Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Berat’ bagi kaum Adam dapatkan bantuan kesihatan mental

Stigma maskuliniti antara sebab lelaki enggan dapatkan pertolongan
Jul 20, 2025 | 5:30 AM
kesihatan mental, lelaki, stigma
Bermula daripada keretakan rumah tangga ibu bapanya sejak beliau remaja, Encik Razman (bukan nama sebenar), anak bongsu dalam tiga beradik lelaki, sering kemurungan dan diperolokkan kerana bersikap lembut dan bertubuh besar.  - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Di sebalik senyuman yang tenang dan sikap sopan Encik Razman (bukan nama sebenar), terselindung penderitaan yang tidak pernah disuarakan – kisah luka batin yang terbenam sejak kecil oleh ejekan, penolakan dan perjuangan mendalam terhadap harga diri.

Sejak kecil, Encik Razman, kini 33 tahun, rasa dirinya berbeza.

Beliau sering dilabel ‘lembik’ dan ‘tak cukup jantan’ hanya kerana tidak mengikut gambaran ‘norma’ seorang lelaki.

“Saya ingat semua orang sama saja, tapi bila saya tak suka bola sepak, orang mula panggil saya ‘bapok’, ‘pondan’, ‘lembik’,” katanya.

Kata-kata itu menusuk, terutama bila datang daripada abang-abangnya sendiri.

Bahkan, cara beliau berdiri ketika mengambil gambar pun menjadi bahan ejekan.

Pengalaman ini menanamkan rasa tidak yakin yang berakar hingga dewasa.

Pada usia 20 tahun, beliau hampir menamatkan hidupnya dengan niat ingin terjun dari blok rumahnya.

“Saya memang dah berdiri kat situ, tapi saya takut tinggi... masa tu saya ingat Tuhan,” katanya, matanya bergenang.

Penderitaan ini terus membayangi hari-harinya.

“Saya cuba sangat untuk jadi macam orang lain. Saya cuba berkawan dengan budak popular, bercakap kasar... tapi dalam hati, saya tahu itu bukan saya,” luahnya.

Encik Razman juga mengaku, keretakan rumah tangga ibu bapanya bermula ketika beliau berusia belasan tahun juga telah menambah kesengsaraan yang terpaksa dipikul pada usia yang muda.

Di tempat kerja, penderitaan Encik Razman semakin parah.

Mengulas satu insiden di tempat kerja, Encik Razman menceritakan tentang gangguan fizikal dan emosi ketika seorang rakan sekerja wanita mengintipnya ketika menyalin pakaian dan kemudian mengejeknya dari belakang.

“Saya diam sebab saya rasa kalau saya pertahankan diri, orang akan putar cerita.

“Kalau wanita itu berkata dia mangsa, saya pula dipersalahkan cuba mengambil kesempatan terhadapnya,” katanya yang berasa dirinya terperangkap ketika itu.

“Saya susah tidur malam, siang asyik mengantuk. Apa saja saya buat rasa tak betul.

“Saya fikir, ‘kenapa saya tak boleh jadi normal macam orang lain?’” kata Encik Razman yang memilih untuk bertahan dan hadapi kehidupannya, walau mencabar.

Walaupun sudah lama rasa kemurungan sehingga berfikir sejauh mengambil nyawanya sendiri, Encik Razman belum mahu mendapatkan pertolongan atau rawatan.

“Saya belum bersedia untuk mendapatkan rawatan atau meminta pertolongan dari mana-mana pihak.

“Saya lebih rela menanggung semua ini sendirian,” jelas Encik Razman yang tidak rela menanggung stigma berkaitan dengan kesihatan mental.

Namun, kisahnya membuka mata tentang luka senyap yang ditanggung ramai lelaki iaitu tekanan untuk menjadi ‘cukup jantan’, menafikan perasaan dan takut pada penilaian masyarakat.

Peratusan lelaki alami kemurungan mungkin lebih tinggi

Pada Jun 2025, Kementerian Kesihatan (MOH) melancarkan talian minda nasional 1771 yang beroperasi 24 jam setiap hari bagi warga Singapura yang memerlukan sokongan kesihatan mental.

Talian itu diperkenalkan di tengah-tengah keprihatinan kesihatan mental yang meningkat di Singapura.

Dalam Kajian Kesihatan Mental Belia Kebangsaan oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) terkini yang dimulakan pada 2022, satu dalam tiga orang muda berusia antara 15 dengan 35 tahun di Singapura melaporkan mengalami gejala kemurungan, keresahan dan/atau tekanan yang teruk atau sangat teruk.

Khusus mengenai kemurungan, Kajian Kesihatan Mental Singapura terkini ke atas warga berumur 18 tahun dan ke atas yang dimulakan pada 2016 mendapati gangguan kemurungan utama (MDD) adalah keadaan kesihatan mental paling biasa berlaku di Singapura.

Ia menjejas 6.3 peratus atau satu dalam 16 penduduk dewasa pada satu-satu ketika dalam hidup mereka.

Kajian itu juga mendapati bahawa 5.6 peratus lelaki dan 7 peratus wanita pernah mengalami kemurungan pada satu-satu ketika dalam hidup mereka.

Bagaimanapun, peratusan lelaki yang pernah mengalami kemurungan mungkin lebih tinggi.

“Diketahui bahawa lelaki kurang berkemungkinan mendapatkan bantuan untuk keadaan kesihatan mental, terutama kemurungan,” kata penolong pengerusi lembaga perubatan (kajian) di IMH, Profesor Madya Mythily Subramaniam.

“Juga diketahui bahawa kadar kemurungan yang tidak didiagnos adalah jauh lebih tinggi dalam kalangan lelaki berbanding wanita,” tambahnya.

Lelaki juga mempunyai kadar bunuh diri yang jauh lebih tinggi berbanding wanita di seluruh dunia dan ini dikaitkan dengan keengganan mereka mendapatkan bantuan bagi keadaan kesihatan mental atau masalah lain, katanya lagi.

Pada 2023, hampir 69 peratus, atau 222, daripada 322 kes bunuh diri yang dilaporkan di Singapura melibatkan lelaki.

Sebab lelaki kurang dapatkan bantuan

Dr Mythily berkata ada beberapa sebab mengapa lelaki lebih kurang mendapatkan bantuan bagi keadaan kesihatan mental yang dihadapi.

“Salah satu sebab adalah kemungkinan lelaki menunjukkan gejala yang bukan ‘biasa bagi kemurungan’.

“Ini termasuk gejala seperti sifat agresif, mudah berasa marah, keganasan, penyalahgunaan bahan dan tingkah laku berisiko. Oleh itu, ada kemungkinan diagnosis mereka mungkin terlepas,” katanya.

Bagaimanapun, lelaki juga mungkin keberatan mendapatkan bantuan kerana pematuhan kepada norma kelelakian yang menekankan pentingnya mampu diri, kekuatan, dan rasa kekebalan.

“Lelaki mungkin menghadapi tekanan stigma yang lebih tinggi apabila menerima diagnosis keadaan kesihatan mental dan oleh itu mungkin keberatan mendapatkan bantuan,” kata Dr Mythily.

“Selain itu, memandangkan statistik menyatakan bahawa kemurungan lebih biasa berlaku dalam kalangan wanita, sesetengah lelaki mungkin berasa ia adalah masalah ‘wanita’ dan justeru keberatan mendapatkan bantuan,” tambahnya.

Faktor kaum dan agama

Presiden Kelab Heal, Dr Khairul Hazwan Suhairi, berkata lelaki Melayu/Islam di Singapura sering menghadapi gabungan jangkaan budaya dan agama rumit sehingga menjadikan mereka sukar untuk menangani cabaran kesihatan mental secara terbuka.

“Dari segi budaya, terdapat penekanan kuat pada kelelakian, daya tahan emosi dan peranan lelaki sebagai penyedia dan pelindung.

Malangnya, meluahkan kerentanan atau tekanan emosi mungkin dianggap sebagai kelemahan, yang boleh menghalang lelaki daripada mengakui atau mendapatkan bantuan bagi kemurungan,” kata Dr Khairul.

Selain itu, terdapat juga tanggapan bahawa kemurungan menunjukkan iman yang lemah atau kesabaran yang rendah kata Dr Khairul.

“Pemikiran ini boleh membuat individu yang mengalami kemurungan, keberatan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Pengasas Ayd Coaching & Counselling, Encik Muhammad Effendy Ibrahim, yang menawarkan khidmat kaunseling termasuk kepada lelaki, berkata norma kelelakian sering terbentuk pada awal kehidupan dan dibawa ke peringkat dewasa.

Norma itu menetapkan lelaki perlu menafikan dan menyembunyikan emosi mereka dan mencari cara untuk mengendalikan emosi mereka, kata Encik Muhammad Effendy.

Ini kadang kala dilakukan dalam cara yang tidak sesuai seperti penyalahgunaan bahan, bermain permainan secara berlebihan, merokok, berjudi atau mengasingkan diri dengan berada dalam dunia sendiri.

Ada juga yang memberi tumpuan kepada agama dan kerohanian, kawan-kawan, melancong atau kerja.

Selain itu, lelaki percaya bahawa mereka sentiasa boleh mencari jalan keluar daripada masalah yang dihadapi dan keyakinan ini membuat mereka tidak menghiraukan masalah itu dengan tanggapan ia akan pergi juga akhirnya.

“Faktor-faktor di atas turut dilihat dalam kalangan lelaki Melayu/Islam di Singapura, sekurang-kurangnya pada klien yang telah saya temui.

“Mereka ialah imam dalam keluarga, pencari nafkah serta penjaga keluarga dan mereka perlu memainkan peranan yang berkesan sebagai suami, bapa, anak lelaki, adik-beradik lelaki, penjana pendapatan dan sering kali lupa menjaga diri mereka sendiri.

“Saya mempunyai klien yang mengukur kebahagiaan mereka berdasarkan kegembiraan ahli keluarga mereka, walaupun ia atas pengorbanan diri mereka sendiri,” kata Encik Muhammad Effendy.

“Namun apabila mereka tidak mendapat penghargaan serta pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka atau kehadiran mereka tidak diakui, mereka akan mudah terjejas dan tertekan tetapi masih menyimpan perkara ini dalam diri mereka.

“Mereka tidak mahu kelihatan letih, berkira atau lemah sehingga mereka memendam perasaan mereka dan menderita dalam diam.

“Ada juga yang sampai melepaskan kemarahan terhadap ahli keluarga mereka sehingga mencetuskan masalah dalam keluarga dan kitaran ini akan berterusan,” tambahnya.

Pakar Psikologi Klinikal dan Pengasas ImPossible Psychological Services, Encik Haikal Jamil, berkata antara sebab utama lelaki kurang mendapatkan bantuan profesional adalah kerana halangan praktikal seperti komitmen kerja dan kekurangan perkhidmatan yang mesra lelaki.

“Lelaki juga mempunyai literasi kesihatan mental yang lebih rendah, di mana mereka kurang mengenali simptom dan sering menyalahkan faktor lain seperti kurang tidur atau sibuk bekerja,” kata Encik Haikal.

Gejala kemurungan yang perlu diberi perhatian

Encik Haikal berkata ahli keluarga boleh memantau perubahan tingkah laku atau proses pemikiran seseorang lelaki yang sedang bertarung dengan kemurungan dalam senyap.

Beberapa perubahan tingkah laku yang biasa berlaku bagi lelaki sedemikian adalah penyisihan sosial yang meningkat.

Mereka mungkin mengasingkan diri dan tidak membuka diri mereka kepada orang terdekat.

Mereka juga hilang minat dengan kegiatan yang mereka gemar lakukan dahulu.

“Walaupun kita mungkin tidak dapat mengakses fikiran mereka, ada ketika mereka mungkin meluahkan fikiran negatif.

“Salah satu corak fikiran negatif ialah rasa putus asa dengan menganggap situasi yang mereka alami itu tidak mungkin bertambah baik.

Ini mungkin diluahkan melalui kata-kata seperti ‘keadaan tidak akan bertambah baik’ atau ‘tidak ada makna untuk saya lakukan perkara ini’,” kata Encik Haikal.

Bagi lelaki yang lebih berusia, Dr Khairul berkata gejala yang mungkin dialami, selain di atas, ialah gangguan dalam corak tidur, menjadi lebih mudah marah, rasa penat dan mempunyai paras tenaga rendah.

Mereka mungkin mengalami perubahan selera atau berat badan, rasa sakit yang tidak dapat dijelaskan, pergerakan dan perbualan yang lebih perlahan serta mengabaikan penjagaan diri.

Mereka juga mungkin mengalami masalah ingatan, sukar memberi tumpuan dan dalam kes yang lebih teruk, berfikir tentang mati atau membunuh diri.

Stigma terhadap diagnosis kesihatan mental

“Salah satu sebab adalah kemungkinan lelaki menunjukkan gejala yang bukan ‘biasa bagi kemurungan’. Ini termasuk gejala seperti sifat agresif, mudah berasa marah, keganasan, penyalahgunaan bahan dan tingkah laku berisiko. Oleh itu, ada kemungkinan diagnosis mereka mungkin terlepas. Lelaki mungkin menghadapi tekanan stigma yang lebih tinggi apabila menerima diagnosis keadaan kesihatan mental dan oleh itu mungkin keberatan mendapatkan bantuan.”
Profesor Madya Mythily Subramaniam,  penolong pengerusi lembaga perubatan (kajian) di Institut Kesihatan Mental (IMH). 
Penekanan budaya mengenai definisi kelakian

“Dari segi budaya, terdapat penekanan kuat pada kelelakian, daya tahan emosi dan peranan lelaki sebagai penyedia dan pelindung. Malangnya, meluahkan kerentanan atau tekanan emosi mungkin dianggap sebagai kelemahan, yang boleh menghalang lelaki daripada mengakui atau mendapatkan bantuan bagi kemurungan.”
Dr Khairul Hazwan Suhairi, Presiden Kelab Heal.
Kesan terhadap keluarga jika pendam perasaan

“Mereka tidak mahu kelihatan letih, berkira atau lemah sehingga mereka memendam perasaan mereka dan menderita dalam diam. Ada juga yang sampai melepaskan kemarahan terhadap ahli keluarga mereka sehingga mencetuskan masalah dalam keluarga dan kitaran ini akan berterusan.”
Encik Muhammad Effendy Ibrahim, Pengasas Ayd Coaching & Counselling.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg