Tidak dinafikan, isu dan konsep berkaitan alam sekitar, seperti perubahan iklim, pencemaran dan kemampanan merupakan sesuatu yang mungkin agak sukar untuk difahami oleh orang dewasa, apatah lagi kanak-kanak.

Namun sebagai penghuni Bumi, si kecil perlu tahu tentang cabaran yang dialami Planet Biru, dan cara mereka boleh memainkan peranan untuk menjaganya.

Sempena Hari Bumi pada 22 April, pengasas inisiatif Al-Mizan Singapura yang memperkasa masyarakat Islam ke arah kemampanan, Encik Ismail Weiliang Osman, berkongsi panduan mengenai cara ibu bapa boleh membincangkan isu alam sekitar dengan si kecil.

Encik Ismail, yang mempunyai seorang anak perempuan berumur dua tahun, menyarankan agar ibu bapa mengaitkan isu dan konsep berkaitan alam sekitar dengan nilai seperti kesyukuran, kesederhanaan dan pengawasan.

Kanak-kanak dapat diingatkan akan tanggungjawab mereka sebagai penjaga bumi menerusi kegiatan melindungi alam semula jadi seperti menanam pokok.

Mereka boleh mengamalkan kesederhanaan dengan memulihara sumber dan mengamalkan penggunaan yang berhemah, seperti menggunakan air sebanyak 1 mudd (250 mililiter) untuk mengambil wuduk bagi menjimat air.

Kesyukuran pula boleh diterapkan dengan meningkatkan kesedaran si kecil akan nikmat yang dipinjamkan dan menggalakkan mereka supaya menyumbang masa, usaha atau harta demi kebaikan alam sekitar.

Khilafah (pengawasan), Wasatiyyah (kesederhanaan) dan kesyukuran adalah asas tanggungjawab alam sekitar.

“Dengan menyulam prinsip-prinsip ini ke dalam kehidupan kita, kita menyelaraskan keimanan dengan tindakan. Ini dapat memastikan bahawa kemampanan bukan hanya satu dasar, bahkan juga sebagai ibadah,” kata Penolong Pengarah Kanan di Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) itu.

Berkongsi pengalaman anaknya diperkenalkan guru tajakanya kepada penjimatan air dan sifar sisa melalui pengkomposan makanan dan pengitaran semula, Encik Ismail berkata usaha mengajar anak-anak tentang konsep kemampanan perlu menarik dan menyeronokkan.

Anak Encik Ismail Weiliang Osman, Rui En Rifqah, dua tahun, diperkenalkan kepada konsep kemampanan melalui kegiatan yang dijalankan oleh guru tajakanya.
Anak Encik Ismail Weiliang Osman, Rui En Rifqah, dua tahun, diperkenalkan kepada konsep kemampanan melalui kegiatan yang dijalankan oleh guru tajakanya. - Foto ISMAIL WEILIANG OSMAN
Encik Ismail Weiliang Osman berkata usaha mengajar anak-anak tentang konsep kemampanan perlu menarik dan menyeronokkan.
Encik Ismail Weiliang Osman berkata usaha mengajar anak-anak tentang konsep kemampanan perlu menarik dan menyeronokkan. - Foto ISMAIL WEILIANG OSMAN

Namun apa yang turut penting adalah ibu bapa sendiri perlu melakukan amalan kemampanan itu kerana anak-anak mencontohi orang tua mereka.

“Amalan kecil sekalipun, jika dilakukan secara tekal, mampu menggalakkan si kecil agar turut serta melakukannya,” kata Encik Ismail.

Antara cara mudah untuk kanak-kanak menunjukkan yang mereka prihatin tentang alam sekitar ialah dengan mengamalkan ‘BYOB3’, iaitu bawa botol, beg dan kotak makan sendiri bagi mengurangkan sisa plastik.

Kanak-kanak juga boleh diajar untuk membiarkan sepertiga perut mereka kosong dengan tidak makan hingga terlalu kenyang.

Ini dapat mengajar mereka mengambil semua perkara dalam kesederhanaan bagi mengurangkan sisa.

Jika keluarga ingin melakukan kegiatan berkaitan kemampanan dalam ruang masyarakat, Encik Ismail menyarankan kegiatan bercucuk tanam di kebun masyarakat.

Antara kebun yang boleh dikunjungi ialah kebun di bumbung bangunan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).

Al-Mizan Singapura juga mempunyai rancangan menganjurkan kem pengembaraan yang akan melibatkan ibu bapa dan kanak-kanak.

Kerjasama pertama dengan Masjid Ahmad itu boleh dijangkakan dalam suku ketiga 2026.

Selain itu, Al-Mizan Singapura juga sedang meneroka cara membawa keluarga lebih dekat dengan masjid menerusi kegiatan kemampanan.

Sejauh ini, kumpulan itu telah menganjurkan acara sempena Hari Air Sedunia di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, acara berjalan kaki dalam alam semula jadi, atau Nature Walk, acara hidup secara mampan dan acara Ramadan sifar sisa dengan kerjasama asatizah tempatan.

Antara kegiatan berkaitan alam semula jadi dan kemampanan yang ibu bapa boleh lakukan dengan anak-anak:

– Kurangkan jejak karbon dengan meninggalkan kereta di rumah. Gunakan cara lain untuk ke destinasi, seperti berjalan kaki, menaiki pengangkutan awam atau berbasikal.

– Lakukan ‘audit’ tenaga di rumah dengan mematikan lampu dan kipas yang tidak digunakan.

– Jimat air dengan menggunakan alat penentu masa untuk memendekkan masa mandi.

– Susun sampah untuk dikitar mengikut jenis seperti plastik, kertas dan logam. Ibu bapa boleh menunjukkan kanak-kanak cara membersihkan barangan sebelum dikitar.

– Dekati alam semula jadi dengan mendaki di Taman Kolam Air MacRitchie atau Hutan Simpanan Bukit Timah. Kanak-kanak boleh mendengar kicauan burung, melihat kehidupan liar dan mengumpul daun kering untuk dijadikan kraf.

– Bersihkan pantai bersama keluarga dan kawan-kawan. Laman Majlis Kebersihan Awam menyenaraikan barangan yang boleh dikutip untuk dibuang atau dikitar dan juga barangan yang tidak boleh dikutip seperti bangkai haiwan dan rumpai laut. Dapatkan maklumat lanjut di pautan, publichygienecouncil.sg/beachcleanup

– Mulakan kebun kecil di rumah atau tanam herba dalam bekas yang dikitar semula seperti botol dan kotak telur.

– Kunjungi perjumpaan masyarakat seperti Repair Kopitiam untuk mempelajari cara memperbaiki barangan rosak. Dapatkan maklumat lanjut di repairkopitiam.sg.

– Ikuti inisiatif sains rakyat Butterfly Watch, anjuran Lembaga Taman Negara (NParks) dan ButterflyCircle. Usaha ini melibatkan masyarakat untuk mengumpul data tentang rama-rama di taman dan kebun. Data ini boleh menyumbang kepada usaha pemuliharaan serangga itu.

Tempoh tinjauan: 23 hingga 31 Mei. Kanak-kanak bawah 12 tahun boleh turut serta tapi perlu ditemani ibu bapa atau penjaga.

Dapatkan maklumat tentang latihan yang perlu diikuti di pautan, nparks.gov.sg/nature/community-in-nature/butterfly-watch

– Ikuti nature walk atau kegiatan berjalan kaki dalam alam semula jadi dan saksikan kehidupan liar di bakau dan kawasan pantai bersama Young Nautilus. Dapatkan maklumat lanjut dan tarikh kegiatan di pautan, youngnautilus.com

Khilafah (pengawasan), Wasatiyyah (kesederhanaan) dan kesyukuran adalah asas tanggungjawab alam sekitar. Dengan menyulam prinsip-prinsip ini ke dalam kehidupan kita, kita menyelaraskan keimanan dengan tindakan. Ini dapat memastikan bahawa kemampanan bukan hanya satu dasar, bahkan juga sebagai ibadah... Amalan kecil sekalipun, jika dilakukan secara tekal, mampu menggalakkan si kecil untuk turut serta melakukannya.”
Encik Ismail Weiliang Osman, pengasas inisiatif Al-Mizan Singapura yang memperkasa masyarakat Islam ke arah kemampanan.