Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Penerbit tidak kontang idea rancakkan ‘Sinar Lebaran’ dengan hiburan bermakna

Jun 30, 2023 | 01:00 PM



Ada pujangga berkata: “Dunia ini adalah panggung sandiwara. Dengan itu, kita memerlukan kemudi yang baik untuk menghasilkan pelayaran yang indah sepanjang perjalanan ini.”

Begitulah takrifan penulis tentang usaha dan kerja keras yang dilaburkan karyawan televisyen, Fadila Abdul Wahid, seorang penerbit eksekutif Mediacorp.

Sepanjang lebih dua dekad melayari dunia kreatif dan menerbitkan rancangan televisyen popular dan hiburan di saluran Suria dan memenangi pelbagai anugerah cemerlang khususnya di pentas Pesta Perdana, dirinya kekal bersemangat memberikan rancangan terbaik kepada penonton setempat.


Banyak rancangan infohiburan yang Fadila terbitkan seperti Suria Segar, Manja, Projek Kasih, Anugerah Planet Muzik, Suria Elektra, Muzika Ekstravaganza dan banyak lagi. Rata-rata, rancangan itu mendapat penilaian yang tinggi dan ditonton ramai.


Bukan itu sahaja, beliau juga telah merangkul pelbagai anugerah berturut-turut bagi arahan terbaik pada Pesta Perdana Edisi 2015, 2017, 2019, 2021 dan baru-baru ini, 2023.


Kemenangannya adalah bagi rancangan hiburan Raya, Sinar Lebaran 2022.


Ditanya apakah cabaran yang perlu beliau hadapi untuk menghasilkan rancangan ‘meletup’ dan diminati ramai, katanya, tiada cabaran tertentu. Namun hasratnya adalah untuk mencipta kelainan pada setiap rancangan. Itulah yang dianggap lebih penting.

“Bagi saya secara peribadi, sebagai pengarah yang menghasilkan sesuatu rancangan seperti Sinar Lebaran berkali-kali, tiada banyak cabaran sebenarnya sebab kita biasa melakukannya.


Tetapi saya anggap ini sebagai satu amanah dan pekerjaan yang perlu dilaksanakan sebaik-baiknya. Jika kita melakukan sesuatu pekerjaan yang kita cintai, semuanya kita anggap sebagai pemangkin semangat untuk kita bekerja lebih keras lagi.

“Semasa rancangan Sinar Lebaran ini dihasilkan, ia berlangsung pada waktu pandemik dan kita mengharungi banyak sekatan dan pelbagai isu lain yang perlu dititikberatkan.


Namun bagi pasukan saya dan saya sendiri, kriteria utama kami adalah untuk menghiburkan penonton dan masyarakat setempat, selain menyuntik kesegaran dalam setiap rancangan yang kami utarakan di televisyen.

Seperti rancangan Sinar Lebaran, kami akan pastikan setiap lapisan usia dapat menikmati rancangan Raya ini, dan setiap tahun mereka akan terus menyaksikannya,” jelas Fadila sungguh-sungguh.


Beliau bahkan rasa amat bertuah dan berbesar hati kerana rakan-rakan seperjuangan teguh memberikan kerjasama yang tidak ternilai dalam menghasilkan rancangan yang bermutu.

“Setiap kali mengarah, saya akan pastikan kerja yang kami semua lakukan lebih baik daripada yang terdahulu.

“Setiap rancangan seperti Sinar Lebaran ini mempunyai kenangan manis yang tersendiri dan setiap daripada rakan kerja kami di sini juga memberikan yang terbaik dan sentiasa bersedia membantu.


“Saya amat bangga dengan pencapaian teman-teman kreatif yang lain. Saya juga amat berminat dengan rancangan berunsurkan budaya dan kesenian Melayu, kerana ini melambangkan jati diri kita sebagai masyarakat Melayu di sini,” tambahnya.

Sinar Lebaran 2022 tetap menghiburkan walaupun diadakan dalam keadaan tiada penonton yang menyaksikannya seperti kebiasaan sebelum pandemik melanda. Penonton hanya dikembalikan bagi rakaman Sinar 2023 setelah keadaan lebih terkawal.


Beberapa kumpulan irama tradisional seperti Nobat Kota Singa, Sri Mahligai dan Orkestra Sri Temasek juga diberi kesempatan mengiringi artis yang mendendangkan lagu-lagu Hari Raya. Artistari Gentari dan Sri Warisan pula merupakan kumpulan penari yang mewarnai persembahan.

Mengulas mengenai penglibatan kumpulan ini, Fadila berkata:

“Saya dan rakan-rakan fikir siapa lagi yang boleh kita undang ke Sinar Lebaran. Sebilangannya adalah kelompok penggiat seni yang orang lain tak pernah bayangkan akan muncul di kaca televisyen. Maka kami bawakan mereka ke studio buat kali pertama dalam sejarah rancangan Raya untuk buktikan potensi mereka.”


Yang menariknya, lagu Raya yang dipercayai yang pertama dirakam di Tanah Melayu pada 1936 turut dipersembahkan bakat setempat, Suryana Norddin.

Ia ciptaan Tengku Alibasha Che Ara Bangsawan dan didendangkan oleh Allahyarhamha Aminah Nani, yang juga dikenali sebagai Miss Aminah. Judul lagu ini adalah Selamat Hari Raya.


Kata Fadila, beliau ingin setiap sajian hiburan yang dipersembahkan bernas dan tidak ‘kosong’.

Ditukil dalam wawancara bersama televisyen ketika menerima anugerah bagi Arahan Terbaik (Hiburan), Fadila berkata:

“Saya hanya mampu bermimpi dan peranan kawan-kawan seperjuangan sangat penting dan hanya mereka yang mampu melengkapinya.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >