Jumlah kadar kesuburan S’pura cecah paras paling rendah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah kadar kesuburan S’pura cecah paras paling rendah

Seramai 27,500 bayi lahir pada 2025 dalam kalangan penduduk; usaha bantu rakyat bina keluarga diperkukuh
Feb 26, 2026 | 8:54 PM

Jumlah kadar kesuburan S’pura cecah paras paling rendah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kadar kesuburan, tft, PMO, COS
Jumlah kadar kesuburan (TFR) Singapura yang terus merosot menimbulkan cabaran serius dan mendalam kepada masyarakat, ekonomi dan keselamatan negara, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, yang juga menyelia Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO). - Foto fail

Jumlah kadar kesuburan (TFR) penduduk Singapura terus merosot ke paras terendah baru.

Data awal menunjukkan kadar bagi 2025 ialah 0.87 – lebih rendah berbanding 0.97 pada 2024, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.

Angka itu juga jauh lebih rendah berbanding kadar 1.24 hanya sedekad lalu, dengan kemerosotan TFR itu menimbulkan cabaran serius dan mendalam kepada masyarakat, ekonomi dan keselamatan negara, tambah beliau.

Berdasarkan data awal, Singapura menyambut kelahiran sekitar 27,500 bayi dalam kalangan penduduk Singapura pada 2025.

Namun, ia merupakan angka paling rendah pernah dirakam dalam sejarah.

Secara berasingan, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, dalam ucapannya berkata kelahiran penduduk merentas semua kumpulan etnik telah turun.

Kelahiran dalam kaum Cina mencatat kemerosotan lebih besar secara perkadaran – turun 15 peratus berbanding 2024, sebahagiannya disebabkan penurunan biasa selepas Tahun Naga.

Pada masa yang sama, penduduk negara ini juga semakin menua dengan lebih pantas daripada sebelumnya – seorang dalam lima rakyat berusia 65 tahun dan ke atas pada 2025, berbanding seorang dalam lapan pada 2015.

Seandainya TFR negara kekal pada 0.87, berdasarkan pengiraan mudah, Encik Gan berkata Singapura akan mempunyai hanya 44 anak dan sekadar 19 cucu bagi setiap 100 penduduk hari ini.

“Lama-kelamaan, adalah mustahil untuk membalikkan trend ini, kerana kita akan mempunyai semakin sedikit wanita yang boleh melahirkan anak,” kata Encik Gan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Pejabat Perdana Menteri (PMO) – Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) di Parlimen pada 26 Februari.

Walaupun dengan adanya imigrasi, Encik Gan berkata pertumbuhan penduduk rakyat Singapura tetap perlahan sepanjang dekad lalu – merosot daripada purata 0.9 peratus setahun dari tempoh 2015 hingga 2020, kepada 0.8 peratus setahun dalam tempoh 2020 hingga 2025.

Pada 2025, penduduk warganegara Singapura hanya tumbuh 0.7 peratus.

“Jika tiada langkah baru diambil, penduduk rakyat kita akan mula mengecil menjelang awal 2040-an.

“Kekurangan kelahiran hari ini bermakna kurangnya golongan muda dalam tempoh dua hingga tiga dekad akan datang.

“Pangkalan usia bekerja yang lebih kecil akan perlu menyokong penduduk warga emas yang berkembang pesat; rangkaian sokongan kekeluargaan akan menjadi lemah apabila saiz keluarga mengecil.

“Setiap ahli keluarga dalam generasi muda akan terpaksa memikul beban yang lebih berat,” kata beliau.

Di peringkat makro pula, Encik Gan berkata jumlah penduduk yang merosot bermakna kurangnya kecergasan dalam bandar dan ekonomi.

“Pertumbuhan ekonomi kita, dan seiring dengannya, pertumbuhan pendapatan kita akan menjadi perlahan.

“Pada masa yang sama, perbelanjaan penjagaan kesihatan dan sosial kita akan perlu ditingkatkan untuk menyokong penduduk warga emas yang semakin bertambah.

“Tekanan yang amat besar ini akan dirasai di peringkat nasional, dan juga oleh isi rumah individu,” kata beliau.

Bagi menangani isu itu, Encik Gan berkata keutamaan pertama dan utama pemerintah adalah untuk terus menyokong rakyat Singapura dalam membentuk keluarga, dengan mereka akan melakukan lebih banyak lagi bagi memperkukuh sokongan dalam perjalanan perkahwinan dan keibubapaan.

Isu kemerosotan kesuburan merupakan satu cabaran yang pelbagai rupa dan ia perlu ditangani secara menyeluruh, tambah beliau.

“Ia mencerminkan perubahan generasi yang lebih luas dalam soal keutamaan hidup dan pemikiran.

“Sikap terhadap perkahwinan dan keibubapaan dibentuk oleh banyak faktor – norma tempat kerja dan amalan majikan, ketersediaan sokongan keluarga dan masyarakat, dan sikap sosial terhadap mempunyai dan membesarkan anak-anak.

“Kita perlu menangani isu-isu ini secara menyeluruh dan tidak sekadar menyalahkannya kepada mana-mana satu faktor sahaja,” kata Encik Gan.

Sedang pemerintah menggandakan usaha menyokong rakyat memulakan keluarga dan mempunyai lebih ramai anak, Singapura masih memerlukan aliran pendatang yang diuruskan dengan teliti bagi meningkatkan kadar kelahiran negara yang rendah, tambah beliau.

Pada 2025, sekitar 25,000 individu diberikan kerakyatan Singapura, dengan pemerintah menjangka menerima antara 25,000 dengan 30,000 rakyat baru setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang, bergantung pada trend demografi, termasuk TFR.

Negara ini juga menganggar menerima sekitar 40,000 Penduduk Tetap (PR) setiap tahun dalam tempoh lima tahun mendatang, lebih tinggi sedikit berbanding 35,000 PR yang diberikan pada 2025.

Bilangan PR negara ini kekal stabil pada sekitar 540,000 orang sejak beberapa tahun lalu.

Namun begitu, Encik Gan berkata pemerintah akan menyelaraskan bilangan sebenar pendatang yang diambil tahun demi tahun, bergantung pada trend TFR, faktor demografi lain dan bilangan serta kesesuaian pemohon.

Ini di samping mengambil kira prasarana dan kapasiti masyarakat untuk menerima pendatang tersebut.

Encik Gan menekankan pemerintah akan mengekalkan keseimbangan etnik yang luas dalam penduduk rakyat Singapura, dan terus menguruskan dengan teliti kesan imigresen terhadap komposisi penduduk bagi memelihara keseluruhan “tekstur masyarakat kita”.

Pada masa yang sama, pemerintah akan mempertingkatkan usaha penyepaduan untuk mewujudkan lebih banyak peluang bagi rakyat dan pendatang berinteraksi dan membina hubungan serta kepercayaan.

“Pendatang kita datang daripada budaya dan tradisi berbeza. Ia akan mengambil masa untuk mereka menjalin penyepaduan.

“Pendatang generasi pertama perlu menyesuaikan diri dengan norma dan adat resam kita; tetapi anak-anak mereka mungkin akan bersepadu dengan lebih mudah, terutama jika mereka membesar di Singapura,” kata beliau.

Tambahan, pemerintah juga akan terus memantau pertumbuhan populasi bukan penduduk, termasuk tenaga kerja asing, demi memastikan rakyat Singapura kekal sebagai majoriti penduduk.

Pekerja asing yang berkemahiran diperlukan untuk membantu memenuhi jurang tenaga kerja yang kritikal, menolong syarikat membina keupayaan baru dan menyokong pertumbuhan ekonomi, kata Encik Gan.

Ini akhirnya akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan peluang untuk rakyat.

Pekerja asing, seperti pekerja domestik migran dan pekerja binaan migran, pula membantu memenuhi keperluan sosial, termasuk penjagaan anak-anak kecil dan ibu bapa lanjut usia, serta projek pembinaan prasarana.

Memandang ke hadapan, Encik Gan berkata keseluruhan penduduk Singapura bagi lima tahun akan datang diharapkan akan berkembang, namun kemungkinan besar pada kadar lebih perlahan berbanding lima tahun lalu.

Beliau menambah jumlah keseluruhan penduduk juga tetap akan berada jauh di bawah 6.9 juta menjelang 2030.

Encik Gan menegaskan pemerintah tidak mengejar pertumbuhan semata-mata demi pertumbuhan itu sendiri, namun pertumbuhan ekonomi adalah cara mencapai matlamat, iaitu menambah baik kehidupan rakyat Singapura.

“Matlamat utama kami selama ini dan akan sentiasa kekal untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat Singapura.

“Kami akan terus memantau rapat saiz dan komposisi penduduk, demi memastikan trend adalah mampan, keperluan prasarana dipenuhi dengan tepat pada masanya dan mencukupi, serta rakyat Singapura akhirnya meraih manfaat daripada dasar populasi kami,” kata beliau.

Jumlah penduduk merosot jejas pertumbuhan ekonomi

“Pertumbuhan ekonomi kita, dan seiring dengannya, pertumbuhan pendapatan kita akan menjadi perlahan. Pada masa yang sama, perbelanjaan penjagaan kesihatan dan sosial kita akan perlu ditingkatkan untuk menyokong penduduk warga emas yang semakin bertambah. Tekanan yang amat besar ini akan dirasai di peringkat nasional, dan juga oleh isi rumah individu.”
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg