Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon Sophia Albarakbah warisi bakat ibu

Apr 21, 2025 | 5:50 PM
Pelakon Malaysia, Sophia Albarakbah (kanan), berkata ibunya, Marina Wong, merupakan seorang mualaf berdarah Cina dan pernah menjadi peragawati.
Pelakon Malaysia, Sophia Albarakbah (kanan), berkata ibunya, Marina Wong, merupakan seorang mualaf berdarah Cina dan pernah menjadi peragawati. - Foto INSTAGRAM SOPHIEKOSHKA

KUALA LUMPUR: Dalam mencipta nama berbekal bakat dan paras jelita, mungkin ramai tidak tahu, Sophia Albarakbah sebenarnya mewarisi ‘gen’ ibunya, Marina Wong.

Insan tersayang itu pada zaman mudanya gah menawan pentas peragaan hingga meraih tempat ketiga pertandingan ratu cantik, Miss Malaysia, pada 1980.

Sophia, anak kedua daripada empat beradik, memberitahu ibunya seorang mualaf berdarah Cina, lapor Berita Harian Malaysia.

“Ibu memang wanita cantik. Selepas bertemu Ayah, Ibu pilih memeluk Islam dan mereka berkahwin.

“Baru-baru ini, adik-beradik lain tunjuk gambar Ibu ketika menjadi peragawati yang tular dalam media sosial, Ibu terkejut dan rasa malu.

“Sebenarnya, ketika zaman Ibu aktif sebagai model, gambar ibu selalu muncul dalam surat khabar. Jadi, selepas sekian lama dan tiba-tiba foto tular di TikTok, Ibu agak terkejut,” katanya ditemui pada majlis Aidilfitri anjurannya bersama Aisha Retno di sini, baru-baru ini.

Sophia, atau nama sebenar, Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, berkata ibunya yang pernah menjadi tenaga pengajar dalam bidang peragaan, sentiasa memandang berat aspek penampilan diri.

“Ketika saya kecil, Ibu mengharapkan salah seorang anaknya dapat mewarisi karier ibu.

“Tetapi, anak-anak tidak berminat. Ketika itu, saya masih belum ada minat sampailah sekarang saya tidak sangka boleh jadi pelakon.

“Jadi, sekurang-kurangnya ada seorang yang mengikut jejak langkah ibu dalam industri seni. Antara kami empat beradik, saya paling iras wajah ibu,” katanya.

Sophia bagaimanapun berkata, sejak kecil lagi ibunya sudah mementingkan cara berpakaian dan memastikan anak-anak kemas terutama ketika hadir ke mana-mana acara.

“Ibu akan pastikan kalau ada acara, anak-anak perlu berpakaian kemas. Ketika kecil, saya masih ingat, Ibu paksa kami adik-beradik sertai pertandingan ‘catwalk’.

“Ketika itu, kakak saya jenis berani. Tetapi, saya tidak sampai menangis apabila disuruh. Saya tidak buat sebab ada ‘stage fright’ (ketakutan berada di pentas).

“Sekarang Ibu sudah tidak lagi aktif dan berhenti mengajar. Rasanya sudah lebih 30 tahun ibu tinggalkan dunia peragaan,” katanya.

Sophia yang berdarah kacukan Melayu, Arab dan Cina mengakui ibu bapanya sentiasa menitikberatkan keselamatan anak-anak.

“Ketika kecil, ada banyak peraturan mereka dan macam-macam tidak boleh buat. Ada had masa apabila kena balik rumah dan tempat-tempat yang kami tidak boleh pergi.

“Apabila sudah besar, ada sedikit kebebasan. Tetapi, ketika kecil, ibu saya anggap memiliki ciri-ciri tipikal ibu Asia. Namun, saya faham, semuanya ada sebab.

“Dahulu, kami tidak dibenarkan keluar dengan kawan yang mereka tidak kenal. Kalau kenal pun, jam 8 malam mesti balik rumah,” katanya.

Baru-baru ini, foto Marina pada zaman kegemilangan sebagai peragawati, tular di TikTok hingga meraih perhatian netizen.

Ramai peminat rata-rata memuji kejelitaan ibu Sophia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg