Namun, saya terima pada akhirnya,” kongsi Zan yang kini bekerja dengan Mediacorp sebagai jurutera audio kanan di mana beliau mereka iklan bagi radio.


Zan turut berkongsi bahawa beliau agak tertekan dek jadual penggambaran yang padat dan tidak boleh fokus dengan kerja sekolahnya sehingga beliau terpaksa berjumpa dengan kauselor di politekniknya.

“Saya hampir mahu berhenti sekolah kerana tidak boleh bahagikan antara sekolah dan lakonan. Kaunselor di NYP menyarankan agar penggambaran dilakukan di NYP selain Politeknik Temasek supaya saya boleh berlakon selepas atau sebelum kelas,” kongsi Zan yang juga pernah bertugas sebagai deejay di stesen Warna dan Ria.

Sebagai satu-satunya pelakon yang sebenarnya ketika itu sedang menuntut di politeknik, Zan turut dapat memberi pandangan kepada pihak produksi tentang cara kehidupan pelajar politeknik.

Beliau turut menyarankan agar elemen bermain muzik bersama kumpulan semasa waktu senggang dan keinginan untuk bekerja diterapkan dalam watak JJ yang dibawanya– ia antara perkara yang dialami diri sebenarnya ketika itu.

Beliau yang terakhir kali berlakon dalam drama Projek Skrip – Inai Di Jari pada 2012, berkongsi bahawa beliau masih berhubung dengan beberapa pelakon drama Bara yang lain melalui media sosial dan mereka telah menubuhkan satu kumpulan di Facebook untuk berkomunikasi.


ERNA ABDULLAH INGIN TUMPU PERHATIAN PADA KELUARGA 







Selepas tamat drama Bara, Erna Abdullah yang menjayakan watak Quraishah atau ‘Q’ telah diterima bekerja sebagai seorang pramugari bersama SilkAir pada 2003.


Namun sejak tiga tahun lalu, Erna, 42 tahun, telah mengucapkan selamat tinggal kepada pekerjaan di awan biru itu kerana ingin meluangkan lebih masa bersama suami, anak lelaki dan ibunya. Beliau kini bekerja dalam bidang perkhidmatan pelanggan bagi sebuah organisasi pengurusan hartanah. 

Erna berkongsi yang menyertai ujibakat lakonan selepas tamat peperiksaan peringkat ‘N’ dan dipilih untuk melakonkan watak Q yang dikenali dengan sisi tomboinya.   

Antara memori yang tidak dapat dilupakan termasuk berlakon bersama Izwan Ali.

“Beliau sangat melucukan dan suka bergurau. Saya tidak boleh melakonkan babak yang serius jika beliau ada kerana saya tidak boleh tahan gelak,” kongsi Erna.

Beliau yang masih berhubung rapat dengan pelakon drama Bara, Fidi Hassim merasakan bahawa drama itu diterima ramai kerana setiap watak dalam jalan cerita itu ada sisi yang berbeza membuat para penonton ingin mengetahui lebih tentang kehidupan watak-watak tersebut.


IZWAN ALI RINDU INGIN BERLAKON







Iklan ujibakat lakonan yang dilihatnya semasa membeli akhbar Berita Harian (BH) pada 1999 membawa tuah kepada Izwan Ali kerana telah dipilih untuk membawa watak sebagai Kusyairie atau Ayie dalam drama Bara.


“Saya sering membeli BH kerana suka membaca ruangan sukan dan hiburan. Saya terpandang ada ujibakat bagi drama baru yang bakal dijalankan ketika itu. Saya bertekad untuk pergi ke ujibakat tersebut,” kongsi Izwan yang kini berusia 43 tahun. 

Beliau yang sudah berumah tangga dan mempunyai empat orang anak kini bekerja dalam sektor keselamatan. Beliau tidak menyangka masih ada yang mengingati beliau lebih-lebih lagi rakan sekerjanya yang lebih muda. 

“Rakan sekerja saya berkongsi bahawa mereka menonton saya di kaca televisyen semasa di sekolah rendah. Mereka akan selesaikan kerja sekolah secepat mungkin kerana tidak mahu terlepas menonton drama tersebut. Saya rasa ‘tua’ pula mendengar kata-kata mereka,” kongsi beliau kepada BM.   

Izwan yang ketika itu masih menuntut di pengajian pos-menengah merasai bahawa ada persamaan antara wataknya dan diri beliau ketika itu.

Beliau merasakan bahawa isu seperti tekanan dari rakan, hubungan antara lelaki dan perempuan dan keinginan untuk kebebasan antara isu yang dilalui semua remaja termasuk dirinya ketika itu. Izwan turut bersyukur kerana diberi watak yang sebaya dengan dirinya untuk dibawa sebagai lakonan pertama beliau.

Antara memori yang tidak dapat dilupakan Izwan semasa menjalani penggambaran drama tersebut merupakan di mana para pelakon dapat pergi bercuti ke luar negara secara percuma sambil melakukan penggambaran.

Terdapat juga kenangan melancong bersama peminat drama tersebut yang dikenali sebagai ‘Bara Fan Club’.

Izwan yang terakhir kali muncul di kaca televisyen dalam drama antologi dua episod Bingit pada 2016 tetap merindui berlakon kerana meminati bidang itu. 

“Buat masa ini saya tidak dapat teruskan berlakon kerana tuntutan kerja. Namun saya berterima kasih kerana masih diingati oleh para pengarah dan pihak produksi yang ingin mengambil saya berlakon.

“Tentu sekali jika masa mengizinkan pada masa hadapan, saya akan berlakon semula. Saya tidak akan berhenti berlakon,” ujar beliau. 

SURAYA TAIB MASIH DIPANGGIL ‘RATNA’ HINGGA KINI







Walaupun sudah lebih dua puluh tahun sejak drama Bara mula ditayangkan, Suraya Taib, 40-an tahun, masih dipanggil dengan nama ‘Ratna’ iaitu watak yang dibawanya selama tiga musim.


“Masih ada yang mengingati drama Bara dan ke mana saja saya pergi mereka akan memanggil atau menyapa saya dengan nama Ratna dan bukan Suraya,” kongsinya yang kini seorang perancang perkahwinan dan pemilik Chinta Weddings.


Berbeza dengan para pelakon yang lain, Suraya telah dipelawa berlakon oleh Jamal Ismail, pengarah drama Bara semasa beliau sedang menjalani penggambaran bagi drama Sayang Semuanya.


“Ketika itu saya berumur 17 tahun dan sedang berlakon dalam drama Sayang Semuanya yang diarahkan Encik Lut Ali. Encik Jamal Ismail sendiri yang meminta izin daripada Encik Lut untuk mengambil saya berlakon dalam drama terbarunya ketika itu,” kata Suraya.


Antara memori yang tidak dapat dilupakan beliau semasa berlakon dalam drama Bara merupakan penggambaran yang dilakukan dalam kapal persiaran bagi musim ketiga kerana mereka dapat melancong sambil berlakon.

Selepas tamat drama Bara, Suraya telah menjadi seorang pramugari bersama syarikat pengangkutan SilkAir selama lebih dari 12 tahun. Namun, beliau tetap muncul di dalam drama tempatan sehingga kini. Antaranya termasuk drama Dimensi ke-4 musim ketiga –episod Serindai, 7 Hari dan Misteri Jam 12 musim kedua – episod Susuk.


“Saya tidak merindui berlakon kerana alhamdulillah saya masih menerima tawaran lakonan hampir setiap tahun.

“Terkini, pada bulan April lalu, saya telah ke Kuala Lumpur untuk menjalani penggambaran selama dua bulan dalam dalam drama baru bertajuk Kami Orang KL. Saya telah menerima tawaran itu dari Kak Erma Fatima,” ujar Suraya.


Suraya memegang watak Fina, seorang gadis moden yang berhijab dan teman rapat kepada Cik Da, watak yang dibawa oleh pelakon Amyza Aznan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >