Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesta Malam S’pura ingin martabat industri seni kreatif

Cipta pengalaman bagi pengunjung menerusi kerjasama dengan penggiat seni tempatan, serantau
Aug 13, 2025 | 5:30 AM
Qazim Karim, Singapore Night Fest, Heritagesg, Pesta Malam Singapura 2025
Pengarah Pesta, Pesta Malam Singapura (SNF) 2025, Qazim Karim berharap pengunjung dapat mempelajari dan menghayati kisah mengenai identiti Singapura dalam suasana yang santai dan menyeronokkan di sekitar Bras Basah dan Bugis. - Foto BH oleh HAKIM NORMAN HASSAN

Sebagai pesta malam yang tertua dan terbesar di dalam negara, pihak penganjur bagi Pesta Malam Singapura (SNF) berasa terdapat tanggungjawab untuk memartabat industri seni kreatif.

Ini di samping bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan di sekitar Bras Basah dan Bugis yang dikenali sebagai kawasan yang kaya dengan seni dan warisan. 

“Selepas membuat kajian, kami mendapati bahawa SNF merupakan antara pesta malam terbesar sekitar Asia Tenggara. 

“Justeru, kami ingin menjadi pemimpin bagi suara dan pemikiran kreatif dalam rantau ini. 

“Pada 2025, Singapura menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-60 (SG60) dan hubungan diplomasi 60 tahun dengan beberapa negara. 

“Menerusi tema Island Nights kali ini, kami berharap untuk mendalami identiti Singapura sebagai satu negara pulau sambil melihat hubungan rapat yang terjalin dengan negara lain di rantau ini,” ujar Pengarah Pesta SNF 2025, Qazim Karim, 36 tahun.

Beliau ditemui Berita Harian (BH) di Perpustakaan Negara yang terletak di Victoria Street baru-baru ini. 

Berlangsung selama tiga hujung minggu, dari 22 Ogos hingga 6 September, edisi ke-16 kali ini dianjurkan oleh HeritageSG buat kali pertama.

HeritageSG merupakan anak syarikat di bawah Lembaga Warisan Negara (NHB) yang ditubuhkan pada 1 Ogos 2024 dengan tujuan untuk melestarikan warisan tempatan melalui pengalaman imersif dan penceritaan inovatif.

Selain acara yang menjadi kegemaran pengunjung seperti pemetaan unjuran di bangunan bersejarah, SNF 2025 turut bakal mengadakan persidangan ALIGHT (A Southeast Asian Light Network) buat kali pertama. 

Terdapat pelbagai bengkel dan siri ceramah oleh mereka yang mahir dalam seni pemetaan unjuran dari Asia Tenggara semasa persidangan yang berlangsung pada 21 Ogos. 

“Kami berharap para penceramah dari pelbagai negara dapat berkongsi ilmu dan memberi inspirasi kepada penggiat seni tempatan.

“Seni pemetaan unjuran nampak mudah namun terdapat kemahiran dan proses teliti yang diperlukan di sebalik karya itu,” tambah Qazim. 

Beliau turut menggalak penggiat seni tempatan untuk membina rangkaian dalam industri kreatif melalui pelbagai kegiatan di bawah SNF.

“Terdapat beberapa pertandingan pemetaan unjuran di luar negara seperti Terang Projection Mapping Competition di Malaysia dan 1minute Projection Mapping Competition di Jepun.

“Menerusi persidangan dan wadah ini, kami berasa bangga jika mereka mendapat inspirasi dan bertekad untuk mengharumkan nama industri kreatif tempatan,” jelasnya. 

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi pihak penganjur, Qazim berkata keutamaannya adalah untuk memastikan mesej dan tema utama bagi acara itu dapat disampaikan dengan jelas kepada pengunjung. 

“Terdapat ramai penggiat seni yang teruja untuk melibatkan diri dalam SNF namun kami harus memastikan ia tidak kelihatan terlalu rencam dan sembarangan. 

“Jikalau penggiat seni itu tidak dapat turut serta bagi acara tahun ini, mungkin mereka boleh melibatkan diri pada tahun hadapan atau bekerjasama bagi acara lain seperti Pesta Warisan Singapura. 

“Yang penting, adalah untuk memikir demi jangka masa panjang kerana kami seringkali merancang SNF bagi tempoh tiga tahun akan datang,” ujarnya. 

Dimulakan pada 2008, SNF merupakan daya usaha mengubah ruang awam (placemaking) yang mengetengahkan semangat kreatif di sekitar kawasan Bras Basah dan Bugis menerusi pelbagai karya seni dan persembahan menarik. 

Antara kegiatan menarik pada 2025 adalah gerbang lampu gergasi, Sky Castle, yang bakal dipasang di Cathay Green, Dhoby Ghaut dan direka oleh studio seni dan teknologi Australia, ENESS.

Terdapat juga persembahan anak patung oleh kumpulan teater Ombak Potehi yang berasal dari Pulau Pinang, Malaysia, menghidupkan semula seni Hokkien Potehi. 

Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG) akan dibuka pada waktu malam dan pengunjung dewasa berpeluang meneroka muzium itu buat kali pertama tanpa perlu membawa kanak-kanak. 

Menerusi lebih 80 kegiatan yang diadakan sewaktu SNF 2025, pihak penganjur berharap pengunjung dapat mempelajari dan menghayati kisah mengenai identiti Singapura dalam suasana yang santai dan menyeronokkan. 

“Kami mahu mencipta pengalaman menarik dan memori indah bagi mereka yang hadir sambil berpeluang mengenali penggiat seni tempatan dan luar negara yang terlibat dalam acara ini.

“Terdapat ramai pengunjung yang mula hadir ke SNF semasa masih menuntut di institusi pengajian tinggi dan kini hadir setiap tahun bersama pasangan dan anak-anak mereka. 

“SNF akan terus berkembang sambil kekal relevan supaya ia menjadi salah satu acara yang dinanti-nantikan para pengunjung,” tambah Qazim. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg