Persatuan Muhammadiyah kembali menawarkan pakej ibadah korban pada 2025 dengan harga berpatutan, sama ada di dalam ataupun di luar negara.
Apa yang menarik, penyembelihan korban secara fizikal turut akan dilaksanakan di Singapura.
Menurut Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Sumber Muhammadiyah, Encik Zhofry Hamid, pelaksanaan ibadah korban di dalam negara bertujuan memberi peluang kepada masyarakat, khususnya golongan belia, menyaksikan dan memahami tatacara pelaksanaan ibadah itu secara langsung.
“Persatuan Muhammadiyah merupakan antara segelintir pihak yang menawarkan ibadah korban secara fizikal di Singapura.
“Pelaksanaan ini penting bagi menegakkan syiar Islam serta memberikan pendedahan langsung kepada golongan muda mengenai ibadah korban yang dilaksanakan dengan penuh tertib dan ihsan ini,” jelas Encik Zhofry.
Daging korban yang diperoleh akan diagihkan kepada sekurang-kurangnya 100 keluarga benefisiari Persatuan Muhammadiyah yang tergolong dalam golongan memerlukan.
Di samping itu, Persatuan Muhammadiyah turut memperkenalkan pengalaman unik melalui program ‘Kembara Qurban ke Medan’. Kembara ke Sumatera Utara ini akan berlangsung selama enam hari lima malam.
Program itu bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menyertai pelaksanaan korban di sebuah perkampungan di Medan, malah turut merangkumi lawatan ke destinasi menarik seperti Danau Toba, Berastagi dan Parapat.
“Melalui kerjasama dengan Universiti Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), peserta akan dapat menyaksikan sendiri proses penyembelihan korban dan berpeluang melaksanakannya sendiri.
“Segala urusan logistik pula diuruskan oleh Iman Travel & Services Pte Ltd, rakan perjalanan rasmi bagi wisata kami,” tambah Encik Zhofry.
Sesiapa yang berminat menunaikan ibadah korban bersama Persatuan Muhammadiyah, sama ada di dalam ataupun di luar negara, boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman sesawang rasmi, www.muhammadiyah.org.sg/qurban
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg