Tiada satu cara untuk menyampaikan kisah Melayu Singapura kerana masyarakat dan individu berbeza mungkin membawa pengalaman dan sudut pandangan berlainan kepada kisah itu.

Ia bermakna galeri tetap dalam Taman Warisan Melayu (TWM) hanya dapat menyampaikan satu bahagian sahaja daripada kisah yang lebih besar.

Dalam wawancara bersama Berita Minggu (BM), Pengurus Besar TWM, Encik Mohamed Hafiz Mohamed Shariff, berkata keprihatinan tentang penyampaian kisah Melayu Singapura itu dilihat melalui maklum balas yang diterima daripada pengunjung ke pusat warisan yang dibuka semula pada hujung April.

“Dalam beberapa maklum balas, pengunjung menghargai cara warisan dipersembahkan sebagai sesuatu yang hidup dan sentiasa berkembang.

“Ada juga yang berpegang pada gagasan bahawa identiti terbuka kepada pelbagai tafsiran dan tidak bersifat muktamad,” kata Encik Mohamed Hafiz.

“Kami juga menerima maklum balas yang meminta agar lebih banyak konteks dan penerangan lanjut diberikan bagi beberapa subjek tertentu, dan perkara ini telah kami ambil perhatian.

“Kami mengalu-alukan maklum balas sedemikian kerana kami percaya perbincangan mengenai bagaimana sejarah dan warisan Melayu Singapura dipersembahkan mencerminkan minat yang mendalam serta keprihatinan masyarakat terhadap penceritaan kisah kita,” tambahnya.

TWM, yang terletak di Istana Kampong Gelam, dibuka semula pada 25 April dengan mengetengahkan tema baru, ‘Dari Rantau Ke Rumah’, melalui enam galeri tetap yang mempamerkan 279 artifak.

Secara ringkas, Encik Mohamed Hafiz menerangkan bahawa galeri tetap itu dipandu dua idea yang saling melengkapi.

Pengurus Besar Taman Warisan Melayu (TWM), Encik Mohamed Hafiz Mohamed Shariff (tengah), menerangkan tentang artifak yang dipamerkan kepada kakitangan muzium semasa satu lawatan.
Pengurus Besar Taman Warisan Melayu (TWM), Encik Mohamed Hafiz Mohamed Shariff (tengah), menerangkan tentang artifak yang dipamerkan kepada kakitangan muzium semasa satu lawatan. - Foto TWM

‘Dari Rantau’ meletakkan Singapura dalam konteks Kepulauan Melayu yang lebih luas, manakala ‘Ke Rumah’ meneroka bagaimana identiti Melayu Singapura yang tersendiri berkembang daripada hubungan serantau yang lebih luas ini.

Galeri itu menelusuri identiti Melayu Singapura tersendiri yang terbentuk berasaskan sejarah yang lebih luas di Kepulauan Melayu.

Ia bermula dari abad ke-14 dan ke-15 hingga ke hari ini: daripada kesultanan Melayu, kemudian zaman penjajahan, hingga ke penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Ia menunjukkan bagaimana masyarakat dari seluruh Kepulauan Melayu datang ke Singapura, dan bagaimana Kampong Gelam berfungsi sebagai persimpangan tempat mereka bergaul dengan penduduk Melayu tempatan.

Pergaulan itu, dari masa ke semasa, membentuk identiti Melayu Singapura yang dikenali hari ini.

Acara ‘Anyaman Warna: Creating a Community Batik’ dianjurkan di Taman Warisan Melayu (TWM) pada 26 April 2025.
Acara ‘Anyaman Warna: Creating a Community Batik’ dianjurkan di Taman Warisan Melayu (TWM) pada 26 April 2025. - Foto TWM

“Dalam membangunkan galeri ini, kami bekerjasama rapat dengan penyelidik, pakar bidang, rakan masyarakat, keluarga dan peminjam koleksi.

“Kami sedar bahawa tiada satu cara tunggal untuk menceritakan kisah Melayu Singapura, dan bahawa masyarakat serta individu yang berbeza mungkin membawa pengalaman dan perspektif berlainan terhadapnya.

“Sebuah galeri tetap hanya mampu memaparkan sebahagian daripada kisah yang jauh lebih besar itu.

“Oleh itu, kami melihat perbincangan yang timbul sejak pembukaan semula sebagai sebahagian daripada hubungan yang berterusan antara TWM dengan masyarakat,” kata Encik Mohamed Hafiz.

Berkongsi pandangannya, pengasas bersama badan bukan mencari untung P.E.N.T.A.S Foundation Ltd, Encik Suryakenchana, berkata beliau setuju dengan beberapa maklum balas daripada pengunjung bahawa skop papan cerita TWM kini lebih selaras dengan naratif nasional dan mempunyai kurang penekanan terhadap keterkaitan dan interaksi serantau masyarakat Melayu.

Tetapi beliau memilih melihat perkara itu sebagai satu peluang dan bukan menolaknya hanya kerana ia mungkin dilihat kurang bermakna.

“Saya melihatnya sebagai peluang kerana kita boleh melanjutkan cerita dan memberi tumpuan kepada membangunkan warisan Melayu Singapura kita sendiri.

“Ada banyak lanjutan kisah untuk diceritakan daripada setiap seksyen dalam galeri tetap baru di TWM,” katanya.

Bagi pengunjung yang mahu meneroka subjek tertentu dengan lebih mendalam, dalam beberapa bulan akan datang, TWM akan memperkenalkan maklumat kontekstual tambahan, termasuk kapsyen pelengkap dan kandungan yang boleh diakses menggunakan kod QR.

Satu siri ceramah juga akan diadakan setiap dua hingga tiga bulan hingga April 2027.

Satu katalog galeri mengandungi esei oleh pakar bidang juga sedang dibangunkan. Katalog yang boleh dijangkakan sekitar pertengahan 2027 itu bertujuan memberi pengunjung pemahaman lebih mendalam tentang tema yang diteroka.

Pementasan ‘Kota Impian: Modern Women’ antara program yang ditawarkan semasa meraikan pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TWM).
Pementasan ‘Kota Impian: Modern Women’ antara program yang ditawarkan semasa meraikan pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TWM). - Foto TWM

Sementara itu, TWM akan terus menawarkan programnya yang mendapat sambutan baik seperti Tales of the Nusantara, Rumah Terbuka Hari Raya dan sambutan Hari Keharmonian Kaum.

TWM juga telah memperkenalkan pengalaman baru termasuk bengkel pembuatan minyak atar dan jelajah aroma Kampong Gelam, kegiatan jejak warisan secara kendiri di sekitar kawasan Kampong Gelam, serta sesi penceritaan yang disertai kegiatan kraf.

Selain itu, pusat warisan itu juga telah mendapat tawaran kerjasama daripada pelbagai pertubuhan masyarakat dan rakan kongsi dengan antara program masyarakat yang telah dianjurkan setakat ini termasuk Festival Belia Dikir Barat dan pementasan teater oleh Variasi Arts dan Meja Conteng.

Melihat kawasan Kampong Gelam sebagai lanjutan kepada pengalaman muzium itu sendiri, TWM juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan seperti Perikatan Kampong Gelam dan rakan kongsi di kawasan tersebut.

Ia bagi memperkukuh Kampong Gelam sebagai sebuah daerah budaya yang tersendiri, di mana warisan boleh dihayati bukan sahaja di dalam muzium, malah di luar muzium juga.

“Secara lebih meluas, TWM mengamalkan pendekatan berlapis kepada interpretasi.

“Galeri tetap menyediakan asas yang penting, manakala program, festival, lawatan berpandu, ceramah, penyelidikan, kandungan digital dan kerjasama dengan pelbagai pihak membolehkan kami memperkenalkan kisah serta perspektif tambahan dari masa ke semasa,” kata Encik Mohamed Hafiz.

“Pada terasnya, TWM melihat warisan sebagai sesuatu yang hidup dan sentiasa berkembang.

“Oleh itu, peranan kami bukan sekadar memelihara kisah warisan, tetapi juga menyediakan ruang untuk ia dikaji, dikongsi, dibincangkan dan dihayati oleh generasi demi generasi.

“Kami akan terus mendengar pandangan pengunjung dan masyarakat, sambil bekerjasama dengan rakan kongsi untuk mempersembahkan warisan Melayu Singapura dengan cara yang teliti, bersifat terangkum dan bermakna,” tambahnya.

Hargai maklum balas masyarakat

“Kami mengalu-alukan maklum balas sedemikian kerana kami percaya perbincangan mengenai bagaimana sejarah dan warisan Melayu Singapura dipersembahkan mencerminkan minat yang mendalam serta keprihatinan masyarakat terhadap penceritaan kisah dan sejarah kita.”
Perkukuh kawasan budaya Kampong Gelam

“Secara lebih meluas, TWM mengamalkan pendekatan berlapis kepada interpretasi. Galeri tetap menyediakan asas yang penting, manakala program, festival, lawatan berpandu, ceramah, penyelidikan, kandungan digital dan kerjasama dengan pelbagai pihak membolehkan kami memperkenalkan lebih banyak kisah serta perspektif dari masa ke semasa.”
Encik Mohamed Hafiz Mohamed Shariff, Pengurus Besar Taman Warisan Melayu (TWM).