Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putera Mahkota Brunei akhiri lawatan lima hari ke S’pura

Beliau ke sini sempena Program Pemimpin Muda dalam pupuk hubungan antara generasi pemimpin akan datang kededua negara
Sep 14, 2024 | 6:00 PM
Sebagai memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Brunei pada 2024, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan) dan Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah memperkenalkan reka bentuk setem peringatan yang dikeluarkan bersama Singapore Post dan Jabatan Perkhidmatan Pos Brunei.
Sebagai memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Brunei pada 2024, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan) dan Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah memperkenalkan reka bentuk setem peringatan yang dikeluarkan bersama Singapore Post dan Jabatan Perkhidmatan Pos Brunei. - Foto FACEBOOK LAWRENCE WONG

Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri Brunei Darussalam, mengakhiri lawatan rasmi lima hari beliau ke Singapura sempena Program Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei ke-10, pada 14 September.

Menurut satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 14 September, kunjungan Putera Al-Muhtadee Billah menandakan satu peristiwa penting bagi YLP.

Ini kerana sejak 2013, YLP telah memupuk hubungan peribadi yang erat antara pemimpin generasi akan datang dari Singapura dan Brunei, kata MFA.

Semasa lawatannya, Putera Al-Muhtadee Billah dihos ke jamuan makan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam; Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong; Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong; serta Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean.

“Para pemimpin itu mengadakan perbincangan yang baik tentang perkembangan di Singapura dan Brunei, serta pelbagai cabaran global dan serantau.

“Semasa pertemuan ini, Putera Al-Muhtadee Billah menegaskan semula kepentingan hubungan Singapura dengan Brunei dan kedua-dua negara berkongsi komitmen untuk mengukuhkannya bagi manfaat bersama,” kata kenyataan itu.

Sebagai memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Brunei pada 2024, Encik Wong dan Putera Al-Muhtadee Billah memperkenalkan reka bentuk setem peringatan yang dikeluarkan bersama oleh Singapore Post dan Jabatan Perkhidmatan Pos Brunei.

Dalam satu hantaran di Instagramnya pada 13 September, Encik Wong melahirkan rasa gembiranya dapat menyambut Putera Al-Muhtadee Billah berserta isterinya, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, ke YLP.

“Edisi ke-10 YLP berlangsung di sebalik tahun yang bermakna – 40 tahun hubungan diplomatik.

“Putera Al-Muhtadee Billah dan saya menegaskan lagi komitmen kami terhadap hubungan istimewa antara negara kami, membincangkan bidang kerjasama sedia ada dan baru, serta memperkenalkan setem peringatan untuk ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Singapura dan Brunei,” katanya.

Encik Wong turut melahirkan rasa yakin bahawa kerjasama kededua negara akan terus rancak, memandang ke hadapan, dan saling memanfaatkan.

YLP ke-11 akan dihoskan oleh Brunei pada tahun 2025.

Encik Wong dan Putera Al-Muhtadee Billah turut melawat pameran Impressions of Monet di Gardens by the Bay.

Encik Wong menerima kunjungan Putera Al-Muhtadee Billah ke Singapura buat kali pertama sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura pada Mei.

Sebelum ini, beliau mengetuai delegasi ke Brunei untuk menghadiri edisi kesembilan program itu pada Disember 2023, ketika beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri.

“Putera Al-Muhtadee Billah dan saya menegaskan lagi komitmen kami terhadap hubungan istimewa antara negara kami, membincangkan bidang kerjasama sedia ada dan baru, serta memperkenalkan setem peringatan untuk ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Singapura dan Brunei.” 
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg