Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perpustakaan komik dan permainan ‘pop-up’ pertama dibuka di Punggol Coast Mall

Lebih 7,000 komik, bahan bacaan bertema permainan, novel grafik, dan mainan berpapan tersedia
May 1, 2025 | 10:52 AM
Perpustakaan Komik dan Permainan di Punggol Coast Mall ini akan dibuka selama setahun dan merupakan kemudahan layan diri sepenuhnya, yang dilancarkan bersama Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), JTC Corporation, dan syarikat mainan berpapan tempatan, Origame.
Perpustakaan Komik dan Permainan di Punggol Coast Mall ini akan dibuka selama setahun dan merupakan kemudahan layan diri sepenuhnya, yang dilancarkan bersama Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), JTC Corporation, dan syarikat mainan berpapan tempatan, Origame. - Foto ST

Sebuah perpustakaan ‘pop-up’ yang terisi dengan lebih 7,000 komik, bahan bacaan bertemakan permainan, novel grafik, dan mainan berpapan dibuka pada 30 April di pusat beli-belah, Punggol Coast Mall.

Perpustakaan Komik dan Permainan ini akan dibuka selama setahun dan merupakan kemudahan layan diri sepenuhnya, yang dilancarkan bersama Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), JTC Corporation, dan syarikat mainan berpapan tempatan, Origame.

Ini adalah perpustakaan pertama NLB yang menampilkan mainan berpapan.

Terletak di atrium Punggol Coast Mall, di Daerah Digital Punggol, reka bentuk perpustakaan yang terang mencerminkan “semangat dunia komik dan permainan yang menyeronokkan lagi mengajak ramai dalam satu penerokaan mencabar”, kata NLB pada 30 April.

Orang ramai juga boleh bermain mainan berpapan di ruang khusus di perpustakaan ‘pop-up’ itu, yang juga menyediakan ruang untuk mereka membelek atau meminjam buku, lapor The Straits Times (ST).

Perpustakaan ‘pop-up’ ini adalah sebahagian rancangan yang tertera pada Pelan Bertindak Perpustakaan dan Arkib 2025 (LAB25) NLB – peta jalan lima tahun yang dilancarkan pada 2021, yang bertujuan menggalakkan rakyat Singapura membaca dan menjadi lebih celik maklumat.

Ketua Eksekutif NLB, Encik Ng Cher Pong, berkata dalam kenyataannya: “Kami rasa terdorong oleh respons yang diberi terhadap perpustakaan ‘pop-up’ kami, yang diketengahkan di pusat membeli-belah, kelab masyarakat, dan ruang lain berhampiran tempat pengunjung berada.

“Dengan setiap perpustakaan ‘pop-up’ baru, kami mengambil peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang berbeza, bagi membawa budaya membaca dan pembelajaran kepada pelanggan kami dengan cara baru dan lebih menarik.

“Bagi Perpustakaan Komik dan Permainan, kami meneroka usaha mencipta ruang bagi mainan berpapan dengan pereka permainan tempatan, untuk pengunjung perpustakaan mempelajari budaya Singapura melalui permainan, dan juga mengenali bakat tempatan dalam sektor permainan.”

Peminat yang impikan nostalgia komik klasik tempatan boleh menantikan ruang pameran pada tembok perpustakaan yang memaparkan komik yang didermakan pengumpul komik, termasuk Captain V, komik berwarna penuh pertama yang diterbitkan di Singapura.

Pengunjung juga boleh meneroka buku bertema permainan seperti Dune dan Ready Player One, serta mengetahui lebih lanjut tentang permainan melalui koleksi bukan cereka, yang menampilkan buku tentang sejarah reka bentuk permainan dan strategi permainan.

Perpustakaan ini mempunyai ruang khusus untuk orang dewasa dan kanak-kanak, menampilkan pelbagai komik kegemaran peminat seperti Bluey, Justice League dan koleksi manga Jepun, HunterXHunter. Pembaca boleh meninjau koleksi komik tempatan dan dalam bahasa ibunda yang disertakan dalam bentuk e-Buku, melalui skrin interaktif eReads.

Bagi mengunjungi perpustakaan ini, orang ramai boleh mengimbas kad pengenalan mereka atau mendapatkan pas harian kod QR.

Selain permainan klasik seperti Monopoly dan catur, perpustakaan ‘pop-up’ itu menampilkan 11 mainan berpapan bertema Singapura, yang direka oleh pengasas bersama Origame, Dr Daryl Chow, 43 tahun.

Dr Chow, yang berkelulusan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam linguistik dari Universiti Ottawa, berkata mainan berpapan menyediakan pendidikan dan hiburan, sejajar dengan peranan perpustakaan.

Beliau berharap kerjasama ini akan mengangkat mainan berpapan agar tampil lebih menyerlah di mata masyarakat Singapura.

Antara permainan pilihannya di perpustakaan ini adalah permainan tempatan, Huat’s Up?, permainan yang direka berdasarkan hidangan kegemaran tempatan, lo hei.

Pengurus perancangan dan pembangunan di NLB, Cik Winnie Tan, 27 tahun, berkata: “Permainan membantu membangunkan pemikiran strategik dan memupuk interaksi sosial. Bagi saya, baik untuk mempunyai ruang untuk orang ramai bersama-sama membaca dan bermain.”

Inisiatif ini telah diterima baik oleh masyarakat yang menggemari mainan berpapan, dengan kumpulan peminat dan syarikat reka bentuk permainan menghubungi pihak perpustakaan untuk menganjurkan bengkel dan program di perpustakaan ‘pop-up’ itu,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg