Mengehadkan masa yang diluangkan anak-anak menatap skrin alat elektronik penting dalam usaha melindungi mereka daripada kesan negatif menggunakan alat sedemikian secara keterlaluan.
Namun, melebihi keprihatinan ini, usaha melindungi anak juga perlu merangkumi perbincangan berhubung cara terbaik memperkasa mereka dalam mengatasi cabaran semasa berinteraksi di dalam talian.
Saya berkata demikian dari sudut pandang seorang bapa dua anak lelaki berusia enam dan lapan tahun.
Sebagaimana yang telah dilalui ramai ibu bapa, melarang anak-anak 100 peratus daripada menggunakan peranti tablet komputer, telefon bimbit dan alat kelui lain adalah keadaan ideal yang sukar dilakukan.
Menyekat penggunaan secara keterlaluan juga boleh mengehadkan peluang pembelajaran anak-anak dalam dunia yang kian dicorak dan dibentuk teknologi terkini dalam pelbagai aspek.
Ini tidak bermakna kita harus membiarkan anak-anak ‘melekat’ pada skrin seberapa lama yang dikehendakinya – walaupun saya tidak berhasrat ‘mengadili’ ibu bapa yang berbuat demikian.
Setiap ibu bapa berhak dan mempunyai cara mengasuh anak-anak dengan berkesan mengikut kaedah keluarga masing-masing.
Saya juga sedar sebahagian ibu bapa menggunakan telefon bijak dan peranti tablet komputer sebagai cara berkesan menarik perhatian anak-anak untuk membenarkan mereka melaksanakan tanggungjawab lain.
Saya juga begitu.
Walaupun ia bukan kaedah keibubapaan yang ideal dan saya akur ia menampilkan kekurangan saya, kadangkala ia adalah pilihan paling optimum buat saya dan isteri, yang bekerja.
Saya dan isteri mempunyai sistem fleksibel iaitu masa yang dibenarkan untuk anak-kanak kami menonton televisyen atau menatap skrin terikat dengan masa mereka membaca atau mengulang kaji pelajaran.
Sebagai contoh, jika mereka ingin menonton televisyen selama sejam, mereka perlu membaca buku cerita, akhbar atau mengulang kaji pelajaran selama sejam dahulu sebelum dibenarkan menatap skrin.
Biasanya, anak-anak hanya boleh memberi perhatian kepada membaca paling lama selama dua hingga tiga jam dan dengan cara ini, kami boleh mengehadkan masa skrin mereka.
Jika mereka enggan membaca disebabkan apa saja alasan, mereka tidak akan dibenarkan menonton televisyen atau menatap skrin.
Sebaliknya, mereka diberi pilihan untuk berbasikal atau bermain-main di taman permainan di estet perumahan kami.
Aturan ini tidak sempurna dan kadangkala perlu disesuaikan mengikut keadaan – jika ada peperiksaan, hari cuti umum dan sebagainya – tetapi buat masa ini, ia berkesan buat kami sekeluarga.
Di samping mengawal penggunaan alat elektronik berskrin, lebih penting lagi ialah kesedaran kita terhadap kebaikan dan keburukan penggunaan skrin secara berlebihan.
Melebihi kesan ke atas kesihatan fizikal yang boleh diamati, kita perlu juga lebih prihatin akan kesan jangka panjang ke atas kesihatan mental dan minda.
Ini terikat dengan penggunaan alat berskrin untuk mengakses media sosial.
Satu keprihatinan yang biasanya disuarakan oleh ibu bapa ialah penggunaan media sosial yang keterlaluan dalam kalangan anak-anak.
Tindakan sedemikian boleh membawa kepada masalah kesihatan mental, kecenderungan bersikap menyendiri dan penyebaran maklumat yang tidak tepat, berdasarkan beberapa tinjauan mengenai topik ini.
Individu juga boleh terdedah kepada pandangan yang hanya memperkukuh pandangan sendiri yang mungkin bercanggah dengan norma masyarakat di alam nyata, misalnya.
Dari sudut undang-undang dan perlindungan di peringkat nasional, Singapura telah mempergiat usaha mempersiapkan masyarakat untuk mengharungi era pendigitalan termasuk pengguna Internet lebih muda yang mungkin lebih terdedah kepada penganiayaan di dalam talian.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan hasrat pemerintah untuk memperkenalkan undang-undang baru yang antara lain bertujuan mempercepat proses membela mangsa penganiayaan dalam talian.
Buat masa ini, mangsa boleh memohon perintah perlindungan mahkamah atau membuat laporan polis, tetapi prosiding undang-undang dan jenayah memakan masa, ujar beliau.
Akta Dalam Talian yang diperkenalkan pada 2022 memerlukan wadah media sosial membasmi kandungan berbahaya dalam talian, termasuk yang menggalak keganasan dan membunuh diri.
Namun, akta ini tidak meliputi isu lain yang turut membimbangkan, seperti pembulian siber, pemalsuan mendalam (deepfake) dan perkongsian imej intim tanpa kebenaran.
Namun, undang-undang hanyalah satu aspek dalam melindungi anak-anak kita.
Usaha ibu bapa mengehadkan masa skrin anak-anak pula mewakili aspek lain.
Pada masa yang sama, ibu bapa perlu bersikap proaktif untuk memantau perbuatan anak-anak di dalam talian dan terus memberi bimbingan dengan matlamat jangka panjang.
Pendekatan itu adalah supaya mereka mampu mengenal pasti buruk baik yang wujud di dalam talian dan tahu menanganinya sendiri.
Dari sudut ini, mungkin lebih penting bagi kita memberi anak-anak bimbingan yang sewajarnya mengenai tingkah laku di dalam talian supaya mereka lebih berupaya melindungi diri sendiri daripada bahaya. Lebih awal, lebih baik.
Perkara ini tidak mudah dilakukan, dan berdasarkan pengalaman saya sendiri, memerlukan pelaburan masa dan usaha yang kadangkala sukar diluangkan.
Saya sendiri masih terkial-kial mencari lebih banyak masa untuk mempelajari selok-belok Minecraft dan Roblox – dua wadah permainan dalam talian yang membolehkan si pemain berinteraksi dengan pemain lain.
Mungkin ada ibu bapa lain yang boleh memberikan saya ‘crash course’ atau kursus kilat dalam perkara ini?
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg