Apabila dirinya diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada minggu kelapan peraduan realiti, Gegar Vaganza 11 (GV11), Arrora Salwa kelihatan ceria ‘seksanya’ di pentas auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah lepas pada 12 Januari.
Pramugari Malaysia Airlines (MAS) yang mengambil cuti tanpa gaji selama empat bulan untuk menyertai pertandingan itu sempat melonjak gembira sambil mengucapkan, “alhamdulillah”.
Arrora, 39 tahun, atau nama sebenarnya, Salwa Md Razak, memberitahu media seberang pada sidang media yang disiarkan di YouTube:
“Setiap minggu saya sebenarnya sudah bersedia secara mental untuk disingkirkan, malahan saya sangka dah terkeluar pada minggu ketiga, iaitu peserta pertama yang akan disingkirkan.
“Ternyata, rezeki saya sampai di sini sahaja. Saya bersyukur mampu bertahan sampai minggu kelapan.
“Tak mengapa sebab ada benda lain yang menunggu saya di depan kini.
“Mungkin keputusan ini memudahkan saya lagi untuk memberi komitmen pada projek akan datang ini,” jelasnya, yang memberi gambaran beliau sudah diberi tawaran keemasan untuk beraksi dalam sebuah drama.
Arrora yang mendapat markah paling rendah, iaitu 55.2 peratus, setelah menyanyikan lagu Siti Nordiana Alias, Cinta Hanya Sandaran, memberitahu, pengarah prolifik, Datuk Yusof Haslam, telah menawarkannya peranan bagi drama berepisod yang akan memulakan penggambaran pada 21 Januari.
Yusof, 70 tahun, pernah diundang menjadi pengadil bagi menggantikan Datuk Syafinaz Selamat, 52 tahun, sebelum ini.
Kerana melihat personaliti Arrora yang menarik, beliau bahkan berminat menawarkan watak untuk bekas pegawai polis itu menjayakannya.
“Datuk Yusof kotakan janjinya nak lamar saya untuk projek drama. Memandangkan saya cuti sampai hujung Januari, saya terima tawarannya.
“Jadi kalau tanya apakah saya akan berhenti daripada tugas pramugari, saya anggap ia akan menjadi langkah terakhir saya.
“Dalam masa setahun dua nanti, saya perlu tinjau apakah lebih terjamin kerjaya pramugari atau lakonan? Kalau lakonan beri jaminan, saya boleh memikirkan kemungkinan menceburinya.
“Kalau tak, saya sambung balik jadi pramugari,” tambahnya.
Arrora pernah berlakon dalam filem Kerat 14, membawa watak Inspektor Sofea pada 2013.
Beliau juga pernah menjayakan drama, Menantu Sepuluh Ribu, pada 2015.
“Saya pernah berlakon dulu tetapi platformnya tidak sebesar sekarang.
“Saya anggap GV11 sebagai platform yang sangat besar.
“Saya sedar suara saya tak bagus tetapi saya akur GV11 ini platform terbaik untuk saya teroka ‘jual’ rupa saya untuk dapat rezeki lain pada masa hadapan.
“Bagi saya, biar orang lain sajikan suara lunak mereka... saya nak sajikan wajah rupawan saya macam masuk pertandingan Miss Universe,” katanya, yang sebelum ini terkenal dengan lagu Ahmad.
Sudah 15 tahun Arrora tidak menyanyi tetapi beliau yakin jika suara tiada, tetapi ada rupa, masih boleh sahaja menceburi bidang hiburan.
“Kalau suara ada, rupa tak ada pun tak boleh ‘go’. Lagi susah kalau suara tak ada dan rupa pun tak ada. Itu macam Arrora Salwa yang dulu,” tambahnya.
Mengulas mengenai kecaman warganet, Arrora menjelaskan beliau tidak pernah kisah apa orang nak kata kerana tahu akhirnya, beliau akan tersingkir jua, baik cepat atau lambat.
“Saya sebenarnya tak sabar nak masuk set sebab saya boleh jadi diri yang lain dalam watak yang dipegang.
“Kalau menyanyi bukan kelebihan saya dan saya ‘terseksa’, mungkin saya lebih sesuai berlakon,” ujarnya dengan yakin.
Beliau juga mendapat beberapa tawaran merakam lagu baru.
Syafinaz pula memuji semangat juang Arrora.
“Selama beberapa minggu ini, kita boleh nampak semangat juangnya dalam persaingan. Dia tetap teruskan semangat dan itulah yang baik mengenai Arrora Salwa.
“Cuma dari segi teknik nyanyian, sebagai penyanyi, saya rasa dia memerlukan masa yang lebih berbanding peserta lain yang masih dalam pertandingan.
“Bagaimanapun untuk sampai pada tahap ini, saya rasa itu satu pencapaian baik untuknya,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg