Perarakan Chingay di Singapura akan mewarnai pentas dan jalan raya, sementara Singapura dan Malaysia dalam proses mencalonkan bersama acara itu sebagai elemen Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) bagi Kemanusiaan.
ICH melibatkan pengekalan warisan sesuatu masyarakat dari zaman nenek moyang, yang mempunyai nilai estetik tinggi.
Terdapat enam kategori Warisan Budaya Tidak Ketara dalam Senarai Perwakilan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Perarakan utama, yang akan berlangsung di Bangunan Pit Formula 1 (F1) pada 7 dan 8 Februari, melibatkan lebih daripada 4,000 penghibur dan jumlah rekod 23 kereta berhias.
Ia juga terdiri daripada pentas persembahan empat tingkat dan seni pemasangan PAssionArts yang dihasilkan bersama penduduk, pelajar dan artis masyarakat.
Perarakan Chingay yang dianjurkan setiap tahun oleh Persatuan Rakyat (PA), membawa tema ‘Kegembiraan’ pada 2025 dan akan mempamerkan elemen hidangan makanan kegemaran rakyat Singapura, untuk meraikan budaya penjaja Singapura yang berjaya diiktiraf dalam senarai ICH Unesco pada 2020.
Pada 19 Januari, para penghibur berpakaian lengkap dengan kostum berada di stesen MRT Orchard, City Hall dan Bayfront, sebagai praperarakan sebelum acara sebenar.
Kostum bertemakan makanan menarik perhatian orang ramai di sepanjang laluan pejalan kaki stesen-stesen tersebut.
Menurut Cik Sun Ya Nan, 28 tahun, salah seorang penghibur yang mengenakan gaun bertemakan stimbot semasa praperarakan itu, persiapan mencabar mereka yang telah bermula sejak Ogos 2024 akan membuahkan hasil pada perarakan Chingay.
Cik Sun berkata:
“Tahun ini (2025) tahun besar bagi Chingay, dengan sambutan (meraikan 60 tahun kemerdekaan Singapura) SG60 dan usaha untuk mendapatkan pengiktirafan Unesco.
“Saya berharap lebih ramai akan belajar tentang makanan, budaya dan kepelbagaian bangsa di Singapura.”
Ia terkenal dengan perarakan berlampu terang, apungan berwarna-warni, serta persembahan muzik dan tarian.
Perarakan Chingay 2025 menampilkan pentas setinggi 26 meter dan selebar 90 meter, serta 76 bahagian untuk penghibur.
Pentas tersebut akan dihiasi dengan ‘inflatables’ gergasi yang memaparkan makanan tempatan dan gambar ikonik Singapura, kata PA dalam satu kenyataan pada 18 Januari.
Apungan Chingay, yang dihimpunkan oleh kumpulan masyarakat dan organisasi besar seperti POSB dan Tote Board, diinspirasikan oleh makanan dan snek tempatan terkenal seperti nasi lemak, tose, dan stimbot.
Lebih 20,000 penonton dijangka hadir di acara tersebut, dengan acara kemuncak menampilkan lebih daripada 2,000 penghibur dan sebuah apungan bertemakan SG60.
Tiket untuk acara utama telah habis dijual, tetapi orang ramai masih boleh menonton rakaman langsung yang akan disiarkan di televisyen dan laman Facebook Chingay pada 16 dan 23 Februari.
Antara 9 Februari hingga 2 Mac, pemasangan seni dan persembahan Chingay akan diadakan di lapan kawasan kejiranan seperti Tampines, Punggol dan Marsiling Yew-Tee, lapor The Straits Times (ST).
Menurut PA, Lembaga Warisan Negara (NHB) dan PA akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta Jabatan Warisan Negara dalam pencalonan Chingay dalam senarai ICH Unesco – untuk memperingati ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara kededua negara.
Keputusan pencalonan dijangka diumumkan pada penghujung 2026.
Jika berjaya, Chingay bakal diiktiraf Unesco bersama acara budaya terkenal negara lain seperti Festival Perahu Naga China dan persembahan teater Kabuki Jepun.
Pengerusi Chingay 2025 dan juga pengarah kumpulan PA, Encik Kia Siang Wei berkata:
“Perarakan Chingay sentiasa menjadi perayaan pelbagai budaya meriah dan pengalaman bersama yang mendefinisikan Singapura.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg