Topic followed successfully
Go to BHkuPelakon Trisha Ooi muncul juara kejohanan tinju antarabangsa
Pelakon Trisha Ooi muncul juara kejohanan tinju antarabangsa
Pelakon Trisha Ooi muncul juara kejohanan tinju antarabangsa
KUALA LUMPUR: Pelakon, Trisha Ooi mengharumkan nama Malaysia apabila meraih kemenangan dalam kejohanan tinju antarabangsa, All Star Championship: Dubai Edition, yang berlangsung di Round 10 Boxing Club, Dubai, pada 3 Mei.
Trisha menewaskan wakil Indonesia, Dinda Anwar dalam kategori flyweight, sekali gus membawa pulang tali pinggang ke tanah air.
Berita kemenangan itu dikongsikan Trisha menerusi akaun Instagram miliknya, sambil meluahkan rasa syukur atas pencapaian diraih, lapor BH Online.
“Membawa pulang tali pinggang ke tanah air. Alhamdulillah… saya masih cuba menghadam semuanya.
“Ini bukan sekadar satu perlawanan, tetapi hasil berbulan-bulan pengorbanan, disiplin, air mata dan usaha menolak diri melepasi batas yang tidak pernah saya sangka mampu dicapai.
“Ada saat saya keletihan, ragu-ragu, malah hampir berputus asa, namun saya terus bertahan. Malam ini, semuanya terbayar,” katanya.
Dalam masa sama, Trisha yang bakal muncul menerusi filem Nar’sata turut menzahirkan penghargaan kepada ibunya serta penyokong yang tidak putus memberikan sokongan.
“Buat ibu saya dan semua yang menyokong, mendoakan serta percaya kepada saya… terima kasih dari lubuk hati terdalam.
“Anda memberi kekuatan ketika saya amat memerlukannya.
“Dan buat diri sendiri, terima kasih kerana tidak pernah berputus asa,” katanya.
All Star Championship: Dubai Edition adalah kejohanan tinju berkonsepkan pempengaruh pertama di dunia yang menghimpunkan 16 peserta dari tujuh negara iaitu Malaysia, Indonesia, Jepun, Vietnam, Singapura, Maghribi dan Russia dalam satu platform sukan kompetitif unik.
