Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengiktirafan Zarra, Aghniny di Festival Filem M’sia tidak wajar dipertikai: Siti Khadijah
Pengiktirafan Zarra, Aghniny di Festival Filem M’sia tidak wajar dipertikai: Siti Khadijah
Pengiktirafan Zarra, Aghniny di Festival Filem M’sia tidak wajar dipertikai: Siti Khadijah
KUALA LUMPUR: Bakat lakonan yang luar biasa serta komitmen tinggi dalam menjayakan naskhah Khadam menjadikan kemenangan Zarra Zhaf dan pengiktirafan terhadap aktres Indonesia, Aghniny Haque pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) sebagai sesuatu yang wajar dan tidak perlu dipertikaikan.
Pelakon, Siti Khadijah Halim, 29 tahun, menyifatkan pencapaian kedua-dua bintang sebagai manifestasi kepada kualiti lakonan yang berjaya memukau barisan juri, sekali gus menepis sebarang pertikaian berhubung keputusan malam anugerah berprestij itu.
Mengulas mengenai pengiktirafan terhadap Aghniny, Siti Khadijah berkata bahawa penilaian karya seni harus melangkaui batas sempadan dan kewarganegaraan.
“Saya tahu perkara ini sensitif kerana kita mengiktiraf Aghniny. Namun, saya rasa dia memang wajar menerima anugerah itu kerana bakatnya.
“Kita ketepikan soal kewarganegaraan kerana bakatnya memang tidak dinafikan sangat baik dalam Khadam.
“Untuk Zarra pula, saya rasa mungkin tahun ini ada sedikit perbezaan dari segi had umur. Dia juga memang seorang pelakon yang sangat bagus.
“Saya bekerja dengan Zarra dan tidak dinafikan dia bukan seperti kanak-kanak seusianya. Dia seperti sebaya saya dari segi kematangan lakonan, cara melafazkan dialog dan berkomunikasi dengan orang dewasa,” kata Siti Khadijah apabila ditemui pada majlis pelancaran UTV Nusantara dan lagu Janji Untuk Setia di sini, pada 23 November, lapor Berita Harian Malaysia.
Dalam pada itu, Siti Khadijah turut meluahkan rasa bangga atas kejayaan Zarra membawa pulang kemenangan itu dan menyaksikan sendiri kemampuan pelakon remaja berkenaan sepanjang menjayakan filem Khadam.
Katanya, Zarra sudah dianggap seperti anak buah sendiri, malah kejayaan pelakon muda itu turut memberikan kegembiraan kepadanya.
“Saya sendiri bangga apabila Zarra berada dalam kategori itu dan menang. Saya sudah anggap seperti anak buah sendiri.
“Hitam dan Putih sangat dekat dengan saya dan saya bangga dengan mereka. Walaupun Karl tidak dapat membawa pulang kemenangan, tidak mengapa kerana kakaknya sudah membawa pulang anugerah. Saya gembira untuk mereka,” katanya.
Selain itu, Siti Khadijah berkata, kemenangan seseorang pelakon tidak seharusnya dipertikaikan kerana setiap kejayaan mempunyai ketentuan dan rezeki tersendiri.
Katanya, peluang untuk meraih pengiktirafan akan tiba pada waktu yang tepat, justeru setiap individu perlu menerima keputusan dengan hati terbuka.
“Saya cuma nak cakap satu saja. Kita makan nasi pun makanan boleh terjatuh daripada mulut. Jadi, rezeki itu akan datang pada waktu yang tepat.
“Kalau itu rezeki Zarra, sudah tertulis memang rezeki dia. Kalau rezeki orang lain, mungkin lain kali.
“Jadi, kalau boleh kita jangan pertikaikan soal rezeki kerana apa yang datang, sama ada baik atau buruk, adalah daripada Allah,” ujar beliau lagi.
Filem Khadam yang dibintangi Siti Khadijah, Aghniny dan Zarra turut mencipta kejayaan apabila membolot sembilan anugerah termasuk dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada FFM35.