Pesta ketengah kerja seni Brunei
Kunjungi pameran seni visual, nikmati muzik ‘live’, hadiri bengkel muzik eksperimental dan tonton tayangan filem ceritera pertama Brunei Darussalam, Gema Dari Menara, dalam pesta empat hari, The Idea of North 2024.
Pesta yang dipersembahkan The Rice Company Limited (TRCL) dari 18 hingga 21 September di 10 Square, Orchard Central, itu turut melibatkan acara kecil-kecilan di The Projector.
The Idea of North yang diterbitkan pertubuhan tidak mengaut untung, Global Cultural Alliance (GCA), dengan kerjasama syarikat pemacu perniagaan, Millet Holdings, meraikan hubungan diplomatik selama empat dekad Brunei Darussalam dan Singapura.
Beberapa acara yang bertujuan memperkukuh hubungan antara manusia menerusi seni disajikan sepanjang pesta ini.
Antara yang boleh anda hadiri:
Pameran Seni Visual TENUNAN: ‘A View on Tapestry of Historical Processes’
- Tarikh: Melepasi tempoh empat hari pesta iaitu hingga 16 Oktober
- Tempat: Galeri, 10 Square, Orchard Central
- Meneroka kain tenunan atau songket sebagai metafora meneroka kesulitan perkembangan bersejarah.
- Kurator: Seniman veteran, Osman Muhammad
- Menampilkan kerja seni Yasmin Jaidin, Faizal Hamdan dan Armacester Arsad.
- Tiada bayaran dikenakan.
RENTAK/S: ‘Explorations of Traditional Soundscapes’
- Tarikh: 20 September
- Masa: 6.30 petang hingga 7.30 malam
- Tempat: Auditorium 10 Square@Orchard Central
- Perbincangan panel tentang pendekatan dinamik bunyian tradisional merentasi rentak pelbagai genre dan sempadan geografi.
- Pemuzik Brunei, Elisha Tiga dan Yazid Damit, serta pemuzik Singapura, Megat Muhammad Firdaus dan Safuan Johari, akan mengupas tentang usaha meraikan kemungkinan bunyian tradisional dapat disisipkan bersama landskap budaya tempatan atau serantau.
- Butiran tempahan tiket boleh diperolehi menerusi laman Eventbrite di www.eventbrite.sg
Tayangan filem ‘Gema Dari Menara’
- Tarikh: 21 September
- Masa: Mulai 5 petang
- Tempat: Redrum, The Projector (Golden Mile Tower)
- Kembara ke 1968 dengan kisah drama keluarga apabila seorang anak yang menghormati ibu bapanya perlu berdepan dengan isu adik-beradiknya yang memberontak dalam masyarakat Brunei sekular.
- Tiket $14 dan $16 boleh ditempah di laman The Projector, di https://bh.sg/projector

