Topik diikuti
Pergi ke BHkuPapa Ayam perkenal Ayam Gepuk selepas dibanjiri permintaan pelanggan
Papa Ayam perkenal Ayam Gepuk selepas dibanjiri permintaan pelanggan
Papa Ayam perkenal Ayam Gepuk selepas dibanjiri permintaan pelanggan
Permintaan pelanggan yang semakin meningkat mendorong restoran tempatan, Papa Ayam, memperkenalkan Ayam Gepuk sebagai menu terbaharu mereka selepas beberapa bulan menjalankan proses kajian dan pembangunan (R&D).
Ayam Gepuk merupakan hidangan dari Indonesia yang menyajikan ayam goreng menggunakan bahagian paha ayam bertulang bersama sambal gajus serta kubis goreng yang menjadi antara elemen unik hidangan tersebut.
Pemilik bersama Papa Ayam, Cik Nabila Cholida, 27 tahun, berkata idea untuk membawa masuk hidangan itu tercetus selepas menerima banyak mesej menerusi media sosial serta pertanyaan daripada pelanggan yang datang ke kedai mereka.
“Kami sering menerima mesej bertanya sama ada Papa Ayam mempunyai Ayam Gepuk atau bila kami akan mula menjualnya. Permintaan itu semakin ketara sekitar November tahun lalu dan kami mula melihat potensi untuk memperkenalkannya di Singapura.
“Memandangkan kami terkenal dengan hidangan Ayam Geprek serta sambal kami, menu ini masih sejajar dengan identiti dan kepakaran Papa Ayam,” kata Cik Nabila.
Menurut beliau, walaupun Ayam Gepuk berasal dari Indonesia, hidangan itu turut mendapat sambutan yang besar di Malaysia dan permintaannya sentiasa wujud dalam kalangan pelanggan di Singapura.
“Ramai pelanggan sudah mengenali Ayam Gepuk melalui pengalaman mereka di Malaysia atau Indonesia. Apabila semakin ramai yang bertanya mengenainya, kami merasakan sudah tiba masanya untuk memenuhi permintaan tersebut,” tambah Cik Nabila.
Bagi memastikan hidangan yang dihasilkan mengekalkan keaslian rasanya, Cik Nabila dan suaminya, yang merupakan pemilik bersama Papa Ayam, Encik Tarun Chandiramani, 35 tahun, berkunjung ke Jakarta untuk mencuba Ayam Gepuk Pak Gembus yang dianggap sebagai antara pertama yang mengenalkan hidangan tersebut.
“Kami perlu mengetahui dan memahami versi asal terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penyesuaian. Penting untuk kami mendapatkan asas yang betul.
“Selepas itu kami turut mencuba pelbagai versi Ayam Gepuk di Jakarta dan Johor Bahru. Setiap kedai mempunyai keunikan tersendiri dan kami belajar daripada pengalaman tersebut sebelum mengadaptasikannya untuk pasaran tempatan,” ujar Cik Nabila
Menurut beliau, proses pembangunan menu tersebut mengambil masa sekitar tiga bulan sebelum pelancaran rasmi, diikuti sebulan lagi untuk memperhalusi resipi berdasarkan maklum balas pelanggan.
“Kami banyak belajar sepanjang proses ini. Selepas pelancaran, kami mendengar setiap maklum balas pelanggan dan melakukan perubahan secara berterusan.
“Bulan pertama agak mencabar kerana kami antara jenama terawal yang memperkenalkan Ayam Gepuk di Singapura. Jangkaan pelanggan juga tinggi, namun kami bersyukur kerana kebanyakan maklum balas yang diterima sangat positif dan membina,” katanya.
Mengulas mengenai keistimewaan hidangan tersebut, Cik Nabila berkata setiap elemen dalam Ayam Gepuk memainkan peranan penting, khususnya sambal gajus dan kubis goreng yang menjadi kegemaran pelanggan.
“Kubis goreng kami sentiasa mendapat permintaan tambahan daripada pelanggan. Ia melengkapkan keseluruhan hidangan dan memberikan tekstur yang berbeza.
“Bagi saya, sambal gajus adalah komponen yang paling penting kerana ia memberikan keseimbangan rasa. Gajus mempunyai rasa yang lebih ‘gurih’ atau masin serta tekstur yang berkrim,” katanya.
Menurut beliau, gajus yang dilenyek bersama sambal membantu mengurangkan kepedasan cili padi sekali gus menjadikan hidangan itu lebih mudah dinikmati oleh pelbagai golongan pelanggan.
“Untuk pelanggan yang tidak makan pedas, kami juga menghidangkan ayam bersama sos gajus sahaja. Sebab itu kami memberi perhatian kepada rasa sos tersebut supaya ia kekal sedap dan berperisa walaupun tanpa sambal pedas,” katanya.
Cik Nabila menjelaskan bahawa Ayam Gepuk berbeza daripada Ayam Geprek yang lebih dikenali ramai walaupun kedua-duanya berasal dari Indonesia.
“Ayam Geprek menggunakan ayam tanpa tulang dan sambalnya dilenyek di atas batu lesung mengikut tahap kepedasan pilihan pelanggan.
“Ayam Gepuk pula menggunakan ayam bertulang dan lebih menonjolkan sambal gajus yang berkrim. Walaupun kedua-duanya menggunakan ayam yang diketuk atau dilenyek, perbezaan utama terletak pada jenis sambal yang digunakan,” jelasnya.
Papa Ayam mempunyai cawangan lain seperti di 313 Somerset, PLQ Mall, City Square, West Mall dan Tampines Hub.
Papa Ayam
Alamat: 1 North Point Drive, B1-155 Northpoint City, Singapura 768019Isnin hingga Ahad, 10.30 pagi hingga 9.30 malam
