Setiap enam bulan, pelakon Bollywood, Deepika Padukone, akan berasakan suaminya, Ranveer Singh, ibarat insan yang baru memasuki ruangnya.
“Beliau bertukar-tukar sebab akan selalu menghayati watak yang dibawakannya. Daripada jadi lelaki berhati mulia yang baik, beliau jadi kasar macam samseng. Saya bagaikan bertukar-tukar suami pula!” seloroh Deepika kepada pengacara dan pengarah Karan Johar.
Karan bersetuju dengan pandangan Deepika dan menyatakan beliau mengamati perubahan sikap Ranveer juga di set filem, Rocky Aur Rani Kii Prem Kahaani.
Filem itu menandakan kembalinya Karan mengarah filem ceritera selepas tujuh tahun tidak berbuat demikian.
“Apakah Ranveer ini seperti kameleon yang bertukar-tukar warna? Saya tak tahu tetapi saya hargai kesabaran anda sebagai seorang isteri yang perlu menangani kerenah suami sebegitu,” gurau Karan.
Filem itu mengisahkan tentang lelaki kaki bergaya bernama Rocky yang jatuh hati dengan wartawan bernama Rani walaupun ada banyak perbezaan personaliti.
Selepas hubungan mereka ditentang keluarga, mereka cuba tinggal di rumah ibu bapa masing-masing untuk membina keserasian dan kepercayaan sebelum berumah tangga.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg