Cinta tidak semuanya bahagia, adakalanya berakhir dengan kecewa.
Itulah yang dirasakan penyanyi Indonesia, Cakra Khan, apabila kisah cintanya terputus di tengah jalan pada Februari beberapa tahun lalu dengan seorang individu yang enggan didedahkan identitinya membuatnya sedih.
Perasaan terluka dan kecewa itu bagaimanapun memberikan Cakra atau nama sebenarnya, Cakra Konta Paryaman, 31 tahun, inspirasi baru sehingga penyanyi Kekasih Bayangan itu berjaya menyiapkan sebuah album dengan 13 lagu yang dijangka menemui pendengar bulan depan.
“Patah hati membuatkan saya meraih lebih banyak pendapatan kerana lebih banyak inspirasi yang saya dapat.
“Dalam keadaan apa pun, saya akan cuba positif. Ketika saya sedih, saya hubungi teman saya yang juga pemain piano untuk datang ke rumah.
“Ketika dia memainkan muzik, saya akan mencari lirik sehingga terjadilah lagu yang lengkap.
“Saya tidak akan dapat melakukan ini sekiranya saya bahagia. Putus cintalah yang menjadikan siapa Cakra Khan hari ini. Ia membuatkan saya lebih mudah mencurahkan isi hati,” katanya kepada laman Utusan Online.
Beliau ditemui pada sidang media Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0, di sebuah restoran baru-baru ini.
Ternyata, impian Cakra tampil dalam konsert solo yang diiringi orkestra akhirnya tercapai apabila bakal menjayakan konsert tersebut di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) pada 17 Februari 2024.
Penyanyi yang pernah membuat penampilan di pentas uji bakat America’s Got Talent (AGT) 2023 itu jelas tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila konsert berkenaan bakal diiringi 32 pemuzik orkestra di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Datuk Ramli MS.
Menerusi konsert itu juga, Cakra bakal menghadiahkan peminat di Malaysia dengan dendangan lagu album terbaru yang akan dinyanyikan secara langsung buat kali pertama.
“Semestinya konsert kali ini ada kelainan tersendiri kerana ia bakal dijayakan dengan iringan orkestra di bawah pimpinan Ramli, jadi versi kali ini berbeza,” katanya.
“Secara kebetulan, saya akan lancarkan album baru dan semestinya lebih banyak lagu akan dinyanyikan. Selain itu, ada bebebapa kolaborasi juga bersama penyanyi dari Malaysia.
“Dulu sebelum saya ada konsert sendiri, saya selalu mengimpikan menganjurkan konsert dengan orkestra sebab ia akan lebih hidup. Malah, muzik dan lagu akan kedengaran lebih indah,” katanya.
Pada masa sama, Cakra berkata, beliau juga membawakan lagu penyanyi dari Malaysia termasuk menjemput beberapa penyanyi ternama lain untuk membuat persembahan.
“Sudah pasti saya akan nyanyikan lagu dari Malaysia sebab ada beherapa lagu yang saya suka, malah perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada penganjur.
“Ini kerana, artis kegemaran saya di Malaysia juga ramai. Antaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Anuar Zain, Misha Omar dan Aina Abdul.
“Untuk konsert ini, saya akan berikan kesungguhan paling maksima daripada konsert pernah dijayakan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Seven Skies Motion Sdn Bhd, Azlin Hilda Abdul Latif selaku penganjur berkata, pihaknya teruja untuk sekali lagi membawa Cakra ke Malaysia selepas melihat kejayaan Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2023 pada Januari lalu.
“Selepas penganjuran konsert pertama pada Januari lalu, saya lihat ada keserasian dan komitmen yang baik antara kami, jadi sekali lagi saya mengajak Cakra untuk meneruskan konsert kedua pada Februari tahun depan,” katanya.
“Melibatkan orkestra dalam konsert kali ini adalah idea bersama dan kami selalu berbincang untuk mengadakannya. Cuma untuk konsert kedua ini, kami akan tambah baik lagi. Kalau konsert pertama sudah ada satu penanda aras baik, jadi kami merancang untuk berikan lebih lagi.
“Kos konsert kali ini sudah tentu lebih tinggi. Bagaimanapun, jualan tiket yang sudah dibuka sudah terjual sebanyak 25 peratus,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg