SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Perbaiki tahap kesuburan perlu pendekatan khusus

Perbaiki tahap kesuburan perlu pendekatan khusus

Sokongan harus murah hati tetapi tidak membuta tuli; faktor penurunan tahap kesuburan pelbagai, huraian perlu berdasar punca secara khusus
Apr 9, 2026 | 5:30 AM

Perbaiki tahap kesuburan perlu pendekatan khusus

kesuburan, TFR, Singapura, solusi
Penurunan tahap kesuburan bukan disebabkan oleh hanya satu punca sahaja, maka penyelesaian bagi menghuraikan masalah ini juga harus pelbagai. - Foto ZAOBAO

Kemerosotan kelahiran bayi di Singapura semakin meruncing ke paras terendah dalam sejarah pada 2025, dengan Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) penduduknya jatuh ke 0.87 anak bagi setiap wanita.

Ini juga menandakan penurunan mendadak daripada 0.97 pada 2024.

Singapura kini merupakan antara negara dengan kadar kesuburan terendah di dunia, kedua selepas Korea Selatan, yang mempunyai TFR 0.8 pada 2025.

Seperti yang ditekankan Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, TFR 0.87 akan bermakna hanya 44 anak dan 19 cucu bagi setiap 100 penduduk hari ini.

Jika ini berterusan, penduduk Singapura dan kesinambungan generasi menghadapi tekanan yang belum pernah dialami sebelumnya, menjejas ekonomi negara, termasuk tenaga kerjanya.

Sebagai tindak balas, satu kumpulan kerja baru yang diketuai Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), telah dibentuk untuk mengkaji sebab rakyat Singapura menangguhkan atau melepaskan peluang menjadi ibu bapa.

Usaha ini mesti bermula dari premis yang lebih jujur.

Penurunan kesuburan bukan disebabkan daripada satu punca, dan penyelesaian baginya juga bukan hanya satu.

Menganggap ia sebagai masalah seragam berisiko menghasilkan dasar seragam yang gagal mendatangkan perubahan.

Huraian sementara: Bergantung kepada penduduk baru

Sebagai sebuah negara kecil, Singapura telah bergantung kepada strategi menarik pekerja asing untuk mengurangkan kekurangan tenaga kerja dengan segera.

Tetapi adakah pertumbuhan ekonomi yang bergantung kepada warga asing langkah mampan dalam jangka masa panjang, memandangkan mereka mungkin pulang ke negara asal?

Untuk memastikan kemampanan, sebahagian pekerja asing perlu ditukar menjadi Penduduk Tetap (PR).

Singapura telah bersikap berhati-hati dengan pemilihannya, memastikan hanya bukan penduduk yang mempunyai nilai tambah diberikan status PR.

Isu seterusnya adalah berapa banyak pendatang luar negara yang boleh diterima oleh Singapura.

Penduduk tempatan mungkin mendapati kehadiran golongan itu menghakis identiti dan komitmen nasional yang dikongsi.

Namun, strategi ini tetap penting untuk mengurangkan tekanan pekerja.

Oleh itu, adalah penting bagi pemerintah memastikan penyepaduan yang baik antara penduduk baru ini ke Singapura.

Majlis Integrasi Nasional menjalankan program untuk “memupuk dan memperdalam ikatan emosi dan rasa kekitaan terhadap Singapura dalam kalangan pendatang baru”.

Perlu diingatkan bahawa penyepaduan adalah proses dua hala.

Walaupun pendatang baru mesti berusaha memahami norma tempatan, bahasa dan isyarat sosial, rakyat Singapura mesti bermurah hati.

Mereka mesti terlibat dan bukannya mengecualikan, berinteraksi (dengan pendatang baru) dan bukannya merungut.

Masyarakat yang padu tidak dibina dengan mengharapkan pendatang baru “menyesuaikan diri” tetapi dengan membentuk identiti bersama.

Warga Singapura mesti melihat penyepaduan bukan sebagai beban, tetapi sebagai tanggungjawab sivik dan pelaburan dalam menjadikan Singapura bersatu padu.

Huraian jangka panjang: Tarik warga S’pura punya ramai anak

Secara ideal, kita mahu rakyat Singapura mempunyai lebih ramai anak.

Namun, perdebatan kesuburan Singapura sering tertumpu pada soal kos.

Realitinya tidak semua yang memilih untuk tidak mempunyai anak disebabkan kekangan yang sama.

Terdapat sekurang-kurangnya empat kumpulan yang berbeza.

Mereka yang tidak dapat diyakinkan; mereka yang punya salah tanggapan; mereka yang menghadapi masalah kewangan; dan mereka yang melalui pengalaman pahit.

Kumpulan itu memerlukan strategi berbeza.

Mereka yang tidak dapat diyakinkan: Golongan ini terdiri daripada individu yang memilih untuk tidak mempunyai anak langsung.

Tiada jumlah bonus bayi atau rebat cukai akan mengubah pandangan dan pilihan yang dipegang teguh itu.

Dasar harus menyedari hal ini.

Tuntutan golongan ini terhadap soal anak amat tidak fleksibel, sehingga sumber perlu diperuntuk untuk meyakinkan golongan lain agar lebih bertolak ansur dalam tuntutan mereka.

Matlamatnya di sini bukanlah penukaran, tetapi kewujudan bersama.

Mereka yang salah tanggapan: Kumpulan ini cenderung melebih-lebihkan kos kewangan dan pengorbanan peluang untuk membesarkan anak, selalunya berdasarkan pengalaman terpencil yang paling buruk atau perbandingan sosial.

Di sini, masalahnya adalah persepsi dan bukannya kemampuan.

Agensi awam mesti menyampaikan kos bersih sebenar selepas subsidi, sementara majikan dan masyarakat membiasakan naratif keibubapaan yang lebih sederhana.

Lebih penting lagi, pemerintah perlu meyakinkan kumpulan ini agar melihat kanak-kanak sebagai ‘barangan penggunaan’ atau consumption goods, bukan sebagai ‘barangan pelaburan’ investment goods.

Tumpuan harus diberikan kepada bagaimana kanak-kanak membawa kegembiraan dan kebahagiaan pada waktu ini, bukannya apa yang mereka akan jadi pada masa hadapan.

Apabila setiap kanak-kanak dibayangi memerlukan kelas pengayaan premium dan tutor peribadi, kesuburan menjadi satu yang ‘mewah’.

Membetulkan persepsi itu adalah tugas berkaitan maklumat dan budaya.

Mereka yang terhad dari segi kewangan: Jika terdapat satu kumpulan yang mana dasar benar-benar boleh mendatangkan perubahan, ia adalah mereka yang terhad dari segi kewangan.

Pendekatan semasa Singapura paling tertumpu kepada mereka.

Mereka adalah individu yang mahukan anak tetapi teragak-agak disebabkan kos.

Contohnya, melahirkan anak bermakna pengurangan pendapatan, malah boleh mengalami kerugian, bagi sesetengah wanita.

Walaupun terdapat usaha dasar yang berterusan, keputusan menunjukkan bahawa insentif ekonomi, seperti bonus bayi, sahaja tidak mencukupi.

Apabila mempunyai anak masih mengancam kestabilan kewangan, tiada jumlah bonus dapat membantu dalam membuat keputusan.

Apa yang diperlukan bukanlah sokongan marginal, tetapi jaminan struktur.

Ini bermakna gaji yang lebih tinggi, pekerjaan yang menyokong keluarga, penjagaan kanak-kanak yang benar-benar berpatutan dan keutamaan perumahan untuk keluarga muda.

Ini bukan sekadar sesuatu yang ‘baik untuk dimiliki’, tetapi prasyarat penting agar keibubapaan dirasakan sebagai sesuatu yang berdaya maju, bukan penuh ketidakpastian.

Mereka yang lalui pengalaman pahit: Golongan ini mungkin terdiri daripada ibu bapa yang pengalaman pertama mereka – sama ada akibat proses kelahiran yang sukar, kekurangan sokongan atau tekanan yang melampau – telah menyebabkan mereka serik untuk menimang anak lagi.

Mereka juga mungkin terdiri daripada individu yang menyaksikan sendiri rakan mereka melalui kesukaran, atau pernah mendengar kisah yang menjadi peringatan dan amaran.

Dasar mesti bertindak dengan prasarana penjagaan seperti penjagaan kesihatan ibu yang mudah diakses, sokongan kesihatan mental selepas bersalin, pengaturan kerja fleksibel dan rangkaian penjagaan yang boleh dipercayai.

Keputusan untuk mempunyai anak kedua selalunya kurang mengenai wang tetapi mengenai sama ada sistem akan memberi sokongan apabila keadaan menjadi sukar.

Dapatan kajian

Buktinya jelas.

Tiada satu halangan kepada kesuburan, hanya kumpulan berbeza membuat pilihan yang berlainan atas sebab tersendiri.

Di Amerika Syarikat, sekitar 57 peratus orang dewasa di bawah umur 50 tahun yang tidak mungkin mempunyai anak mengatakan mereka tidak mahukan zuriat (mereka yang tidak boleh diyakinkan); sementara 44 peratus lagi mengutamakan usaha lain (mereka yang salah maklumat).

Antara 36 dengan 41 peratus merujuk kepada kos (mereka yang kekurangan kewangan).

Dan 18 hingga 22 peratus terhalang oleh pengalaman peribadi atau keluarga yang negatif (mereka yang terkait pengalaman pahit).

Perlu diambil perhatian, ini bukanlah kategori yang saling eksklusif.

Ramai individu berada dalam dua atau lebih kumpulan.

Justeru, tindak balas dasar satu dimensi yang sebahagian besarnya tertumpu pada insentif ekonomi, seperti di Singapura, terlepas pandang kerumitan isu tersebut.

Jika puncanya pelbagai, penyelesaiannya juga mesti begitu.

Elak ‘miopia’

Walaupun keperluan untuk meningkatkan kadar kelahiran adalah mendesak, kita juga harus berwaspada terhadap mereka yang mengalami ‘miopia’.

Ini adalah individu yang mengejar keibubapaan tanpa pertimbangan yang mencukupi tentang kapasiti kewangan, emosi atau penjagaan mereka.

Keibubapaan bukan sekadar keinginan peribadi.

Apabila keputusan dibuat tanpa berpandangan jauh, beban sering beralih kepada keluarga secara luas, sistem awam dan, kritikal, kepada anak-anak itu sendiri.

Oleh yang demikian, agenda pronatalis mesti menetapkan garisan jelas antara menggalakkan kelahiran dengan membolehkan sikap tidak bertanggungjawab.

Sokongan haruslah murah hati tetapi tidak membuta tuli.

Dasar mesti menggalakkan kesediaan melalui pendidikan keibubapaan, perancangan kewangan dan sokongan bersyarat.

Matlamatnya bukan untuk mengawal pilihan, tetapi untuk memastikan setiap kanak-kanak dibesarkan dalam persekitaran berasaskan kestabilan, kesedaran dan penjagaan.

Tiada satu huraian

Apa yang muncul adalah kebenaran yang mudah tetapi sering diabaikan iaitu kesuburan adalah mozek keputusan yang dibentuk oleh keutamaan, persepsi, kekangan dan pengalaman.

Jika penggubal dasar serius, mereka perlu berhenti menggunakan langkah umum yang kurang berkesan dan mula melaksanakan dasar yang lebih tepat dan khusus.

Hormati mereka yang tidak akan membiarkan diri dipujuk.

Perbetulkan mereka yang dipandu oleh tanggapan yang salah.

Sokong mereka yang terhalang oleh kekangan sebenar dan ambil berat secara mendalam dan tekal, ke atas mereka yang menggunakan pengalaman lalu sebagai penghalang.

Dasar mesti mencerminkan kepelbagaian itu dengan ketepatan yang sama.

Pada masa yang sama, sedang Singapura bersandar pada kemasukan mereka dari luar negara untuk mengekalkan ekonominya, penyepaduan tidak boleh menjadi satu pemikiran yang datang kemudian.

Sebuah masyarakat yang padu mesti dibangunkan secara sengaja melalui usaha yang dikongsi dan penyesuaian bersama.

Akhirnya, kita mesti menyedari bahawa kesuburan bukanlah masalah tunggal dengan satu huraian sahaja.

Jika puncanya berbeza, tindakan juga mesti tidak sama.

Jika tidak, kadar kesuburan akan kekal rendah.

Bukan kerana kekurangan usaha, tetapi kerana kekurangan pemahaman.

Apa yang muncul adalah kebenaran yang mudah tetapi sering diabaikan iaitu kesuburan adalah mozek keputusan yang dibentuk oleh keutamaan, persepsi, kekangan dan pengalaman... Dasar mesti mencerminkan kepelbagaian itu dengan ketepatan...
Penulis.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg