Usaha menggalakkan kaum lelaki mendapatkan bantuan awal bagi menangani kemurungan perlu bermula dengan perubahan tanggapan terhadap kesihatan mental.
Menyatakan demikian kepada Berita Minggu, Presiden Kelab Heal, Dr Khairul Hazwan Suhairi, berkata orang ramai perlu beralih daripada kepercayaan lapuk yang menyamakan kerentanan emosi dengan kelemahan.
Sebaliknya, orang ramai perlu yakin bahawa mendapatkan sokongan adalah tanda kekuatan dan kesedaran diri.
“Kempen pendidikan awam, terutama yang memaparkan pemimpin masyarakat dan individu sebagai suri teladan bagi kaum lelaki, boleh membantu mencabar stigma dan menggalakkan perbualan terbuka,” kata Dr Khairul.
“Juga penting untuk menjadikan perkhidmatan kesihatan mental lebih mudah terlihat dan diakses, sama ada menerusi pusat masyarakat, wadah digital atau tempat kerja.
“Apabila sokongan mudah diakses dan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, ia lebih mudah untuk kaum lelaki mendapatkan bantuan tanpa rasa takut akan dihakimi,” tambahnya.
Selain itu, melengkapi lelaki dengan alat praktikal untuk menangani tekanan dan emosi, seperti menerusi bengkel, kumpulan sokongan atau bimbingan berasaskan agama, boleh membantu mereka mengambil langkah awal dalam menangani kesihatan mental mereka, kata Dr Khairul.
Kelab Heal misalnya menawarkan pelbagai program untuk menyokong individu dengan cabaran kesihatan mental dan penjaga mereka.
Salah satu daripadanya ialah Program Kesejahteraan Pemulihan (RWP) yang menawarkan kegiatan berstruktur tetapi fleksibel bagi menggalakkan rutin, tujuan dan perkasa diri.
Ini dilakukan menerusi sesi kumpulan seperti kegiatan berasaskan seni dan kecelikan asas dalam komputer yang membolehkan klien berhubung semula dengan diri mereka dan orang lain dalam sekitaran yang selamat dan tanpa penghakiman.
“Bagi lelaki khususnya, sesi ini memberi saluran luahan dan peluang meneroka semula kekuatan dan minat mereka,” kata Dr Khairul.
Menurut Pakar Psikologi Klinikal Kanan di ImPossible Psychological Services, Encik Haikal Jamil, tidak ada program atau pendekatan terapeutik khusus untuk lelaki.
Justeru apa yang bermanfaat bagi lelaki yang mahu mendapatkan bantuan adalah untuk mencari karyawan kesihatan mental yang membuat mereka berasa selesa bercakap secara terbuka.
Antara lain, lelaki boleh membaca terlebih dahulu tentang pakar terapi yang mereka rasa mungkin sesuai dengan mereka dan mengadakan sesi awal untuk menentukan sama ada mereka boleh membangunkan hubungan terapeutik dengan karyawan kesihatan mental itu.
Mereka juga boleh menghubungi perkhidmatan atau amalan yang mereka teroka itu untuk memahami sama ada jenis sokongan yang ditawarkan sejajar dengan bantuan yang mereka cari, kata Encik Haikal.
“Kesihatan mental juga sebahagian kesihatan secara keseluruhan.
“Seperti mana kita berjumpa doktor jika kita mengalami masalah fizikal, mendapatkan bantuan karyawan kesihatan mental juga boleh membantu anda mendapatkan bantuan yang anda perlukan untuk mengatasi cabaran yang dihadapi.
“Jika anda mendapatkan bantuan daripada karyawan yang tepat, anda boleh pasti yang anda akan menerima bantuan tanpa dihakimi,” katanya.
Dalam mendapatkan sokongan, Pengasas Ayd Coaching & Counselling, Encik Muhammad Effendy Ibrahim, berkata lelaki mungkin lebih selesa untuk bersikap jujur dan terbuka kepada kaunselor lelaki.
Bagaimanapun, bilangan kaunselor lelaki Islam lebih rendah berbanding wanita dan beliau, yang juga relawan aktif gerakan Bapa Sepanjang Hayat dan Pusat Kebapaan, telah menerima maklum balas bahawa lelaki tidak tahu di mana atau bagaimana untuk mendapatkan bantuan.
“Di Ayd, sekitar 40 peratus klien kami lelaki Islam. Daripada bilangan ini, dua dalam tiga mengalami masalah berkaitan kemurungan.
“Hampir kesemua daripada mereka mempunyai isu hubungan,” kata Encik Muhammad Effendy.
Dalam menawarkan khidmat kaunseling kepada klien lelaki, Encik Muhammad Effendy membantu mereka mengenal pasti dan menangani emosi mereka serta mengurus tekanan, kebimbangan dan kemurungan yang mereka alami.
Beliau juga membantu mereka merangka semula idea mereka tentang definisi kelelakian, tanggungjawab dan kebertanggungjawapan.
“Saya mencabar cara pemikiran mereka yang tidak sihat dan tidak produktif, serta membangunkan semula dan menyegarkan semula hubungan penting mereka dalam kehidupan.
“Saya turut memberi tumpuan semula kepada kebebasan dan kesejahteraan peribadi mereka dan akhirnya, membantu mereka mencari kebahagiaan mereka,” kata Encik Muhammad Effendy.
Selain mendapatkan bantuan daripada karyawan kesihatan mental, sokongan rakan juga memainkan peranan penting dalam menggalak lelaki yang sedang mengalami kesukaran memenuhi keperluan emosi mereka dalam cara sihat atau bertindak balas kepada kesukaran mereka dalam cara yang tidak sihat, kata Encik Haikal.
“Mempunyai kumpulan sosial yang boleh memberi keperluan emosi dengan menyokong atau sekadar mendengar boleh membantu lelaki yang rasa seperti tidak ada tempat untuk dituju.
“Sebaliknya, rakan-rakan yang tidak menyokong mungkin mengejek mereka kerana bersikap rentan dan ini boleh membawa kepada emosi negatif seperti rasa bersalah dan malu.
Disebabkan itu, lelaki mungkin menahan emosi mereka atau menoleh ke cara lebih impulsif untuk memujuk diri dan menangani emosi negatif mereka,” katanya.
Talian bantuan
KESEJAHTERAAN MENTAL
• Talian bantuan nasional: 1771 (24 jam) / 6669-1771 (melalui WhatsApp)
• Samaritans of Singapore: 1767 (24 jam) / 9151-1767 (CareText 24 jam melalui WhatsApp)
• Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800-283-7019
• Reben Perak Singapura: 6386-1928
• Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Belia, Chat: 6493-6500/1
• Talian bantuan wanita (Aware): 1800-777-5555 (setiap hari biasa, 10 pagi hingga 6 petang)
• Talian bantuan warga emas: 1800-555-5555 (setiap hari biasa, 9 pagi hingga 5 petang)
KAUNSELING
• TOUCHline (Kaunseling): 1800-377-2252
• Talian TOUCH Care (untuk penjaga): 6804-6555
• Pusat Penjagaan dan Kaunseling: 6536-6366
• Khidmat Masyarakat We Care: 3165-8017
• Pusat Kaunseling Shan You: 6741-9293
• Clarity Singapore: 6757-7990
SUMBER DALAM TALIAN
• mindline.sg/fsmh
• eC2.sg
• tinklefriend.sg
• chat.mentalhealth.sg
• carey.carecorner.org.sg (untuk umur 13 hingga 25)
• limitless.sg/talk (untuk umur 12 hingga 25)
“
“Kesihatan mental juga sebahagian kesihatan secara keseluruhan... Jika anda mendapatkan bantuan daripada karyawan yang tepat, anda boleh pasti yang anda akan menerima bantuan tanpa dihakimi.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg