Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelancongan Antartika semakin popular tapi timbulkan keprihatinan alam sekitar

May 26, 2024 | 5:30 AM
Kapal peleseran ‘The Ocean Victory’ membawa pelancong di kawasan barat Antartika pada 24 Januari lalu.
Kapal peleseran ‘The Ocean Victory’ membawa pelancong di kawasan barat Antartika pada 24 Januari lalu. - Foto AFP

ANTARTIK: Bilangan pelawat ke Antartika dikatakan mencecah 100,000 orang buat kali pertama dalam musim pelancongan Oktober 2023 hingga Mac 2024.

Angka tersebut dikatakan sekitar 40 peratus lebih tinggi berbanding rekod sebelum ini, dan ini telah menimbulkan persoalan akan betapa banyak, jika ada, pelancongan yang sepatutnya dibenarkan ke benua sejuk itu.

Dalam laporan BBC, pengarah eksekutif Pakatan Antartika dan Lautan Selatan, Cik Claire Christian, dipetik sebagai berkata:

“Angka tersebut telah bertambah. Kita sedang menyaksikan satu asakan perlunya mengurus industri ini dengan betul dan kesannya pada sekitaran yang rapuh dan pesat berubah.”

Pertubuhan Pakatan Antartika dan Lautan Selatan merupakan sekutu pertubuhan bukan pemerintah yang telah menggesa pemuliharaan Antartika untuk tempoh lebih 40 tahun.

Persatuan Antarabangsa Pengendali Pelancongan Antartika (IAATO) kini menyenaraikan 95 kapal, termasuk 21 kapal layar, yang membawa pelancong mewah yang terdorong dengan tarikan mengunjungi benua itu.

Suasana di sana dianggap begitu terpencil dan sunyi sehinggakan titisan air salji ke kawasan perairan dapat didengari dengan jelas.

Sesetengah kapal membawa bersama 400 pelancong pada satu-satu masa, dengan kebanyakannya berlayar dari Amerika Selatan ke wilayah Antartik.

Dengan persaingan yang bertambah, timbul pula kegiatan pelancongan baru di luar kegiatan bersiar-siar untuk menyaksikan gelagat penguin serta singa laut.

Terdapat juga lawatan menaiki perahu boya bagi melihat sendiri kepulan ais serta haiwan yang terdapat di sana secara dekat.

Profesor Pembelajaran Antartika di Universiti Tasmania, Dr Elizabeth Leane, berkata bahawa industri tersebut sedang berkembang dan terdapat kegiatan yang dianjurkan termasuk berkayak, menaiki boya serta helikopter.

“Pada satu masa, sektor itu akan berkembang dengan meluas, namun kami tidak pasti apa angkanya,” kata beliau.

Ramai anggota IAATO berkata mempromosikan pemuliharaan Antartika adalah sebahagian daripada misi mereka.

Peluang mendidik dan memberi inspirasi adalah penting bagi melindungi kawasan semula jadi dan menarik yang dikunjungi, kata ketua pegawai pemasaran Aurora Expeditions, Cik Hayley Peacock-Gower.

“Kami percaya ekspedisi kapal-kapal kecil merupakan langkah ke hadapan dengan bilangan penumpang yang kecil, dipimpin pakar pelancongan, selain beroperasi secara hormat pada sekitaran,” kata beliau.

Selain memperkenalkan kapal-kapal baru yang menghasilkan pengeluaran karbon dioksida yang rendah, banyak syarikat kapal peleseran menganalisis setiap aspek operasi mereka, termasuk kegiatan dengan impak rendah seperti bermain dalam salji.

“Kami pastikan setiap pasukan ekspedisi kami melindungi alam sekitar agar penguin di sana tidak terjejas atau terperangkap,” kata Encik Damian Perry, pengarah urusan di syarikat Hurtigruten Asia-Pacific.

Malah anggota IAATO mematuhi peraturan ketat yang ditetapkan untuk melindungi sekitaran, termasuk mengalihkan semua sisa daripada benua itu dan mematuhi protokol sterilisasi bagi mengelak daripada memperkenalkan spesis bukan asli di sana. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg