Pengalaman luar dengan anak cetus idea anjur sesi bermain di kawasan hijau
Pengalaman luar dengan anak cetus idea anjur sesi bermain di kawasan hijau
Sesi ‘Playfully Grounded’ galak kanak-kanak belajar melalui penerokaan alam
Bagi Cik Nurul Aqilah Zakaria, zaman kanak-kanak tidak seharusnya dipenuhi dengan jadual yang padat atau kegiatan yang sarat dengan arahan daripada orang dewasa.
Sebaliknya, beliau percaya kanak-kanak memerlukan ruang untuk bermain, meneroka dan belajar secara semula jadi menerusi pengalaman di sekeliling mereka.
Kepercayaan itu yang mendorong Cik Aqilah, ibu kepada dua anak lelaki – Adl Mash’al Alfi, enam tahun, dan Adn Noah Alfi, tiga tahun – untuk kerap menganjurkan sesi bermain di taman untuk anak-anaknya dan sepupunya.
“Kami menemui semut dan serangga kecil, sambil memahami bahawa makhluk paling kecil juga mempunyai peranan penting di dunia ini,” jelasnya tentang pengalaman itu.
Apa yang bermula sebagai kegiatan santai dalam kalangan keluarga, kemudian menarik perhatian ibu bapa lain selepas beliau berkongsi pengalaman tersebut di media sosial.
Menyedari minat yang semakin meningkat, Cik Aqilah, 32 tahun, akhirnya menubuhkan ‘Playfully Grounded’, satu inisiatif yang menggalakkan kanak-kanak bermain dan belajar melalui penerokaan alam semula jadi.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan sesi bermain atau ‘playdate’ yang menggalakkan kanak-kanak berlari, mencari daun dan bunga, memerhati serangga, atau bermain bebas di sekitar kawasan hijau.
Pada Julai 2025, Cik Aqilah, seorang pakar komunikasi korporat, memutuskan untuk membuka sesi pertama kepada orang ramai dengan mengenakan bayaran kecil bagi setiap keluarga, yang kemudian menarik penyertaan kira-kira 20 keluarga.
“Apabila kanak-kanak berada di luar, mereka menggunakan semua deria mereka.
“Mereka melihat, menyentuh, mendengar, dan menghidu.
“Pengalaman seperti ini membantu mereka memahami dunia dengan lebih mendalam berbanding sekadar melihat atau mendengar penjelasan (daripada orang dewasa),” terang Cik Aqilah, yang pernah bekerja sebagai guru prasekolah selama dua tahun.
Menurut Cik Aqilah, dalam masyarakat yang sering menekankan jadual padat, kelas pengayaan, dan pencapaian akademik sejak kecil, beliau memilih untuk memperlahankan rentak zaman kanak-kanak.
Tambahnya, jadual padat tersebut mungkin menanam rasa cemas dalam diri kanak-kanak kerana mereka tidak mempunyai ruang untuk meneroka dan memproses pengalaman mereka sendiri.
“Kadang-kadang ibu bapa terlalu tergesa-gesa dengan anak sendiri. Kita mahu mereka cepat belajar membaca, cepat pandai ini dan itu.
“Tetapi kanak-kanak sebenarnya perlukan masa untuk meneroka, bermain, dan berfikir sendiri,” ujarnya.
Pengalaman menganjurkan sesi ‘Playfully Grounded’, yang biasanya diadakan dua kali sebulan pada hujung minggu, turut mengubah cara Cik Aqilah meluangkan masa bersama anak-anaknya.
Ia mengajar beliau untuk lebih hadir sepenuhnya bersama anak-anaknya dan tidak terlalu tergesa-gesa dalam menjalani rutin harian.
“Lagi-lagi dengan dunia digital hari ini, ia sering membuat ramai orang sentiasa berfikir tentang tugasan seterusnya.
“Apabila kita bangun pagi, kita terus fikir untuk mandi, kemudian fikir untuk makan dan seterusnya, hingga semuanya terasa tergesa-gesa.
“Jadi saya belajar untuk berhenti seketika, memperlahankan rentak hidup, dan menikmati masa bersama keluarga,” kongsinya.
Cik Aqilah berharap sesi ‘Playfully Grounded’ mengingatkan ibu bapa bahawa pembelajaran bagi kanak-kanak tidak semestinya memerlukan peralatan canggih atau kegiatan yang rumit.
Malah, beliau mendapati kanak-kanak jarang meminta ibu bapa mereka untuk menggunakan peranti digital seperti telefon pintar atau tablet ketika mereka sibuk bermain di luar.
“Apabila kanak-kanak berada di luar atau di alam semula jadi, mereka begitu teruja dengan apa yang ada di sekeliling mereka.
“Biasanya kanak-kanak hanya teringat tentang peranti digital apabila mereka sudah masuk ke dalam kereta untuk pulang.
“Alam sebenarnya menyediakan banyak peluang untuk belajar. Yang penting, kita beri masa dan ruang kepada kanak-kanak untuk meneroka,” kata Cik Aqilah.

