Pusat penjaja makanan di Singapura terkenal dengan pelbagai pilihan makanan yang menepati cita rasa umum.
Namun, bagi Suffian Noor, atau nama sebenarnya Muhammad Noor Suffian Md Sukhairi, pereka bentuk bebas, pencuci mulut popular ais kacang menjadi ilham untuk rekaan kereta berhias bagi Perarakan Chingay 2025.
Bertema, Kegembiraan, perarakan anjuran Persatuan Rakyat (PA) yang berlangsung pada 7 Februari, memaparkan hidangan ikonik Singapura bagi meraikan budaya penjaja yang diiktiraf dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada 2020.
Beberapa sesi perarakan di peringkat kejiranan turut diadakan, dengan dua sesi terakhir berlangsung di GRC Bishan-Toa Payoh dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Marymount pada 1 Mac, serta GRC Chua Chu Kang dan SMC Hong Kah pada 2 Mac.
Menariknya, inspirasi bagi kereta berhias itu lahir daripada lukisan anak sulung Suffian, Naura Alesha Ang, sembilan tahun, yang menampilkan manisan ais kacang.
Naura menyertai peraduan melukis sewaktu di darjah satu.
Terdahulu, Suffian, 37 tahun, lulusan Sarjana Muda dalam Komunikasi Reka Bentuk, merupakan bekas pelukis pentas di Universal Studios Singapore (USS).
Maka itu, beliau sudah terbiasa membuat rekaan berukuran besar, terutama bagi persembahan berskala besar seperti pementasan teater.
Pada masa lapang, beliau juga gemar mencorak grafiti dan melukis mural.
Kini, bapa tiga anak perempuan berusia antara enam dengan sembilan tahun itu, menjalankan tugas sebagai pereka bentuk bebas.
Kereta berhias ais kacang yang dinamakan A Sweet Ride, dibuat daripada bahan kitar semula seperti plastik, alas meja dan stirofom.
Walau kereta berhias itu persis ais kacang, ia juga menjadi simbol sekitaran di Tanjong Pagar.
Ia dicorak persis tempat ikonik, Mount Faber, yang menjadi lokasi kereta kabel. Kereta kabel itu dihasilkan dengan baldi plastik.
Ada juga hiasan angsa sebagai gambaran Kebun Bunga, yang sentiasa menjadi daya tarikan buat penduduk setempat dan pelancong.
Unsur itu sengaja diselitkan bagi mewakili masyarakat di kejiranan Tanjong Pagar yang turut terlibat dalam rekaan kereta berhias itu.
Suffian yang sudah terlibat dalam kerja menghasilkan kereta berhias untuk Perarakan Chingay selama dua tahun berturut-turut, terharu melihat semangat gotong-royong yang dipamerkan oleh masyarakat dalam pelbagai lapisan usia, khususnya warga emas.
Kegiatan menyiapkan kereta berhias itu dijalankan melalui enam sesi bengkel selama dua jam di beberapa kelab masyarakat di kejiranan Tanjong Pagar.
Namun, projek itu secara keseluruhannya mengambil masa enam bulan untuk siap.
“Antara kenangan manis adalah apabila saya melihat kesungguhan masyarakat yang hadir untuk sama-sama membina kereta berhias.
“Lebih-lebih lagi dalam kalangan warga emas yang berusia sekitar 60-an tahun.
“Mereka sangat aktif dalam menyumbang buah fikiran berdasarkan pengalaman yang mereka raih bekerja di pusat penjaja makanan.
“Walaupun kegiatan ini bersifat sukarela, ada 10 warga emas yang menyuarakan keinginan membantu saya menyelesaikan kereta berhias sehingga habis.
“Justeru itu, ia membuat saya terharu melihat semangat mereka yang berkobar-kobar walau sudah berusia.
“Mereka malah jauh lebih teliti dan mampu menyelesaikan tugasan mereka pada masa yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 26 Februari.
Lebih istimewa lagi, ketiga-tiga anak perempuan dan isteri Suffian, Cik Juwel Nyla Ang, 33 tahun, turut serta dalam proses pembikinan kereta berhias itu, menjadikan pengalaman itu lebih bermakna bagi Suffian.
“Anak-anak saya yang hadir semasa bengkel turut memberi tunjuk ajar dan sokongan kepada rakan sebaya dalam menyelesaikan tugas kecil seperti menampal perhiasan pada kereta berhias itu.
“Isteri saya pula rancak berinteraksi dengan warga emas sambil membantu mereka menyelesaikan perhiasan yang melengkapkan ais kacang yang kami bentuk. Perlu ada cincau, kacang merah dan bahan ais kacang lain.
“Pengalaman ini sungguh bermakna bagi saya, apatah lagi melihat masyarakat kita yang tidak mudah patah semangat, bahkan berusaha melestarikan budaya penjaja yang kaya di Singapura,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg