Berlatarbelakang gunung-ganang yang megah berdiri, dikelilingi kehijauan subur dan ditemani cuaca dingin, Cik Mastora Maskor menghayati upacara penyembelihan kambing pilihannya yang dilaksanakan di depan mata.
Sebaik selesai, beliau bersama penduduk kampung di Batu, Malang di Indonesia bergotong-royong melapah daging sebelum membungkusnya untuk diagihkan kepada fakir miskin di sana.
Dengan pengalaman penuh syahdu yang disebutnya sebagai “yang paling tidak boleh dilupakan”, Cik Mastora berhajat ke luar negara lagi pada Hari Raya Haji bagi melaksanakan korban di luar negara, jika ada rezeki.
“Kami dibawa ke kawasan pergunungan, nampak ladang kambing, dapat pilih kambing pada ketika itu juga, suasananya begitu indah dengan keadaan sejuk.
“Penduduk di sana bekerjasama. Mereka bukan sekadar ambil dagingnya malah bahagian lain – yang mungkin dibuang kalau di Singapura – untuk dimanfaatkan. Itu yang menyentuh hati saya,” ujar pakar pentadbiran kanan itu yang ke Malang, Indonesia tahun lalu untuk melaksanakan ibadah korban bersama Imtiyaaz Services.
Cik Mastora, , 56 tahun, merupakan antara sebilangan warga Singapura yang kembara ke luar negara sempena Hari Raya Haji dan sekali gus menjalankan korban di sana – kegiatan yang digelar ‘kembara korban’ atau ‘korban wisata’.
Agensi dan penyedia khidmat serupa itu yang dihubungi Berita Minggu (BM) berkongsi bahawa permintaan bagi korban wisata kekal tinggi sepanjang beberapa tahun ini, malah ada yang menyaksikan permintaan meningkat dengan ketara dengan Hari Raya Haji tahun ini berlangsung semasa cuti sekolah.
Syarikat Imtiyaaz Services, yang memperkenalkan khidmat korban sambil kembara ke Kemboja pada 2014, menyediakannya setiap tahun, didorong oleh permintaan meningkat.
Selain Kemboja, mereka juga membawa jemaah ke Malang, Indonesia.
“Apabila membawa jemaah ke wisata korban, ada tiga elemen yang kami terapkan: Pertama ialah percutian sendiri; kedua ialah kegiatan kemasyarakatan; dan ketiga ilmu mengamalkan agama di luar negara.
“Contohnya semasa memberi daging kepada orang yang memerlukan, kita lihat bagaimana ia lahirkan sifat kesyukuran tentang kehidupan di Singapura,” ujar Ustaz Ahmad Muzzammil Shukri, pengarah urusan syarikat itu.
Dalam pada itu, jemaah juga boleh menyelam sambil minum air.
Bagi perjalanan ke Kemboja tahun ini misalnya, jemaah dapat melakukan kegiatan kemasyarakatan bersama kanak-kanak kampung, dan kemudian bersiar meneroka tarikan Kemboja seperti Sungai Mekong, Istana Diraja dan Central Market.
Pengasas pusat pendidikan Al-Amanah, Ustaz M Zuhal A Lathif, berkata suasana melihat upacara penyembelihan secara besar-besaran antara faktor yang mendorong jemaah Singapura ke luar negara.
Beliau sudah menyediakan khidmat korban wisata sejak 2009, membawa kira-kira 80 warga Singapura setiap tahun ke destinasi berbeza.
Selain daerah berlainan di Indonesia seperti Surabaya, Madura dan Semarang, Ustaz Zuhal pernah menawarkan kembara korban ke Krabi di Thailand dan Bosnia. Tahun ini beliau bakal membawa jemaah ke Yunnan, China selama lapan hari.
“Ada yang ingin cuba sembelih dengan tangan sendiri, dan biasanya hal itu dapat dilaksanakan di luar negara.
“Pada dasarnya, ia juga tentang bagaimana haiwan korban dimanfaatkan dan tidak dibazirkan.
“Contohnya di Indonesia, tidak ada satu bahagian pun dibuang kecuali najis dan bulu. Kulit dijadikan keropok, kepala dipanggang, ekor dan kaki dibuat sop, usus dan dalaman lain boleh digoreng,” kata Ustaz Zuhal.
Bagi agensi pelancongan, Muhammad Fadhli Travels & Tours Singapore, tahun ini pertama kali mereka akan menawarkan khidmat tersebut ke Medan, Aceh selama empat hari setelah melihat terdapat permintaan dalam kalangan masyarakat untuk melakukan korban wisata.
Jemaah bukan sekadar mahu membayar bagi khidmat korban di luar negara, malah mahu menyaksikan dan melibatkan diri secara fizikal juga, kata pengarah urusan syarikat itu, Ustaz Muhammad Fadhli Salib.
Walau ini memakan belanja, beliau berkata sambutan untuk korban di luar negara di luar jangkaan setelah Covid-19.
“Ini juga mungkin kerana pendapatan jemaah semakin stabil, ramai semakin mampu melakukannya,” ujar beliau.
Cik Mastora berkata beliau sudah empat kali kembara ke luar negara sambil melaksanakan ibadah korban.
Dengan pengalamannya membantu pelaksanaan ibadah korban di masjid Singapura 10 tahun lalu sebagai relawan, Cik Mastora berkata beliau tertarik dengan keadaan yang dilihatnya di luar negara.
“Memang tidak dinafikan terdapat golongn yang memerlukan di Singapura, tetapi jika dibandingkan dengan negara lain, terdapat golongan yang lebih memerlukan.
“Ada yang mengharapkan waktu korban sahaja untuk dapat daging,” ujarnya sambil menambah semua bahagian haiwan korban dimanfaatkan, termasuk kaki, tulang, bahkan isi perut.
Cik Mastora juga rindukan kemeriahan ibadah korban yang pernah dirasakan di Singapura ketika penyembelihan dapat dilakukan dan disaksikan.
Ibu tiga anak itu, yang telah beberapa kali ke Indonesia dan Kemboja, membawa anaknya-anaknya bersama, sambil berkata ia satu peluang pendidikan dan pengalaman yang membuka mata.
“Apa yang saya ingin raih apabila saya lakukan korban, adalah untuk mendapat keredaan dan nampak proses itu sendiri. Apabila kita beri dengan tangan sendiri kepada mereka yang untuk dapatkan bahagian mereka, saya rasa kepuasan yang lebih indah,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg