Topik diikuti
Pergi ke BHkuPermintaan hidangan sedia dimakan meningkat, 7-Eleven perkukuh strategi ‘foodvenience’
Permintaan hidangan sedia dimakan meningkat, 7-Eleven perkukuh strategi ‘foodvenience’
Permintaan hidangan sedia dimakan meningkat, 7-Eleven perkukuh strategi ‘foodvenience’
Kesibukan gaya hidup dan selera pengguna yang semakin terbuka kepada pelbagai cita rasa mendorong permintaan terhadap Hidangan Sedia Dimakan (RTE) di 7-Eleven Singapura, dengan kategori itu mencatat pertumbuhan positif dari tahun ke tahun.
Perkembangan itu turut mendorong rangkaian kedai serbaneka tersebut memperluaskan strategi ‘foodvenience’, yang menggabungkan kemudahan dengan pilihan makanan, termasuk menerusi kerjasama dengan jenama makanan dan minuman (F&B) tempatan.
Pengarah Urusan 7-Eleven Singapore, Cik Anushree Khosla, berkata gaya hidup yang semakin sibuk dan sifat pengguna yang gemar mencuba merupakan antara faktor utama yang memacu permintaan.
“Pelanggan mahukan hidangan yang mudah tanpa berkompromi dari segi rasa atau kepelbagaian,” katanya.
Menurut analisis Mordor Intelligence, pasaran makanan sedia dimakan di Singapura dianggarkan bernilai AS$280 juta ($358 juta) pada 2026, meningkat daripada AS$250 juta pada 2025.
Nilai pasaran itu dijangka mencecah AS$340 juta menjelang 2031, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 3.12 peratus.
Antara faktor yang menyokong pertumbuhan tersebut ialah isi rumah bandar yang kesuntukan masa dan sanggup membayar bagi kemudahan, selain peningkatan keluarga dengan pasangan yang kedua-duanya bekerja serta perkembangan e-dagang.
Mengambil kira perubahan tersebut, Cik Khosla berkata 7-Eleven terus menyesuaikan pilihan RTE berdasarkan cara pengguna di Singapura menjalani kehidupan dan menikmati makanan.
“Sebagai respons, 7-Eleven terus melakukan inovasi dalam rangkaian RTE kami, termasuk mencuba idea dan konsep baru.
“Kami juga sedang menyediakan ruang makan di cawangan tertentu, jika keadaan mengizinkan, supaya pelanggan boleh menikmati hidangan ringkas sebelum meneruskan kegiatan mereka,” katanya kepada Berita Harian.
Menurut Cik Khosla, peningkatan melancong ke luar negara turut mendedahkan pengguna Singapura kepada pilihan makanan kedai serbaneka di negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.
Antara hidangan RTE popular di 7-Eleven ialah Mac & Cheese, Butter Chicken Biryani, sandwic Egg & Cheese dan Club Sandwich, serta onigiri Tuna Mayo.
Permintaan datang daripada pelbagai golongan, termasuk pekerja pejabat, pelajar, pekerja syif dan mereka yang mencari hidangan pantas ketika dalam perjalanan.
Setiap tahun, 7-Eleven memperkenalkan lebih 1,000 produk baru dan eksklusif, daripada hidangan RTE hingga minuman dan makanan ringan.
Sebahagian daripada strategi ‘foodvenience’ itu turut melibatkan kerjasama dengan jenama F&B tempatan bagi membawa cita rasa yang sudah dikenali pengguna ke dalam format lebih mudah dinikmati.
Antara jenama yang pernah bekerjasama dengan 7-Eleven ialah Andes by Astons dan Old Chang Kee.
Dalam menghasilkan produk sedemikian, pasukan pembangunan produk 7-Eleven akan mencuba hidangan asal sebelum bekerjasama dengan jenama dan cef untuk menyesuaikan resipi.
Sebagai contoh, hidangan ayam minyak bijan Lau Wang diolah menjadi wrap yang mendapat pensijilan halal. Menurut Cik Khosla, pelanggan tetap Lau Wang mengatakan rasanya sekitar 80 peratus serupa dengan hidangan asal.
Dengan lebih 450 cawangan di Singapura, kerjasama itu juga membolehkan jenama tempatan menjangkau pelanggan baru, termasuk pelancong.
“Terdapat jenama yang memaklumkan bahawa pelanggan, termasuk pelancong, pertama kali mengenali makanan mereka menerusi rangkaian RTE 7-Eleven sebelum mengunjungi restoran atau kedai mereka,” katanya.
7-Eleven juga mahu meneroka lebih banyak kerjasama yang mencerminkan kepelbagaian budaya makanan Singapura.
Ia sebelum ini bekerjasama dengan Makan Chapter bagi kempen Ramadan Iftar dan Rumah Makan Minang menerusi siri Travelling Spoon bersama SATS.
“Kami biasanya membawa masuk rakan kerjasama baru setiap enam hingga 12 bulan, supaya pelanggan mempunyai sesuatu yang boleh dinanti-nantikan dan keterujaan bagi setiap pelancaran dapat dikekalkan,” kata Cik Khosla.
Beliau berkata hidangan RTE akan terus menjadi bahagian penting dalam strategi “foodvenience” 7-Eleven sejajar dengan perubahan keperluan dan tabiat pemakanan pengguna.
