Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki tertekan: Derita dalam diam

 Stigma, rasa janggal halang kaum Adam dapat bantuan kesihatan mental
Jul 20, 2025 | 5:30 AM
Jailani (bukan nama sebenar) meniti hari-hari dengan menyendiri dan cuba mengelakkan situasi yang boleh mencetuskan kemurungan.
Jailani (bukan nama sebenar) meniti hari-hari dengan menyendiri dan cuba mengelakkan situasi yang boleh mencetuskan kemurungan. - Foto BM oleh RUBIAH MOHD

Sebanyak dua kali Jailani (bukan nama sebenar) pernah cuba mengakhiri riwayat hidupnya – pada 2010 dan 2013 – tetapi mujur beliau gagal.

Namun, pada Disember 2021, Jailani dikejutkan pula dengan berita satu-satunya abang kandungnya sendiri mati akibat terjun dari tingkat 16 flat sewa di Beach Road, disaksikan oleh isteri dan empat anak yang ketika itu masih kecil. 

Abangnya berusia 44 tahun waktu itu.

“Saya sendiri melihat wajah abang saya sebelum jenazahnya dikebumikan, ia suatu yang sangat sukar untuk saya menceritakan, dan untuk menjaga perasaan orang tua, terpaksa saya sembunyikan punca kematiannya daripada ibu bapa kami,” kata Jailani, kini 43 tahun, yang jelas terkesan dengan kejadian itu.

Dalam melalui perasaan yang bergolak, Jailani berkata ibu-bapanya bukanlah orang yang beliau dan abangnya boleh dekati sekiranya ada masalah peribadi. 

“Ibu bapa saya membesarkan kami dengan cara yang kasar. Saya ingat, mereka selalu berkata ‘Lelaki mesti kuat, tak boleh menangis,” tambah Jailani yang mengaku tidak begitu rapat dengan arwah abangnya walaupun mereka hanya dua beradik.

“Jika saya dah abang saya lebih kerap bercakap, lebih ambil tahu perihal dan masalah masing-masing, tentu kejadian itu boleh dielakkan,” kata Jailani sayu.

Sekitar setahun sebelum musibah menimpa arwah abangnya itu, Jailani sendiri mengalami serangan panik dan mendapati dirinya dalam keadaan pitam dan tidak dapat bernafas. 

“Saya tidak tahu kenapa sewaktu serangan itu, saya terbawa kembali ke memori silam yang menghantui diri saya. Tiba-tiba jantung saya berdegup kencang, dan saya tidak dapat bernafas,” terang Jailani tentang kejadian itu sewaktu beliau berada di sebuah kedai kopi seorang diri. 

Menurut Jailani, perasaan tertekannya itu berpunca daripada sejarah hitam hubungan toksik dengan bekas kekasihnya pada satu masa dulu, yang juga punca beliau pernah ingin mengambil nyawanya sendiri. 

“Saya cuba untuk meminta nasihat atau bantuan dari kawan-kawan, tetapi lelaki biasanya tidak dapat memberikan nasihat, bahkan mereka menyuruh saya melupakannya saja. Sudahlah, move on, kata mereka kepada saya,” katanya.

“Mereka ingat bila mereka menyindir atau ‘distract’ kita, itu membantu. Padahal kita (orang sepertinya) cuma nak orang dengar luahan isi hati,” tegas Jailani. 

Jailani akhirnya mengambil keputusan mendapatkan pertolongan doktor dan menjalani beberapa sesi rawatan di hospital.

“Sesi-sesi itu selalunya mengajar saya untuk bertenang dan mengelakkan diri dari situasi yang boleh membuat saya tertekan,” jelasnya. 

Selepas menjalani sesi rawatan, Jailani mula memahami tentang kepentingan kesihatan mental dan mendapatkan bantuan profesional. 

Beliau juga mendekatkan diri dengan agama untuk mencari ketenangan. 

“Sebagai seorang Muslim, saya cuba faham kenapa benda ini jadi. Saya belajar baca Al-Quran sendiri melalui video Youtube dan tahun ini baru dapat khatam sebelum hari raya tahun ini,” katanya dengan nada bangga tetapi penuh kerendahan hati.

Hingga kini, Jailani mengaku masih mengalami hari-hari sukar. 

“Kadang-kadang saya banyak tidur, banyak fikir, mood swing. Bila tengok orang happy kat media sosial, rasa lagi down,” katanya. 

Jailani adalah antara pesakit kesihatan mental lelaki di Singapura yang tampil mendapatkan bantuan.

Pakar Psikologi Klinikal dan Pengasas ImPossible Psychological Services, Encik Haikal Jamil, berkata walaupun makin ramai orang sedar tentang isu kesihatan mental, ia tidak bermakna, lebih ramai tampil mendapatkan bantuan.

“Harus saya tegaskan bahawa walaupun kesedaran tentang kesihatan mental kini semakin tinggi, masih wujud jurang antara kesedaran kesihatan mental dan sikap untuk mendapatkan bantuan.

“Lelaki yang sedar bahawa mereka sedang bergelut dari segi mental mungkin masih enggan mendapatkan bantuan disebabkan stigma bahawa mereka perlu kelihatan kuat dan rasa janggal untuk meluahkan perasaan mereka,” terang Encik Haikal.

Presiden Kelab Heal, Dr Khairul Hazwan Suhairi, pula berkata usaha menggalakkan lelaki mendapatkan bantuan awal bagi masalah kemurungan mesti bermula dengan perubahan sikap terhadap kesihatan mental.

“Menggalakkan kaum lelaki untuk mendapatkan bantuan awal bagi masalah kemurungan bermula dengan mengubah naratif tentang kesihatan mental,” ujarnya.

“Kita mesti meninggalkan kepercayaan lapuk yang menyamakan kerentanan emosi sebagai kelemahan. Sebaliknya, kita harus mengedepankan idea bahawa mendapatkan sokongan ialah tanda kekuatan dan kesedaran diri yang penting,” katanya.

Beliau juga menyokong kempen pendidikan awam, terutamanya yang menampilkan tokoh lelaki dan pemimpin komuniti, yang boleh membantu mencabar stigma serta menggalakkan perbualan terbuka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg