Pesta Malam Singapura (SNF) kembali untuk edisi ke-16 di sekitar kawasan Bras Basah dan Bugis dengan tema Island Nights yang memberi tumpuan kepada identiti dan warisan pulau di Singapura.
Menerusi pelbagai kisah menarik mengenai semangat kekitaan, pengunjung dapat melihat bagaimana pelbagai budaya dan masyarakat bergabung dan membentuk satu negara yang dipanggil tanah air.
Berlangsung selama tiga hujung minggu, dari 22 Ogos hingga 6 September, acara kali ini dianjurkan oleh HeritageSG buat kali pertama.
HeritageSG merupakan anak syarikat di bawah Lembaga Warisan Negara (NHB) yang melestarikan warisan tempatan melalui pengalaman imersif dan penceritaan inovatif.
Orang ramai boleh berkunjung ke pelbagai lokasi sekitar Bras Basah dan Bugis untuk melihat pelbagai pertunjukan, seni pemasangan lampu, pemetaan unjuran di bangunan bersejarah, kunjungi reruai makanan dan runcit serta menyertai pelbagai program menarik.
Bercakap dengan media, Pengarah Pesta SNF 2025, Encik Qazim Karim, berkata:
“Bagi edisi kali ini, pihak penganjur mendalami identiti Singapura sebagai satu negara pulau dan meneroka warisan dan budaya yang mempengaruhi kehidupan seharian masyarakat di kota ini.”
Beliau turut berkongsi sempena ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60), pihak penganjur turut mengiktiraf penggiat seni tempatan dan bekerjasama dengan masyarakat kreatif di negara ini.
Antara seni pemasangan lampu yang menarik ialah gerbang lampu gergasi, Sky Castle, yang bakal dipasang di Cathay Green, Dhoby Ghaut dan direka oleh studio seni dan teknologi Australia, ENESS.
Ia bertujuan membangkitkan rasa gembira dalam diri pengunjung sambil membawa pesanan harapan seperti pelangi yang muncul selepas hujan lebat atau ribut.
Selain itu, terdapat juga seni pemasangan oleh pereka antarabangsa, Yok & Sheryo, di luar bangunan Capitol Singapore, yang diberi nama Kampong Chill.
Ia bertujuan menghidupkan pengalaman santai dan pengunjung dijemput berehat sambil menghayati kehidupan pulau.
Terdapat juga pemetaan unjuran di bangunan CHIJMES, yang merupakan tapak lama Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus (CHIJ).
Ia direka oleh empat pereka seni wanita tempatan iaitu Adeline Kueh, Hafi, KangLi dan Tororo.aoi, yang bakal berkongsi hasil karya mereka selepas menjalani latihan dan sesi ‘masterclass’ pemetaan unjuran bersama syarikat media Malaysia, Filamen.
Pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan anak patung oleh kumpulan teater Ombak Potehi yang berasal dari Pulau Pinang, Malaysia, menghidupkan semula seni Hokkien Potehi.
Terdapat juga persembahan menarik oleh kumpulan teater tempatan, Paper Monkey Theatre.
Kebanyakan acara SNF adalah percuma, namun terdapat beberapa program yang memerlukan tiket berbayar.
Bagi maklumat lanjut, sila ke akaun media sosial rasmi di Facebook dan Instagram @sgnightfest dan TikTok @sg.nightfest
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg