Peluang siswa Universiti Seni S’pura kerja sambil belajar bersama Arts House Ltd

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peluang siswa Universiti Seni S’pura kerja sambil belajar bersama Arts House Ltd

Oct 22, 2024 | 10:26 AM

Peluang siswa Universiti Seni S’pura kerja sambil belajar bersama Arts House Ltd

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pengarah Eksekutif Arts House Limited, Cik Sharon Tan (kiri); pelajar tahun kedua dalam jurusan pengurusan seni di LaSalle, Cik Sharafah Malihah Abdul Rahim (tengah); dan Naib Canselor Universiti Seni Singapura (UAS), Profesor Kwok Kian Woon, menekankan kepentingan kerjasama untuk memperkaya rangkaian hubungan dalam sektor seni tanah air.
Pengarah Eksekutif Arts House Limited, Cik Sharon Tan (kiri); pelajar tahun kedua dalam jurusan pengurusan seni di LaSalle, Cik Sharafah Malihah Abdul Rahim (tengah); dan Naib Canselor Universiti Seni Singapura (UAS), Profesor Kwok Kian Woon, menekankan kepentingan kerjasama untuk memperkaya rangkaian hubungan dalam sektor seni tanah air. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Mulai Januari 2025, pelajar daripada Maktab Seni Lasalle dan Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), Universiti Seni Singapura (UAS), akan berpeluang memohon latihan industri dan peluang bekerja sambil belajar bersama Arts House Limited (AHL) bagi pelbagai program, kemudahan seni serta pesta yang dianjurkan.

Peluang itu adalah sebahagian kerjasama selama tiga tahun antara AHL dengan UAS, gabungan institusi pengajian tinggi antara Lasalle dan Nafa.

Kerjasama itu menekankan iltizam AHL untuk memperkasa sektor seni Singapura yang dinamik serta menjalin hubungan bermakna dalam masyarakatnya yang rencam.

Kerjasama itu telah dimeterai pada 21 Oktober dalam satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara AHL dengan UAS di Panggung Victoria.

Ini menandakan pencapaian penting bagi sektor seni sebagai satu perkongsian industri pertama bagi UAS sejak penubuhannya pada Ogos 2022, serta susunan latihan industri berstruktur yang julung-julung kalinya diusahakan AHL. 

Kerjasama itu juga menyokong usaha sektor seni untuk membimbing generasi mahasiswa kesenian yang berbakat, sekali gus melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan dalam industri seni.

Sebagai penganjur festival kebangsaan seperti Pesta Seni Antarabangsa Singapura, Pesta Penulis Singapura serta pengurus tempat bagi enam ruang seni, termasuk dua monumen nasional iaitu The Arts House dan Panggung dan Dewan Konsert Victoria, AHL menawarkan pelajar LaSalle dan Nafa pelbagai peluang untuk membina rangkaian hubungan dalam ekosistem seni secara meluas. 

Pelajar juga dapat bekerjasama dan menerima bimbingan daripada pengamal seni profesional di AHL serta penggiat seni dan pihak berkepentingan dalam sektor tersebut.

Ini justeru dapat menawarkan pengalaman berharga bagi pelajar mendalami cara bekerja dalam sebuah institusi seni di Singapura. 

AHL merancang untuk menawarkan 12 latihan amali berbayar dan peluang bekerja sambil belajar setiap tahun selama tiga tahun akan datang.

Usaha itu dapat dilaksanakan hasil sokongan dermawan, Dr Della Suantio Lee, daripada D.S. Lee Foundation, Cik Suzanne Liau dan Encik Pierre Lorinet.

Menurut Pengarah Eksekutif AHL, Cik Sharon Tan, kerjasama dengan UAS sangat penting untuk menjana gagasan baru dalam kalangan ahli dan pelajar bidang seni serta kepentingan membina rangkaian hubungan yang kukuh demi mengekalkan kerelevanan.

“Anak muda generasi kini mempunyai daya kreativiti yang sangat tinggi. Mereka sentiasa mempunyai idea baru di tengah perkembangan media sosial yang sangat pesat. 

“Perkongsian ini juga seiring dengan visi dan misi Arts House Limited sebagai peneraju dalam memupuk dan memperkaya hubungan masyarakat melalui seni tanah air,” kata beliau.

Naib Canselor UAS, Profesor Kwok Kian Woon, turut menjelaskan bahawa anak muda harus bersedia dan mengekalkan daya saing di masa-masa getir.

“Pastinya banyak yang dapat dipelajari dalam waktu getir seperti pandemik Covid-19.

“Tentunya, hal seperti ini tiada garis penamat. Kita perlu bersiap sedia dan menjadi lebih matang dalam mengharungi cabaran yang akan datang. 

“Saya percaya para pelajar di UAS mampu melalui cabaran mendatang dengan penuh harapan dan kecekalan,” ujarnya. 

Ditanya Berita Harian (BH) tentang tanggapan serong masyarakat terhadap kerjaya seni, beliau menyingkap:

“Saya yakin bahawa dengan kerjasama ini, ia juga merupakan sebuah pengiktirafan bagi peluang yang tersedia dalam sektor kebudayaan dan industri seni semakin luas.

“Kita harus kekal optimistik dan yakin dalam sistem pendidikan yang tersedia bagi pelajar dalam bidang seni.

“Ia bukan sahaja membolehkan mereka mencari pekerjaan, malah meletakkan mereka dalam kedudukan yang lebih baik untuk membangun bidang kerja sepanjang hayat.”

Mahasiswa tahun kedua pengurusan seni di LaSalle, Cik Sharafah Malihah Abdul Rahim, 22 tahun, pula menambah:

“Bagi saya, dengan kerjasama antara UAS dan AHL, ia dapat membantu pelajar seperti saya meraih peluang berkenalan dan mempelajari amalan industri dengan mereka yang lebih berpengalaman dan ahli dalam bidang seni.

“Ia sememangnya memudahkan lagi kerja kami untuk mencari peluang latihan amali di institusi seni yang dipercayai di Singapura.

“Secara tidak langsung, ini dapat membantu pelajar seperti saya memahami piawaian pasaran bagi pekerjaan di bidang seni serta memantapkan diri untuk mencapai tahap yang diperlukan,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg