Topik diikuti
Pergi ke BHkuMakanan halal jadi penghubung keluarga The Halal Food Blog
Makanan halal jadi penghubung keluarga The Halal Food Blog
Makanan halal jadi penghubung keluarga The Halal Food Blog
Apa yang bermula sebagai hobi bersama isteri pada 2012 kini berkembang menjadi antara platform makanan halal yang dikenali di Singapura.
Namun bagi pengasas The Halal Food Blog (THFB), Encik Adam Shah Mohamed Zain, beliau tidak pernah melihat dirinya sebagai seorang pempengaruh atau pengkritik makanan.
Malah, beliau lebih gemar menggelarkan dirinya sebagai penyebar maklumat tentang makanan halal.
“Saya bukan pengulas yang mahu menentukan sama ada sesuatu makanan itu sedap atau tidak.
“Saya cuma berkongsi pengalaman dan maklumat supaya orang ramai boleh membuat keputusan sendiri,” kata Encik Adam, 43 tahun, ketika diwawancara Kaki Makan.
The Halal Food Blog merupakan antara platform makanan halal di Singapura yang membantu masyarakat menemui pilihan makanan halal melalui perkongsian pengalaman dan maklumat yang dipercayai melalui media sosial.
Menurut beliau, idea untuk memulakan THFB tercetus ketika beliau masih bekerja sepenuh masa dan sering keluar makan bersama isterinya.
“Dulu apabila kami keluar, kegiatan kami memang tengok wayang dan makan.
“Pada ketika itu, tidak banyak maklumat tentang makanan halal yang boleh dicari dalam talian.
“Jadi, saya mula ambil gambar makanan, tulis sedikit pengalaman di blog dan berharap ia dapat membantu orang lain,” katanya, yang bercita-cita menjadi seorang wartawan pada masa itu.
Ketika itu, Encik Adam hanya menggunakan kamera dua megapixel milik bapanya dan menulis di laman Blogspot secara percuma.
Beliau tidak pernah menyangka projek sampingan tersebut akan bertahan lebih sedekad.
“Pada 2012, TikTok belum wujud dan perkataan ‘influencer’ belum ada.
“Saya tidak pernah terfikir ia akan pergi sejauh ini.
“Saya anggap ia satu khidmat kepada masyarakat untuk berkongsi pilihan makanan halal di Singapura dan rantau ini,” ujarnya, yang mula dengan perkongsiannya di Facebook, dan kini aktif di pelbagai platform media sosial.
Pada tahun-tahun awal membangunkan THFB, Encik Adam turut melakukan beberapa pekerjaan untuk menampung kehidupan.
Selain bekerja sepenuh masa yang mempunyai jadual fleksibel, beliau memandu Grab yang membantunya menghasilkan kandungan makanan pada masa lapang.
“Ketika itu, masa memang sentiasa suntuk.
“Saya buat kandungan dan sambil bekerja Grab juga saya dapat pergi ke tempat makan dan menjadikannya sebahagian daripada rutin harian untuk mendapatkan kandungan,” katanya.
Kini, beliau mengendali platform THFB secara sepenuh masa, dan masih memandu Grab untuk menyokong pendapatannya.
Dua tahun selepas THFB mula dilancarkan, Encik Adam dan isterinya dikurniakan seorang anak perempuan, Maira Alyssa Adam Shah, yang kini berusia 12 tahun.
Sebagai anak tunggal, Maira membesar seiring dengan perkembangan jenama THFB dan menjadi saksi kepada perjalanan bapanya dalam dunia penciptaan kandungan.
“Semasa kecil, dia selalu melihat saya mengambil gambar makanan dan dia akan meniru saya di rumah.
“Sampai sekarang dia masih ikut saya membuat ulasan makanan.
“Kadangkala dia pula yang memperkenalkan trend makanan baru kepada saya,” kongsinya.
Antara trend yang diketengahkan ialah gorengan, chicken tenders ,dan pencuci mulut, pistachio kunafa.
Sepanjang 14 tahun, Encik Adam juga menyaksikan sendiri perubahan landskap makanan halal tempatan yang semakin pesat.
Jika dahulu pilihan makanan halal agak terhad, kini semakin banyak perniagaan muncul, berkembang malah menembusi pasaran luar negara.
“Industri makanan halal sekarang sangat rancak dan bergerak pantas.
“Ada yang berkembang, ada yang tutup – ia menunjukkan industri ini semakin matang dan menarik,” ujarnya.
Di sebalik kejayaan THFB, Encik Adam mengakui sokongan keluarga menjadi tunjang utama.
Isterinya bukan sahaja rakan seperjuangan sejak hari pertama, malah menjadi kompas moral yang sentiasa memberi pandangan dan nasihat.
“Isteri saya ialah tulang belakang THFB.
“Kami sama-sama minat makan dan suka mencuba tempat baru.
“Kalau isteri saya tidak berkongsi minat yang sama, mungkin sukar untuk saya melakukan ini selama 14 tahun,” katanya.
Sebagai seorang bapa, Encik Adam berkata minat terhadap makanan secara tidak langsung menjadi kegiatan yang mengeratkan hubungan keluarganya.
“Saya mahu beri perhatian sepenuhnya kepada anak saya.
“Syukur, makanan menjadi sesuatu yang menghubungkan kami sekeluarga.
“Setiap kali keluar mencuba tempat baru, ia bukan sekadar kerja malah masa bermutu bersama keluarga,” kongsinya.
Malah, beliau bersyukur kerana isteri dan anaknya berkongsi minat yang sama terhadap makanan, menjadikan penghasilan kandungan lebih mudah diimbangi dengan tanggungjawab keluarga.
“Kadangkala isteri saya yang mahu cuba tempat baru.
“Anak saya pula suka berkongsi trend makanan yang sedang popular.
“Jadi apa yang bermula sebagai hobi akhirnya menjadi cara kami meluangkan masa bersama sebagai sebuah keluarga,” katanya.
Dengan ulang tahun ke-14 THFB, Encik Adam berkata beliau tidak terlalu memikirkan sasaran besar untuk masa depan.
Sebaliknya, beliau mahu terus kembali kepada tujuan asal platform itu.
“Saya akan terus berkongsi kandungan makanan di media sosial, selagi saya masih boleh memberi manfaat kepada masyarakat.
“Tanda suka dan jumlah pengikut memang bagus, tetapi yang paling bermakna ialah apabila orang memberitahu kandungan saya membantu mereka mencari makanan halal.
“Itu ganjaran terbesar buat saya,” katanya.
