Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelbagai cara kawal penggunaan skrin anak

Masa skrin berlebihan antara lain boleh halang perkembangan kemahiran sosial anak; ibu bapa cari keseimbangan tetapkan had
Nov 7, 2024 | 5:30 AM
Cik Aminah Abdul Latif memberi anak-anaknya, Ali Iqbal, sembilan tahun (kiri), dan ‘Umar Iqbal, 12 tahun, masa skrin pada hujung minggu dan menjadikannya masa mereka sekeluarga menonton filem bersama.
Cik Aminah Abdul Latif memberi anak-anaknya, Ali Iqbal, sembilan tahun (kiri), dan ‘Umar Iqbal, 12 tahun, masa skrin pada hujung minggu dan menjadikannya masa mereka sekeluarga menonton filem bersama. - Foto ihsan AMINAH ABDUL LATIF

Cik Olga Safarina Mohd Roslan tahu apabila beliau mempunyai anak, beliau mahu mengehadkan masa yang diluangkan si kecil di hadapan skrin – sama ada televisyen, telefon bijak atau peranti tablet.

Beliau khuatir tentang perkembangan anaknya jika terlalu banyak menggunakan skrin, serta risau tentang pengaruh kelakuan dan idea kurang baik dalam rancangan yang ditonton.

Beliau juga tidak mahu anak-anaknya menonton video kanak-kanak yang dikatakan bermanfaat kerana tidak mahu mereka bergantung kepada video untuk menghiburkan diri.

Namun, memandangkan pada waktu itu beliau, suami dan dua anak mereka menetap di rumah orang tua, mereka tidak dapat melaksanakan had sebegitu seperti yang diinginkan.

“Sukar untuk kami meminta mereka mematikan televisyen apabila anak-anak kami ada di ruang tamu.

“Lebih stres apabila televisyen menyiarkan rancangan yang tidak mesra kanak-kanak seperti menunjukkan adegan keganasan.

“Tapi akhirnya keluarga kami faham. Mereka buka televisyen apabila anak-anak tidur atau mereka tonton rancangan mereka di telefon apabila anak-anak tidak ada dekat dengan mereka,” kata Cik Olga Safarina, 32 tahun.

Apabila berpindah ke rumah sendiri, Cik Olga Safarina dan suaminya memutuskan untuk tidak meletakkan televisyen di ruang tamu.

Sebaliknya, ruang tamu flat di Tampines itu dihiasi almari dan rak bagi menyimpan buku dan mainan.

“Mula-mula, keluarga dan kawan-kawan kami terkejut. Mereka tanya mana televisyen kami?

“Tapi selepas mereka lihat kelakuan anak-anak saya, mereka mula sedar manfaat masa skrin yang dihadkan dan gembira melihat anak-anak saya puas hati bermain dengan mainan dan bercakap dengan orang lain,” katanya.

Cik Olga Safarina Mohd Roslan dan suaminya, Encik Muhammad Aliuddin Hafid, tidak mempunyai televisyen di ruang tamu rumah mereka. Ini memudahkan pasangan itu mengehadkan masa skrin dua anak mereka, Aisyah, enam tahun (kanan), dan Fatimah Az-Zahra, dua tahun.
Cik Olga Safarina Mohd Roslan dan suaminya, Encik Muhammad Aliuddin Hafid, tidak mempunyai televisyen di ruang tamu rumah mereka. Ini memudahkan pasangan itu mengehadkan masa skrin dua anak mereka, Aisyah, enam tahun (kanan), dan Fatimah Az-Zahra, dua tahun. - Foto ihsan OLGA SAFARINA MOHD ROSLAN

Kesan masa skrin berlebihan

Masa skrin adalah masa yang diluangkan menggunakan media elektronik seperti menonton televisyen atau filem dan menggunakan komputer riba atau telefon bijak.

Pada Mac 2023, Kementerian Kesihatan (MOH) mengeluarkan nasihat rasmi mengenai penggunaan skrin dalam kalangan kanak-kanak, berdasarkan bukti di peringkat antarabangsa dan tempatan.

Bagi kanak-kanak bawah 18 bulan, ibu bapa dinasihatkan supaya tidak menggalakkan sebarang penggunaan skrin kecuali untuk panggilan video.

Bagi kanak-kanak berumur antara 18 dengan 36 bulan, penggunaan skrin perlu dihadkan kepada kurang sejam sehari.

Kanak-kanak lebih besar dinasihatkan mengelakkan penggunaan skrin semasa makan dan sejam sebelum tidur.

Pada Jun 2024, pemerintah berkata ia akan mengumumkan langkah menangani masa skrin dalam beberapa bulan akan datang.

Menurut Pakar Psikologi Klinikal Kanan di Psychology Blossom, Cik Syaza Hanafi, masa skrin berlebihan telah dikaitkan dengan isu tingkah laku seperti masalah perhatian dan kesukaran mengawal emosi.

Kanak-kanak juga mungkin sukar beralih daripada penggunaan skrin kepada kegiatan lain dan mungkin menjadi terlalu terangsang.

Secara fizikal, penggunaan skrin yang berpanjangan menyumbang kepada gaya hidup sedentari, yang meningkatkan risiko obesiti, postur yang lemah, ketegangan mata dan gangguan tidur, terutama jika skrin digunakan hampir dengan waktu tidur.

Masa skrin yang berlebihan juga boleh menghalang perkembangan kemahiran sosial yang penting, kerana kanak-kanak terlepas interaksi secara bersemuka yang penting.

Ia sebenarnya dapat membantu mereka mempelajari empati, mengambil giliran dan komunikasi bukan lisan.

Apatah lagi jika skrin menggantikan interaksi sosial yang bermakna, semasa peringkat perkembangan kognitif, katanya.

Cik Syaza berkata beliau pernah membantu beberapa kanak-kanak sekecil lapan tahun yang menunjukkan tanda kaitan tidak sihat melibatkan skrin.

“Kanak-kanak itu sering menunjukkan kelakuan seperti kesedihan yang teramat sangat apabila masa skrin dihadkan, lekas marah dan gejala penarikan diri apabila tidak menggunakan skrin.

“Penggunaan skrin yang berlebihan mungkin mengganggu bahagian perkembangan penting lain, termasuk tidur, kegiatan fizikal, interaksi sosial dan prestasi sekolah,” katanya.

Cik Syaza meluahkan keprihatinan melihat trend kanak-kanak yang lebih muda menjadi lebih bergantung pada skrin.

Dalam sesetengah kes, ini boleh dikaitkan dengan pendedahan awal dan berpanjangan kepada alat mudah alih, katanya.

“Kanak-kanak yang mula menggunakan (peranti) tablet dan telefon bijak pada usia yang sangat muda mungkin mengalami tabiat yang sukar dibalikkan apabila mereka semakin besar.

“Ibu bapa sering melaporkan bahawa anak-anak mereka sangat menentang had masa skrin, dan ini boleh meningkat ke tahap yang dirasakan seperti ketagihan, dengan kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak itu terjejas.

“Ini adalah trend yang membimbangkan, kerana zaman awal kanak-kanak adalah tempoh kritikal untuk membangunkan kemahiran sosial, emosi dan kognitif, yang boleh terjejas oleh penggunaan skrin yang berlebihan,” kata Cik Syaza.

Pakar Psikologi Klinikal Kanan di Psychology Blossom, Cik Syaza Hanafi.
Pakar Psikologi Klinikal Kanan di Psychology Blossom, Cik Syaza Hanafi. - Foto ihsan SYAZA HANAFI

Suami isteri sepakat tetapkan had

Bagi ibu dua anak lelaki berumur 12 dan sembilan tahun, Cik Aminah Abdul Latif, beliau mengehadkan masa skrin anak-anaknya kerana khuatir akan kesan mudarat dengan masa skrin yang berlebihan.

Beliau berkongsi, apabila anak sulungnya berumur empat tahun lebih, beliau membenarkannya menonton televisyen selama 30 minit setiap hari selepas pulang dari sekolah.

“Tetapi saya melihat perubahan dalam mood dia. Kanak-kanak yang pulang dari sekolah dengan penuh riang menjadi mudah marah selepas menonton televisyen.

“Perubahan mood itu sangat mendadak jadi saya memantau perubahan kelakuan itu selama beberapa hari dan yakin masa skrin menjejas mood anak saya,” katanya.

Sejak itu, dan hingga ke hari ini, Cik Aminah dan suaminya menetapkan masa skrin si kecil kepada hujung minggu dan menjadikannya masa mereka sekeluarga menonton filem bersama.

Beliau juga memastikan mereka ke luar rumah dan meluangkan baki hari bermain bagi mengimbangi masa skrin itu.

Ekoran penetapan peraturan seperti itu, anak-anaknya tidak meminta menonton televisyen pada hari mereka ke sekolah.

Anak-anak Cik Sahliana Sahrudin yang berumur 12 tahun dan tiga tahun pula langsung tidak meminta menggunakan skrin kerana tidak biasa didedahkan kepadanya sejak kecil.

Beliau hanya membenarkan anak-anaknya menonton Perbarisan Hari Kebangsaan, konsert Hari Raya Sinar Lebaran, rancangan dokumentari di hotel ketika bercuti, perlumbaan Formula Satu (F1) dan pertandingan bola sepak.

Bagi anak sulungnya, dia dibenarkan menonton filem dua hingga tiga kali setahun dan menonton rancangan bahasa Arab atau pendidikan Islam di YouTube.

“Saya dan suami menghadiri banyak ceramah tentang keibubapaan sebelum kami mempunyai zuriat.

“Sejak anak-anak kami masih bayi, kami meluangkan banyak masa berinteraksi dengan mereka dan memberi mereka ruang memahami perkara di sekeliling melalui penerokaan deria.

“Kami memperkenalkan mereka kepada kegiatan luar dengan menyertai sekolah hutan, pergi ke pantai dan berjalan-jalan dalam alam semula jadi.

“Kami juga mendedahkan mereka kepada kegiatan fizikal seperti berbasikal gunung, bola sepak dan bola jaring,” kata suri rumah itu, yang juga isteri kepada jurulatih bola sepak dan bekas pemain bola sepak negara, Shahril Jantan.

Cik Sahliana Sahrudin dan suaminya, bekas pemain bola sepak negara, Shahril Jantan, mengisi masa anak-anak mereka, Sharlein Anna, 12 tahun (kanan), dan Shibli Amr, tiga tahun, dengan pelbagai kegiatan di luar rumah.
Cik Sahliana Sahrudin dan suaminya, bekas pemain bola sepak negara, Shahril Jantan, mengisi masa anak-anak mereka, Sharlein Anna, 12 tahun (kanan), dan Shibli Amr, tiga tahun, dengan pelbagai kegiatan di luar rumah. - Foto ihsan SAHLIANA SAHRUDIN

Apabila anak rasa bosan...

Cik Aminah, 40 tahun, berkata antara perkara yang membuat orang dewasa cemas ialah apabila kanak-kanak berkata: “Saya bosan!”

Namun beliau berpendapat kebosanan bukanlah perkara yang tidak baik apabila kanak-kanak tidak dapat mencari sesuatu untuk dilakukan bagi mengisi masa.

“Sistem kita – minda, badan, emosi dan semangat – memerlukan ‘kebosanan’ ini. Kebosanan yang dihadapi oleh kanak-kanak dalam konteks ini adalah konsep ‘tenang’,” kata pengasas bersama Hundred Paths, sekolah yang berkonsepkan pendidikan di luar.

Justeru sejak beberapa tahun kebelakangan, apabila salah seorang anaknya berasa bosan, Cik Aminah membiarkan sahaja mereka berasa bosan.

“Saya dan suami saya tidak menyelamatkan mereka daripada perasaan itu. Kerana inilah saat mereka sedang berehat atau ‘pulih’ daripada hari yang sibuk.

“Selepas cukup berehat, mereka pasti akan memikirkan sesuatu untuk dilakukan,” katanya.

Cik Sahliana juga membiarkan anak-anaknya mengalami ‘masa bosan’ untuk menggalak mereka membangunkan kreativiti dan imaginasi mereka.

“Mereka menjadi terbiasa untuk tidak mengharapkan orang tua menghiburkan mereka sepanjang masa, dan tahu bagaimana mengisi masa mereka tanpa memerlukan gadget,” katanya.

Cik Olga Safarina pula berkata apabila anak-anaknya tidak mempunyai apa-apa untuk dilakukan, mereka mahukan perhatian.

“Jadi kami perlu meletak tepi apa yang kami sedang lakukan dan berada dengan mereka.

“Ia satu perubahan dalam gaya hidup kami kerana sebelum menjadi ibu bapa, kami biasa menggunakan telefon kami untuk bersembang dengan orang lain atau menggunakan media sosial.

“Akhirnya kami juga mengubah gaya hidup kami. Kami kurang menggunakan telefon dan meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak,” katanya.

Cari keseimbangan

Dalam mengehadkan masa skrin untuk anak-anaknya, Cik Sahliana, 42 tahun, berkata beliau dan suami berterus terang kepada ahli keluarga terdekat tentangnya dan bersyukur mereka memahami dan menghormati keputusan mereka.

Namun antara cabaran yang dialami adalah apabila berkunjung ke rumah saudara-mara semasa Hari Raya dan tidak dapat menyuruh tuan rumah menutup televisyen kerana rasa hormat.

“Apabila anak sulung kami berumur 10 tahun, dia mula meminta menonton filem secara sekeluarga semasa cuti sekolah. Kami amat teliti ketika memilih filem untuk ditonton dalam masa keluarga istimewa ini.

“Kami sedar yang media digital boleh menunjukkan kandungan yang tidak sesuai yang tidak sejajar dengan kepercayaan keluarga kami dan anak sulung kami mungkin tidak bersedia secara emosi untuk memahaminya,” kata Cik Sahliana.

Bagi Cik Aminah pula, beliau tidak mengawal penggunaan skrin anak-anaknya di luar rumah, seperti ketika mereka tidur di rumah ahli keluarga lain.

“Tetapi saya akan mengingatkan anak-anak tentang jumlah masa skrin yang mereka dibenarkan nikmati,” katannya  yang selesa membiarkan anak-anaknya menonton rancangan seperti kisah misteri, The InBESTigators dan siri dokumentari, Animal.

Sedang Cik Aminah memastikan anak-anaknya dapat bermain di luar rumah selama sekurang-kurangnya dua jam setiap hari, Cik Sahliana pula menanamkan minat membaca dalam diri anak-anaknya sejak kecil agar mereka mencari buku untuk mengisi masa.

Cik Olga Safarina juga memastikan anak-anaknya sentiasa mempunyai akses kepada buku dan mainan mereka selain boleh melukis dan menghasilkan kraf untuk mengisi masa.

Beliau juga membenarkan anak-anaknya menonton video, Omar & Hana, atau video tentang perkara atau lagu yang mereka baru belajar di sekolah.

“Kami hanya membenarkan mereka menonton video itu jika kami juga ada bersama mereka. Kami akan tanya soalan untuk memastikan mereka faham apa yang ditonton,” katanya.

Bagi mengisi masa dalam perjalanan panjang, Cik Olga Safarina akan membekalkan barang-barang seperti buku mewarna, pelekat dan buku kegiatan.

Ketika menunggu makanan di restoran, jika si kecil mula menggelisah, seorang ahli keluarga akan membawanya berjalan-jalan.

Anak sulungnya pula akan membaca menu atau bermain permainan seperti, ‘I Spy’ atau ‘Simon Says’.

Beliau juga membawa beberapa mainan kecil bagi menghiburkan anak-anaknya di luar.

“Saya tidak tahu berapa lama ini (masa skrin terhad) dapat diteruskan tetapi saya harap anak-anak saya akan meneruskan gaya hidup ini walaupun tanpa saya mengingatkan mereka.

“Saya berharap apabila mereka cukup besar nanti dan mempunyai akses kepada masa skrin tanpa had, mereka tahu apa yang baik, apa yang tidak baik, dan mereka dapat membuat pilihan yang betul,” katanya.

Cik Syaza berkata walaupun boleh difahami bahawa ibu bapa mungkin menoleh kepada skrin untuk memastikan anak-anak terhibur dalam situasi yang mencabar, seperti semasa perjalanan panjang atau di tempat awam seperti restoran, ibu bapa perlu menyedari potensi kelemahan penggunaan skrin.

“Walaupun skrin mungkin menawarkan ketenangan sementara, kebimbangan utama adalah apabila kita menjadi terlalu bergantung kepadanya.

“Jika skrin digunakan terlalu kerap dalam keadaan di mana kanak-kanak boleh mempelajari kemahiran penting lain – seperti kesabaran, bersosial dengan ahli keluarga atau melibatkan diri dengan persekitaran mereka -– ini boleh menghalang perkembangan mereka.

“Ibu bapa harus mencari keseimbangan. Contohnya, semasa perjalanan kereta yang panjang, berehat, tawarkan permainan atau berbual boleh membantu kanak-kanak kekal terlibat tanpa terlalu bergantung pada skrin.

“Di restoran, menggunakan masa untuk mengajar etika sosial dan melibatkan diri dengan anak-anak mungkin sama berfaedah seperti membenarkan mereka menonton skrin,” kata Cik Syaza.

“Kanak-kanak yang mula menggunakan (peranti) tablet dan telefon bijak pada usia yang sangat muda mungkin mengalami tabiat yang sukar dibalikkan apabila mereka semakin besar. Ibu bapa sering melaporkan bahawa anak-anak mereka sangat menentang had masa skrin, dan ini boleh meningkat ke tahap yang dirasakan seperti ketagihan, dengan kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak itu terjejas.”
– Pakar Psikologi Klinikal Kanan di Psychology Blossom, Cik Syaza Hanafi.
PERKENAL KEGIATAN LAIN

“Kami memperkenalkan mereka kepada kegiatan luar dengan menyertai sekolah hutan, pergi ke pantai dan berjalan-jalan dalam alam semula jadi. Kami juga mendedahkan mereka kepada kegiatan fizikal seperti berbasikal gunung, bola sepak dan bola jaring.”
Cik Sahliana Sahrudin.
HARAP DAPAT TERUSKAN GAYA HIDUP

“Saya tidak tahu berapa lama ini (masa skrin terhad) dapat diteruskan tetapi saya harap anak-anak saya akan meneruskan gaya hidup ini walaupun tanpa saya mengingatkan mereka. Saya berharap apabila mereka cukup besar nanti dan mempunyai akses kepada masa skrin tanpa had, mereka tahu apa yang baik, apa yang tidak baik, dan mereka dapat membuat pilihan yang betul.”
Cik Olga Safarina Mohd Roslan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg