Terkenal dengan menu roti ‘Ikhwan’, perata unik ini sebenarnya perata kosong yang lopong dan ditambahkan dua telur mata lembu yang ‘goyang’ (kerana separuh masak) di tengah.
Mungkin ramai yang juga mengenalinya sebagai perata ‘sarang burung’ kerana bentuknya yang mirip sarang burung.
Apabila ditanya mengapa dinamakan roti ‘Ikhwan’, pengurus Restoran Mihrimah, Encik Abdul Muiin Mohamed berkata:
“Ikhwan bermaksud saudara dan ini boleh dilihat sendiri dengan dua biji telur seperti saudara yang bersebelahan.”
Dijual pada harga $3, roti ‘Ikhwan’ disajikan dengan kari ikan dan juga sambal ikan bilis. Cara untuk makan roti ‘Ikhwan’ ini adalah untuk makan semua elemen dalam satu suapan – telur kuning dipecahkan bersama perata dan dicecah dengan sambal dan kari ikan.
Roti kosong mereka juga dijual pada harga serendah $1. Roti kosong ini tidak begitu garing tetapi ia sangat lembut dan dohnya ada rasa manis dan berlemak.
Antara keistimewaan perata di restoran itu adalah doh mereka, yang diuli sendiri dan mempunyai tekstur yang lebih lembut.
Selain itu, Restoran Mihrimah menawarkan promosi pakej untuk membayar harga penuh set kuah kari, antara $6 dengan $15 dan pelanggan boleh menambah $1 untuk mendapatkan perata kosong tanpa had.
Mereka juga memberi khidmat ‘Bayar Seikhlas Hati’ pada setiap Jumaat dari 11 pagi hingga 4 petang dengan pelanggan boleh memilih sebarang makanan dan membayar seikhlas hati. – NUR SYUHRAH HASSAN
Alamat: 742 North Bridge Road, Singapura 198710
Waktu Operasi: 7.30 pagi hingga 9 malam


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg